Lawatan Stella Yong dan AJK Lembaga ke KPOKU, Papar
PAPAR
(Feb 13, 2009): Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Kompleks Pemulihan
Orang Kurang Upaya (KPOKU) Kimanis, Papar, Datin Seri Panglima
Stella Yong dan jawatankuasanya telah menganjurkan Majlis Makan
Tengah Hari bagi meraikan seramai 85 orang penghuni pusat itu,
sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Kanak-kanak kurang upaya di kompleks itu bukan sahaja berpeluang
menikmati hidangan makan tengah hari, malah turut menerima hadiah
dan "ang pow", disamping berpeluang menyaksikan persembahan tarian
singa oleh Nam Bong Lion Dance, Penampang.
Menurut Datin Seri Panglima Stella Yong, program itu merupakan acara
tahunan yang dianjurkan oleh Lembaga Pelawat Kompleks Pemulihan OKU
Kimanis.
"Kita sentiasa mengambil berat terhadap nasib para penghuni kompleks
tersebut yang menjalani pelbagai program pemulihan dan kemahiran,"
katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am
Sabah, Encik Mohd Noor Wahab berkata, walaupun perayaan Tahun Baru
Cina baru berakhir, tetapi ia bukan penghalang kepada Lembaga
Pelawat KPOKU menganjurkan majlis itu khusus untuk para penghuni
kompleks itu.
"Inilah keunikan negara kita kerana masyarakat berbilang kaum dapat
bersama-sama meraikan sambutan sesuatu perayaan. Yang lebih istimewa
ialah kanak-kanak OKU ini tidak pernah dilupakan oleh masyarakat,"
katanya.
Beliau memuji usaha dan inisiatif Lembaha Pelawat KPOKU yang
diketuai oleh Datin Seri Panglima Stella Yong yang aktif
menganjurkan pelbagai program dan aktiviti khusus untuk para
penghuni pusat itu.
"Dengan menerima hadiah istimewa dan persembahan tarian singa, sudah
pasti kanak-kanak OKU di pusat ini dapat merasai suasana sambutan
Tahun Baru Cina yang baru berakhir," tegasnya.
Turut hadir di majlis itu ialah Penguasa KPOKU Papar, Encik Dosmin
Bin Lojum, Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat, Encik Hsieh Vang
Vui, Setiausaha, Datuk Godfrey Raphael Lim, Bendahari, Puan Arlena
Awang Chee, Penolong Bendahari, Puan Connie Liaw dan Penasihat
Kesihatan, Datuk Dr. N. Kanagalingam. |