"Buat keputusan
segera": Yong
KOTA KINABALU (3 Disember 2008) : Parti maju Sabah (SAPP) menggesa
Kementerian Kesihatan segera membuat keputusan muktamad terhadap bangunan
Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Presidennya, Datuk Yong Teck Lee berkata,
oleh kerana "semua pilihan telah dikaji secara terperinci" oleh
Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan para juru runding
swasta, maka tidak harus ada sebarang alasan lagi bagi kerajaan untuk
membuat keputusan muktamad.
"Bandaraya Kota Kinabalu sekarang ini sudah
menjadi bandaraya tanpa hospital besar. Ini adalah tidak wajar sama sekali
kepada penduduk Kota Kinabalu dan sesuatu yang mengaibkan bagi kerajaan
kita," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Selasa.
Yong berkata,
kerajaan harus segera membina blok menara berkembar baru yang dicadangkan
itu, robohkan blok menara lama dan bina blok baru untuk faedah setengah
juta orang yang tinggal di ibu negeri dan kawasan sekitarnya.
Beliau
mendakwa, keadaan buruk bangunan QEH itu merupakan kes kecuaian terbaru
yang ketara serta kurangnya perancangan lebih awal Kerajaan Persekutuan
terhadap perkhidmatan asas yang sepatutnya disediakan kerajaan untuk
rakyat.
"Sekarang ini para pesakit dan pelawat ke hospital itu tidak lagi
setakat memikirkan tentang lif-lif yang sentiasa roasak. Sekarang ini
keseluruhan hospital itu telah sampai ke "tahap kritikal satu penyakit
terminal" menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah," katanya.
Yong berkata, penduduk masih ingat setiap kali seorang Menteri Kesihatan yang
baru dilantik, lawatan berprofail tinggi ke QEH akan dianjurkan, biasanya
serentak dengan acara politik tempatan MCA.
"Tetapi, hospital besar kita
telah dibiarkan reput sehingga nyawa kini terdedah kepada risiko dan para
pegawai Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berada dalam keadaan panik tentang
apa yang harus dilakukan berikutnya," tambah beliau.
Yong berkata, jika
seperti yang didakwa para profesional yang terlibat dalam penilaian blok
menara sedia ada itu, bahawa blok menara itu "sudah menjadi semakin buruk
dan berada dalam tekanan stuktur yang teruk", maka perobohan blok sedia
ada dan membina blok baru harus dimulakan serta merta, serentak dengan
pembinaan blok menara kembar yang dicadangkan itu.
SAPP, katanya, merasa
lega apabila mendapat tahu hospital Kinarut yang dicandangkan itu bukannya
sebagai pengganti kepada hospital besar (QEH) di Kota Kinabalu,
lebih-lebih lagi melihat kepada kedudukan Kinarut yang terlalu jauh dari
pusat utama penduduk Bandaraya Kota Kinabalu.
"Adalah lebih baik untuk
memperbaiki infrastruktur dan perkhidmatan di kompleks QEH sekarang,
kerana pada masa ini keseluruhan kompleks itu tidak begitu mesra pengguna.
Selain daripada kekurangan katil hospital dan kemudahan perubatan lain dan
kemudahan letak kereta hampir tidak wujud langsung. "Adalah agak sukar
untuk masuk dan keluar dari hospital itu. Jika anda sakit, perjalanan ke
wad hospital akan membuatkan keadaan anda bertambah buruk. Bilik-bilik
menunggu berkurangan, kantin dan tandas berada dalam keadaan menyedihkan.
"Walaupun kita tahu yang pihak berkuasa dan pengurusan hospital, para
doktor dan kakitangan dedikasi terhadap tugas mereka, namum tahap
perkhidmatan mereka agak terjejas disebabkan sumber, tenga kerja,
peralatan, katil dan perkhidmatan sokongan yang terhad," katanya.
Yong berkata, kakitangan yang bekerja di hospital-hospital Sabah layak mendapat
keadaan kerja dan kemudahan yang lebih baik unutk menyediakan penjagaan
kesihatan berkualiti kepada rakyat. |