Perbahasan Rang Undang-Undang Bekalan Tambahan 2008 (2009)
Oleh YB Datuk Chua Soon Bui (Tawau), 18 Mac 2009
Isu Pertama:
Kementerian Kewangan
Sistem-sistem pencukaian semasa adalah terlalu ketat dan tidak
fleksibel langsung sehinggakan syarikat-syarikat terpaksa membuat
penyelarasan terhadap margin keuntungan pada bulan Jun setiap tahun,
manakala keuntungannya mungkin didapati hanya pada hujung tahun kelak
akibat peluang perdagangan tertentu, dan mereka terus dikenakan cukai
denda kerana kesalahan membuat anggaran cukai yang terlalu rendah.
Ini adalah sangat kurang adil kepada pembayar-pembayar cukai, terutama
sekali rakyat yang sentiasa mematuhi undang-undang.
Arkitektur kewangan global telah roboh kerana keadaan-keadaan tertentu
yang tidak dapat diramalkan, dan kerajaan-kerajaan termasuk Amerika
Syarikat telah meluluskan baget perangsang yang raksasa untuk membantu
serta menyelamatkan negara-negara masing-masing.
Justeru itu, bukan luar biasa untuk sektor-sektor perdagangan yang
membuat anggaran yang lebih rendah bagi pendapatan atau keuntungannya, dan
mereka didenda kerana ketidakpastian pasaran sekarang.
Oleh itu, saya berharap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menyemak
semula syarat-syarat cukai pendapatannya. Jangan denda pembayar-pembayar
cukai yang baik dan gunakan cukai sumbangan mereka ini untuk manfaat
pihak-pihak lain.
Sistem denda yang kurang fleksibel ini adalah sangat kurang adil bagi
rakyat, ia sepatutnya tidak berlaku awal-awal lagi.
Kementerian seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengamalkan
dasar-dasar yang lebih adil saksama kepada rakyat jelata.
Walaupun ramai pembayar cukai telah mengadu kepada pihak LHDN, tetapi
lembaga itu enggan melayan aduan-aduan. Jangan merampas wang ringgit dari
saku rakyat, terutama sekali semasa tempoh krisis ekonomi yang susah.
Isu Kedua:
Kementerian Pengangkutan
Adalah hakikat yang sebenar-benarnya bahawa kos barangan, kos
bahan-bahan pembinaan, kos hidup secara am adalah lebih kurang 25-40%
lebih tinggi di Sabah, terutama sekali di kawasan-kawasan luar bandar
kerana kos pengangkutan tinggi atas jalan-jalan yang buruk kasar.
Walaupun terdapat banyak perayuan oleh Federation of Sabah
Manufacturers (FSM) meminta Kementerian Pengangkutan supaya
mempertimbangkan semak semula atau membuat keputusan terhadap dasar
cabotaj (Cabotage Policy) yang telah dilaksanakan sejak 1980, di mana
lebih kurang 3 juta rakyat Sabah telah terbeban selama 29 tahun yang lalu,
situasi ini mungkin akan menjadi lebih teruk lagi semasa krisis ekonomi
sekarang.
Oleh kerana terdapat prasarana yang agak memuaskan di teluk Sepanggar,
perayuan bahawa dasar cabotaj ini disemak semula adalah berpatutan, supaya
kos perkapalan bagi sebahagian sektor-sektor ini dapat dikurangkan secara
langsung. Ini akan memberi satu impak positif serta kesempatan-kesempatan
bagi 3 juta orang rakyat di Sabah.
Satu lagi alternatif yang boleh dipertimbangkan, kerajaan mungkin boleh
pertimbangkan pemberian subsidi kos pengangkutan bagi peniaga-peniaga
Sabah yang mengimport bekalan supaya kos barangan tidak membebankan mereka.
Diminta jangan sekali pun mengetepikan rayuan kami, komen-komen
Persatuan Pemilik-pemilik Kapal Malaysia adalah sangat kurang munasabah
lagi berat sebelah, mereka hanya mementingkan untung besar dalam saku
mereka sahaja, tidak peduli langsung tentang penderitaan yang dihadapi
oleh setiap orang awam dan sektor-sektor perdagangan di Sabah.
Sekali lagi saya merayu kepada Kementerian Pengankutan agar dapat
mendengar suara rakyat dan sektor-sektor perdagangan Sabah. Jangan sekali
lagi melemahkan kepentingan rakyat Sabah serta mengorbankan Sabah demi
kepentingan persekutuan.
Ingin saya merayu kepada Kementerian Pengangkutan agar dapat semak
semula dasar cabotaj atau memberi subsidi kos perkapalan supaya
meringankan beban kewangan peniaga-peniaga dan kepentingan rakyat Sabah.
Isu Ketiga:
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi
Saya berpendapat bahawa tepat masanya sekarang untuk memberi ganjaran
kepada industry kelapa sawit dengan membatalkan levi keuntungan luar biasa
memandangkan industry itu sudah pun membuat sumbangan yang besar berhubung
subsidi minyak masak dalam dua tahun yang lalu.
Semasa krisis ekonomi sekarang, Kementerian seharusnya memulakan labih
banyak usaha penyelidikan dan pembangunan (R & D) supaya melonjak Malaysia
menjadi satu pusat kecemerlangan sawit, mengeluarkan hasil tinggi
bahan-bahan sawit, mencapai produtiviti lebih tinggi, mengurus secara baik,
mengeluarkan produk-produk tambah-nilai yang baru, menjana kuasa elektrik,
mencari alternative-alternatif untuk menyelesaikan kos tinggi baja dan
racun perosak, dan menjadikan Malaysia satu pengusaha industry yang
berkelas terbaik di dunia.
Kementerian sepatutnya berhempas pulas seperti tersebut di atas,
janganlah sekadar memerah susu daripada lembu sahaja.
Isu Keempat:
Kementerian Kebajikan Masyarakat
Sabah sebagai negeri yang termiskin di Malaysia dijangka akan
menghadapi penderitaan yang teruk sekali terutama sekali di kalangan
keluarga-keluarga yang miskin dan yang miskin tegar. Saya telah membuat
permohonan bagi sebanyak 60 buah keluarga di bawah "Program Cari"di Tawau
beberapa bulan lalu, keluarga-kelurga ini memerlukan bantuan segera,
tetapi sehingga sekarang, mereka tidak menerima sebarang berita pun.
Rakyat Sabah ingin mengetahui bagaimana berkesan dan cepatkah bantuan
dalam mini baget perangsang ini akan sampai ke rakyat akar umbi, yang
berkeperluan dan yang berlapar, atau pun ia akan menjadi seekor gajah
putih sekali lagi.
Saya berharap kerajaan dan agensi-agensi yang relevan akan mencepatkan
penyampaian bantuan kepada rakyat di Sabah dan Tawau, prasarana yang
terjanji, jalan-jalan raya, jambatan-jambatan, dan lain-lain supaya
mengurangkan penderitaan rakyat Sabah sehingga tahap minima. |