|
Oleh YB Datuk Chua Soon Bui (Tawau)
Tuan Yang DiPertua,
Terima kasih atas peluang bagi saya berucap menjunjung kasih atas
Titah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agung dalam Dewan yang
mulia ini.
Semasa kemelesetan global semakin teruk, adalah sangat penting bagi
kerajaan memastikan dasar-dasar yang baik, terutama sekali
dasar-dasar ekonomi, boleh memanfaatkan rakyat jelata. Lebih-lebih
penting lagi adalah bahawa segala dasar, yang sedia ada atau yang
baru, tidak akan membebankan sektor-sektor perdagangan atau pun
individu sehingga syarikat-syarikat terpaksa hentikan
pekerja-pekerja atau terus gulung tikar. Kerajaan seharusnya lebih
peka kepada kesulitan sektor-sektor perdagangan serta melakukan
perubahan yang sesuai untuk meringankan bebanan kewangan bagi semua
pihak.
Ingin saya menyentuh beberapa isu kepentingan rakyat terutama sekali
yang berkaitan perlindungan hak-hak rakyat jelata.
(1) Pendidikan untuk kanak-kanak atau murid-murid yang bukan warga
negara tetapi salah seorang ibubapa adalah warga Malaysia
Ingin saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Pelajaran atas
pengumuman beliau baru-baru ini di Tawau bahawa Kementeriannya akan
membenarkan kanak-kanak ini terus bersekolah pada Tingkatan 1
asalkan sekurang-kurangnya seorang daripada ibubapanya adalah warga
Malaysia. Saya sangat mengambil berat tentang isu ini, saya telah
berucap banyak kali di Parlimen dan juga telah menulis surat kepada
Kementerian Pelajaran pada tahun lepas. Perkara yang berkenaan bukan
hanya untuk murid-murid terus belajar pada Tingkatan 1 sahaja, sebab
kanak-kanak dan murid-murid dihentikan daripada persekolahan pada
semua peringkat pada hujung tahun lepas, baik sekolah rendah mahu
pun sekolah menengah, dan terutama sekali yang akan mengambil
peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM tahun ini, apabila sijil beranak
mereka menunjuk bahawa mereka bukan warga Malaysia.
Saya menggesa Menteri Pelajaran agar dapat menjalankan penyelarasan
yang rapi dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah kerana:
(a) Hanya kanak-kanak yang dilahirkan oleh seorang bapa warga
Malaysia dengan seorang wanita asing (dengan passport sah tetapi
tanpa pendaftaran perkahwinan) dibenarkan bersekolah. Apa pula jika
wanita asing berstatus haram kerana tidak memiliki sebarang dokumen
sah, adakah kanak-kanaknya dibenarkan bersekolah? Bukankah masanya
sudah sampai sekarang untuk penguatkuasaan syarat bahawa si-ibu yang
tidak sah perlu diberi status yang sah oleh si-suami terlebih dahulu
sebelum anaknya layak bersekolah? Patutnya tanggungjawab bapa warga
negara Malaysia yang melakukan hak perlindungan sivilnya bahawa dia
berkahwin dengan seorang wanita warga asing secara sah dengan
sekurang-kurangnya, dokumen yang sah, jika tidak, masalah PTI (Pendatang
Tanpa Izin) akan menimbulkan masalah seperti ini.
(b) Biasanya, bila seseorang kanak dilahirkan oleh seorang wanita
warga negara di Malaysia, kanak itu menjadi warga Malaysia secara
otomatis. Oleh itu, tiada masalah yang berbangkit daripada seorang
ibu warga Malaysia. Saya berharap Kementerian Pelajaran akan
memeriksa secara teliti status kanak-kanak bukan warga Malaysia yang
ibunya seorang warga Malaysia, terutama sekali dalam kes-kes anak
angkat yang diragui. Sistem amalan Malaysia patut lebih
memperlindungi hak-hak kanak-kanak keturunan warga Malaysia daripada
membenarkan PTI menikmati kelebihan daripada sistem kita. Sebenarnya,
bilik-bilik darjah sudah terlalu penuh sesak dengan murid-murid, dan
murid-murid tempatan tidak patut dirampas peluang pendidikan
berkualiti terutama sekali di Sabah. Bagaimanakah Kementerian
Pelajaran dapat membuktikan bahawa kanak-kanak ini mempunyai
identiti warga Malaysia sedangkan mereka langsung tidak memiliki
sebarang sijil beranak?
(c) Saya membantah amalan Kementerian Pelajaran yang membenarkan
kanak-kanak memasuki sekolah tanpa bukti sebarang dokumen atau sijil
beranak. Sabah masih menghadapi masalah wujudnya banyak tempat masuk
haram yang diguna PTI untuk mencuri masuk ke Sabah setiap hari.
Tidak ada anggaran atau tinjauan untuk menunjukkan bilangan
kanak-kanak haram yang sebenar di Sabah. Dengan membenarkan mereka
ini bersekolah di Sabah, kerajaan Malaysia seolah-olahnya memberi
isyarat yang salah kepada mereka iaitu mereka dialu-alukan masuk ke
Malaysia lalu menetap di sini. Kerajaan sepatutnya memperlindungi
hak-hak rakyat Malaysia dan tanah air kita, jangan buka sebarang
jalan yang boleh menggalakkan mereka (PTI) datang beramai-ramai.
(d) Saya ingin mengetahui apa rasionalnya Jabatan Pelajaran Negeri
di Tawau yang mengkehendaki semua ibubapa murid SK dan SMK supaya
dapatkan dokumen-dokumen anak-anaknya disahkan mulai tahun ini,
anak-anak pegawai-pegawai kerajaan pun tidak dikecualikan. Semuanya
tiga salinan setiap dokumen perlu disahkan, bagi tujuan aktiviti
akademik dan ko-kurikulum. Ini sudah menimbulkan porak beranda di
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tawau kerana ribuan salinan perlu
disahkan pada awal penggal sekolah tahun ini. Adakah amalan ini
hanya terpakai bagi Tawau sahaja, atau Sabah sahaja, atau untuk
seluruh Malaysia?
Walaupun kita alu-alukan langkah positif bertujuan identifikasi
dijalankan untuk kes-kes yang diragui sungguh-sungguhnya, terutama
sekali kes-kes sebenar di mana ibubapa telah memohon dan
menunggu-nunggukan untuk kelulusan kewarganegaraan Malaysia selama
lebih daripada 10 tahun. Saya mahu Kementerian Dalam Negeri
mencepatkan pertimbangan kes-kes tersebut supaya status kanak-kanak
dapat disahkan dari segi undang-undang. Kita perlu berhati-hati
supaya kes-kes ragu diperiksa dengan teliti dan disahkan secara
sempurna, kita jangan biarkan PTI mengambil kesempatan dari
sistem-sistem, hak-hak dan tanah air kita, terutama sekali di Sabah.
Saya menggesa Kementerian agar dapat memahami kerumitan masalah ini
sebelum cuba menyelesaikannya.
(2) Pekerja-pekerja Haram di Sabah
Semasa operasi pendaftaran khas “Ops Bersepadu” di Sabah mulai 1hb
Ogos hingga Oktober tahun lepas, seamai 312,827 orang pekerja asing
haram yang digajikan telah didaftar, kebanyakannya dari
sektor-sektor pembinaan, pertanian dan perladangan. Kerajaan Sabah
telah menetapkan satu had masa iaitu sehingga bulan Mei tahun ini
untuk majikan-majikan mereka ini mendapatkan dokumen-dokumen yang
sah, iaitu passport-passport untuk mengesahkan status
pekerja-pekerja asingnya dan membayar levinya. Saya ingin mengetahui
bilangan PTI yang merupakan pendatang baru dan bilangan PTI yang
merupakan pekerja-pekerja yang tinggal di sini melampau tempoh
dengan permit pekerja dan passport yang sudah habis tempoh sahnya?
Sudah cukup teruk terdapat PTI yang baru sampai, lebih teruk lagi
bila orang-orang yang bergantung kepada mereka dan kanak-kanaknya
juga turut datang. Apakah tindakan yang diambil oleh Kementerian
Dalam Negeri dari segi penguatkuasaan di Sabah? Nampaknya masalah
seumpama ini tidak berlaku di Sarawak atau Semenanjung Malaysia.
Tinggal hanya 3 bulan lagi sebelum hujung Mei tahun ini, apakah
tindakan yang diambil oleh Kementerian untuk membantu pastikan
permohonan lancar bagi PTI ini untuk mendapatkan dokumen sah,
passport dan permit kerja? 312,827 merupakan satu angka yang agak
besar, bagaimanakah Malaysia boleh mendapat kerjasama pihak-pihak
berkuasa kerajaan-kerajaan Filipina dan Indonesia supaya mencepatkan
permohonan-permohonan tersebut? Jika tidak, masalah ini kekal tidak
diselesaikan.
Saya sudah banyak kali menyebut sebelum ini bahawa majikan-majikan
di Sabah yang menggajikan pekerja-pekerja asing sangat sudi membayar
levi pekerja asing. Masalah yang dihadapi adalah: sebaik
pekerja-pekerja asing meninggalkan majikan asal selepas khidmat
beberapa bulan sahaja, majikannya terpaksa membuat bayaran levi
untuk pekerja asing baru. Ini adalah rugi dua kali ganda bagi
majikan. Dengan kekurangan penguatkuasaan terhadap pekerja-pekerja
asing yang “lompat”, keadaan ini telah menggalakkan
sekurang-kurangnya 60% kes ‘lompat’ tanpa sebarang denda dikenakan
pada majikan baru. Saya berharap pihak-pihak berkuasa adalah
sungguh-sungguh berkomitmen kali ini untuk menyelesaikan masalah
bayaran levi dan mendengar suara majikan-majikan terutama sekali
semasa kebanyakan sektor perdagangan sedang menghadapi kemerosotan
ekonomi. Cadangan-cadangan pihak majikan adalah berikut:
(a) Bayaran Levi seharusnya boleh dipindahkan. Jika seseorang
pekerja asing “hilang” selepas tiga bulan katakan, bayaran levi bagi
tempoh baki 9 bulan itu boleh dipindah kepada seorang pekerja asing
yang baru.
(b) Penguatkuasaan dan denda yang lebih tegas bagi majikan yang
menerima pekerja asing yang “melompat”.
(c) Kurangkan bayaran levi buat sekarang semasa krisis ekonomi
supaya semua majikan mampu mendaftarkan pekerja-pekerja asingnya.
Masalah ini akan kekal wujud seperti apa yang ada lebih 10 tahun
lalu, melainkan dan sehingga terdapat satu rancangan dan bantuan
yang komprehensif dari pihak-pihak berkuasa. Berapakah jumlah
bayaran levi yang telah dikutip kerajaan sejak 1997 dan berapakah
jumlah yang telah digunakan demi kepentingan rakyat dan majikan?
(3) Dua orang pekebun kecil dan pemilik ladang ditetak mati dan
sekurang-kurangnya lima orang tercedera parah di ladang diserangi
sekumpulan PTI di Kg Tingkayu, Kunak, Tawau pada pukul 2 petang,
Khamis, 12 Feb 2009, mengikut laporan Daily Express, Sabtu 14 Feb
2009.
Serangan yang membawa maut itu telah dilakukan satu kumpulan seramai
100 orang PTI pada sekumpulan lebih kuran 50 pekebun kecil tempatan
yang pergi ke ladang untuk mengutip buah sawit. Lebih awal bulan ini,
pekebun-pekeun kecil itu telah memperolehi Injunksi Makhamah Tinggi
Tawau untuk memasuki ladang sawit tersebut. Kumpulan PTI itu
menghalang mereka masuk ladang tersebut, menembak secara liar dengan
senapang buatan sendiri dan lembing. Pekebun-pekebun yang terkejut
lari, tetapi dua orang ditetak mati manakala lima orang lain
tercedera parah, beberapa kenderaan kemilikan mereka telah dirosak
oleh kumpulan PTI itu. Valentino James, peguam yang turut bersama
mereka untuk menjalankan kuasa perintah makhamah, juga diserangi dan
terpaksa lari untuk selamatkan dirinya. Serangan ini dengan tentunya
merupakan suatu penghinaan makhamah.
Bulan April 2008, Bernama telah melaporkan bahawa Badan Pencegah
Rasuah Sabah telah menyiasat seorang pegawai penguatkuasa berpangkat
tinggi yang dikatakan bergelaran “Datuk” dan beberapa anggota Polis
di Kunak yang disyaki menawarkan “khidmat Perlindungan” kepada
sebuah syarikat hartamilik tanah yang disyaki merampas ladang kelapa
sawit seluas 787 hektar yang dimiliki pekebun-pekebun kecil di
Kampung Tingkayu. Syarikat itu dilaporkan telah menggunakan khidmat
lebih daripada 100 orang samseng yang terdiri daripada PTI untuk
merampas tanah tersebut yang bernilai RM40 juta.
Kes-kes tersebut di atas yang membabitkan PTI menunjuk bahawa
pekebun-pekebun kecil tempatan yang sah dan yang juga rakyat
Malaysia telah dibuli oleh PTI yang mungkin bersuhabat dengan
orang-orang tempatan yang berpengaruh dan yang disyaki mengambil
rasuah. Ini adalah satu perkara yang serius. Saya menggesa
Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Asli dan Suruhanjaya
Anti Rasuah Malaysia (MACC) supaya memulakan satu penyiasatan segera
terhadap kes-kes tersebut di atas yang mungkin saling berkaithubung
secara rumit. Macam manakah kerajaan boleh biarkan orang-orang yang
sungguh-sungguhnya rakyat Malaysia di Sabah dibuli oleh PTI di atas
tanah air sendiri?
Nampaknya PTI sudah mengambil undang-undang dalam tangan sendiri.
Mereka sudah mencuri air dan elektrik kita; mereka sudah mencerobohi
hospital dan prasarana-prasarana kita, kini mereka sudah
mengambilalih tanah kita dan mencabar-cabarkan undang-undang kita.
Adakah kita buta sahaja sehingga biarkan mereka merampas hak-hak
kita, membunuh orang kita, dan merampas tanah kita? Saya menggesa
pihak-pihak berkuasa yang berkaitan supaya bangkit segera dan
menjalankan kerja penguatkuasaan bersungguh-sungguh untuk mengawal
masalah-masalah yang semakin teruk ini. Kita mahu hak-hak kita,
hidupan kita dan tanah kita diperlindungi sekarang juga!
(4) Industri Pembinaan Semula Lori menghadapi masalah kuota terhad
daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Pengusaha-pengusaha Industri Pembinaan Semula Lori di Sabah ingin
mengetahui daripada MITI apakah rasionalnya untuk mengurangkan serta
menghadkan kuota lori bina semula di Malaysia? Industri ini yang
mempunyai pengeluaran tahunan sebanyak 13,000 kenderaan di antara
jumlah 45,000 kenderaan (terpakai dan baru) dan merupakan 30% jumlah
penjualan kenderaan di Malaysia, akan menghadapi kesulitan dengan
kelulusan baru-baru ini kuota 5,000 kenderaan sahaja bagi 2009,
iaitu pengurangan 8,000 kenderaan di antara 18 buah syarikat
terlibat. Pengurangan dari 30% dahulu ke 9% sekarang daripada jumlah
pasaran merupakan kejatuhan 21% dalam pengeluaran, yang akan memaksa
sebilangan syarikat mengulung tikar atau menamatkan perkhidmatan
lebih kurang 2,000 orang pekerja. Adakah ini dasar kerajaan atau
pihak-pihak berkuasa untuk memaksa syarikat-syarikat itu mengulung
tikar atau menamatkan perkhidmatan pekerja-pekerjanya? Pada ketika
sulit kita sedang menghadapi tsunami ekonomi, bukankah lebih patut
kerajaan atau pihak-pihak berkuasa meluluskan kuota mengikut
kapasiti pengkilang-pengkilang, daya pasaran atau faktor keperluan
pengguna berbanding tindakan memaksa pencapai-pencapai yang baik
industri ini cari jalan keluar? Industri Pembinaan Semula Lori
memainkan satu peranan yang relevan dalam sektor SME yang melatih
serta menggajikan pekerja-pekerja mahir, serta mempromosikan
industri-industri sokongan SME lain yang berkaitan. Yang penting
sekali, industri ini memanfaatkan pekebun-pekebun kecil dalam sektor
perladangan dan pertanian yang tidak mampu membeli kenderaan baru,
terutama sekali di Sabah. Saya menggesa Menteri supaya meningkatkan
kuoto secepat mungkin untuk mengelakkan syarikat-syarikat digulung
tikar dan pekerja-pekerja dihentikan.
(5) Kapal-kapal Asing Menangkap Ikan di Perairan Sabah
Rakyat Sabah, terutama sekali nelayan dan pemilik kapal di Sabah,
sangat bimbang berkenaan stok ikan yang kian merosot dan kepupusan
stok ikan di Sabah termasuk Labuan, sepertimana ditunjuk oleh satu
kajian yang dijalankan bagi tempoh 30 tahun yang lalu. Bagi beberapa
tahun lepas, kapal-kapal Vietnam telah mencerobohi perairan Sabah
termasuk Labuan. Dengan menggunakan teknologi yang canggih, semua
ikan dan hidupan laut, besar atau kecil, semua tidak terlepas,
justeru itu, ini sudah menyebabkan stok ikan kecil terpupus atau
tidak berterusan lagi. Penceroboh-penceroboh itu juga didakwa
menangkap spesis-spesis yang diperlindungi seperti penyu, jerung dan
lain-lain. Jika dibiar tidak dijaga sahaja, perbuatan mereka ini
juga akan merosakkan program pemuliharaan marin Sabah yang terkenal
sedunia dan yang menarik ramai pelancong ke Sabah.
Sektor Menangkap Ikan di Sabah ingin mengetahui sama ada Jabatan
Perikanan Persekutuan telah secara rasmi mengeluarkan lesen-lesen
dan berapakah bilangan lesen untuk kapal-kapal asing menangkap ikan
di perairan Sabah dan Labuan, selepas permerhatian baru-baru ini
kapal-kapal asing dari Vietnam di hadapan Kota Kinabalu, bandaraya
pusat kerajaan Sabah. Mengapakah kelulusan lesen-lesen itu diberi
tanpa perundingan atau rekomendasi dari Jabatan Perikanan Negeri
Sabah? Ini sudah tentunya bercanggah dengan kepercayaan pihak
berkuasa Sabah pada pihak berkuasa persekutuan. Apakah sebabnya
kelulusan yang membenarkan kapal-kapal asing dari Vietnam menangkap
ikan di perairan Sabah dan Labuan masih dikeluarkan, sedangkan
nelayan-nelayan Sabah sudah menghadapi kesulitan-kesulitan selain
tangkapan yang sangat kurang? Adakah ini amalan dua standard dari
Jabatan Perikanan Persekutuan yang hanya diamalkan di perairan Sabah
tetapi tidak di perairan Sarawak pula?
Tidak guna langsung jika hanya mengkaji atau menyiasat kemerosotan
tajam tangkapan ikan, sementara yang ternyata sedang berlaku di
depan mata kita – kapal-kapal asing dibenarkan menangkap ikan di
perairan Sabah. Satu lagi pengetahuan biasa ialah, di mana ada
sebuah kapal menangkap ikan dari Vietnam, tentu terdapat juga sebuah
‘kapal ibunda’ yang tersembunyi dan menunggu dekat situ, supaya
tangkapan ikan boleh dipindah dengan mudah sekali. Jika bayaran
lesen menangkap ikan adalah sekadar jumlah tangkapan ikan oleh
kapal-kapal itu, jumlah tangkapan ikan yang sebenar tentu sudah pun
dipindah secara rahasia ke “kapal ibunda”.
Saya menggesa Kementerian Pertanian & Perusahaan Asas Tani dan
Jabatan Perikanan Persekutuan supaya memahami kesusahan yang
dihadapi sektor-sektor nelayan Sabah dan terus menghalang
kapal-kapal Vietnam itu menangkap ikan di perairan Sabah an Labuan.
Ini juga harus menjadi satu dasar “jangka panjang” untuk
menyelamatkan seluruh industri menangkap ikan di Sabah serta
menggalakkan pemuliharaan hidupan laut di Sabah dan sumber-sumber
makanan marin untuk rakyat Sabah.
Dengan setinggi-tinggi hormatnya, saya menjunjung kasih atas Titah
DYMM Yang DiPertuan Agung. |