|
DBKK digesa lobi lebih banyak dana Persekutuan.
KOTA KINABALU, Mac 23, 2009: Ketua Wanita Parti Maju
Sabah (SAPP), Melanie Chia, menggesa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)
melobi lebih banyak dana Persekutuan di bawah pakej ransangan kedua yang
telah dibentangkan baru-baru ini.
Katanya, DBKK perlu berbuat demikian kerana pakej itu
mengutamakan projek kecil sekaligus dapat membiayai kerja-kerja pembaikan
infrastruktur dan kemudahan yang rosak termasuk sistem saliran dan
kumbahan dalam bandaraya
Chia selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang berkata, sistem
saliran dikebanyakan estet perumahan lama didapati berada dalam keadaan
daif dan gagal berfungsi dengan baik menyebabkan keadaan sekitar menjadi
kotor dan kurang sihat.
Beliau memberitau wartawan ketika ditemui di pondok
perkhidmatan bergerak di kawasan Foh Sang di sini. Pondok itu didirikan
oleh pejabat beliau dengan kerjasama DBKK untuk pembayaran cukai pintu dan
permohonan lesen memelihara anjing.
Katanya, Dewan Bandaraya perlu berusaha menyediakan
perkhidmatan bernilai kepada masyarakat agar dapat menaik taraf kehidupan
di bandaraya ini.
Katanya, beberapa penduduk yang berkunjung ke pondok
itu mencadangkan Dewan Bandaraya supaya mempertimbang menghapuskan cukai
pintu dan lesen anjing pada masa ini untuk meringankan beban rakyat dalam
masa kegawatan ekonomi ketika ini.
Dalam pada itu, Chia menggesa para penduduk bandaraya agar menggunakan
dengan sebaik-baiknya kemudahan yang disediakan DBKK seperti pondok itu
untuk membayar cukai pintu dan lesen memelihara anjing masing-masing.
Perkhidmatan pondok hasil usahakan Chia itu yang bermula beberapa hari
lalu akan diteruskan pada hari Sabtu dan Ahad ini, Mac 28 dan Mac 29.
Potongan sebanyak 5 peratus akan diberikan kepada
mereka yang membayar cukai sebelum Mac 31 ini.
Sehingga kini sebanyak 265 anjing telah didaftarkan
melalui perkhidmatan pondok itu. |