Sabah tiada perubahan walau bajet ratusan bilion
Keningau, 31 Mac, 2009: Sabah masih belum nikmati sebarang perubahan
pembangunan ketara walaupun Kerajaan Persekutuan mengumumkan
kemungkinan memperuntukkan kira-kira RM470 bilion dalam bajet bagi
tahun ini dan tahun depan.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee
berkata, tahap pembangunan di seluruh negeri Sabah masih berada
ditakuk lama meskipun Kerajaan Pusat mengumumkan peruntukan sebesar
itu.
"Ini sama seperti guruh berdentuman kuat silih berganti dilangit
tetapi hujan tidak juga turun-turun," katanya berseloroh disambut
dengan tepukan gemuruh dari lebih 800 masyarakat Bumiputera di
Kampung Sunsulat Sook, dekat sini, semalam.
Bekas Ketua Menteri itu mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri
selaku Menteri Kewangan Persekutuan Datuk Seri Najib Tun Razak
bahawa kira-kira RM200 bilion lagi akan diperuntukan di bawah Bajet
2010, menjadikan peruntukan menjana ekonomi negara mencecah sekitar
RM470 bilion bagi tempoh dua tahun.
Ini berikutan pengumuman peruntukan RM206 bilion di bawah Bajet 2009
oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta dua
pakej rangsangan masing-masing berjumlah RM7 bilion dan RM60 bilion
yang diumumkan Najib sebelum ini.
Najib yang dinobatkan sebagai Presiden Umno baru, berkata kerajaan
yakin usaha-usaha melalui empat kumpulan peruntukan itu berjumlah
sekitar RM470 bilion akan mampu untuk menjanakan ekonomi dengan
lebih baik.
"Walaupun begitu, keberkesanannya masih bergantung kepada situasi
ekonomi luar negara," katanya ketika menggulung perbahasan usul
ekonomi di Perhimpunan Agung Umno 2008 di Kuala Lumpur beberapa hari
lalu.
Teck Lee berkata, Sabah sepatutnya merasai kepesatan dalam semua
aspek pembangunan tetapi malangnya perkara itu tidak berlaku
walaupun Kerajaan Pusat mengumumkan peruntukan sebesar itu yang
sebahagian kecil sepatutnya disalurkan ke negeri ini.
"Bukan setakat tidak ada hujan yang kelihatan malah peruntukan khas
sebanyak RM1 bilion seperti yang dijanjikan Abdullah ketika
berkunjung ke negeri ini sempena Pesta Menuai pada Mei tahun lalu
juga masih tidak kelihatan," tambah Teck Lee.
Katanya, peruntukan sebesar itu jika dicampur dengan peruntukan khas
tersebut sudah pasti dapat membina Hospital Nabawan dan Hospital
Umum baru di Kota Kinabalu bagi menggantikan Hospital Queen
Elizabeth (QEH) yang didapati tidak selamat diduduki apabila menara
utama rosak.
Beliau berkata, kes QEH itu menyebabkan para pesakit di Kota
Kinabalu dipindahkan ke hospital di daerah lain seperti Papar,
Tuaran dan beberapa lagi yang jauh dan menyusahkan.
"Ini seolah-olah memberitahu para penduduk sekitar Kota Kinabalu
supaya jangan sakit dahulu kerana tidak ada kemudahan kesihatan yang
mencukupi pada masa ini," katanya.
Yong berkata, SAPP mendapati Sabah masih ketinggalan jauh dari
segi pembangunan jika dibandingkan dengan Semenanjung walaupun
Kerajaan Persekutuan mengumumkan jumlah peruntukkan yang sangat
besar itu.
Beliau memberitahu, SAPP akan terus berjuang bagi memastikan Sabah
mendapat nikmat pembangunan sama seperti Semenanjung dengan
peruntukan seperti itu.
Turut hadir dimajlis itu antaranya, dua Timbalan Presiden SAPP,
Datuk Eric Majimbun dan Datuk Liew Teck Chan, tiga Naib Presiden,
Don Chin, Datuk Frankie Chong dan Datuk Chua Soon Bui, Ketua
Penerangan Chong Pit Fah, Ketua Pemuda Edward Dagul dan beberapa
Ahli Majlis Tertinggi parti.
|