SAPP: Sabah nanti PM baru Datuk Seri
Najib penuhi janji
Kota Kinabalu, April 3, 2009: Parti Maju Sabah (SAPP) jangka semua
pemimpin Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan perlantikan Datuk Seri
Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri ke-enam, kata Presidennya
Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.
Beliau berkata, para pemimpin BN itu merupakan mereka yang telah
memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri ke-lima walaupun SAPP telah
menyatakan hilang kepercayaan terhadap Abdullah pada Jun tahun lalu.
"Satu-satunya harapan SAPP terhadap para pemimpin Sabah dalam
kerajaan BN ialah agar mereka menggunakan sebaiknya era Najib untuk
kepentingan sah negeri ini.
"Perkara yang saya tidak dapat lupakan terhadap Abdullah ialah janji
RM1 bilion peruntukan khas pada Mei tahun lalu yang dilihat sebagai
umpan untuk kekal berkuasa. Pada hakikatnya, peruntukan itu masih
belum kelihatan.
"Kes itu merupakan satu cara kepimpinan bekas Perdana Menteri itu
yang mendatangkan banyak masalah kepada negara dan keputusan beliau
menaikkan harga minyak keterlaluan secara mendadak menyebabkan ramai
rakyat mengalami keperitan hidup," katanya dalam satu kenyataan di
sini, hari ini.
Teck Lee berkata, janji tidak tertunai seperti menyelesaikan masalah
pendatang asing tanpa izin (Pati) dan membatalkan saluran gas dari
Kimanis ke Bintulu Sarawak merupakan legasi perit rakyat Malaysia di
Sabah terpaksa hadapi untuk satu jangka masa panjang.
Katanya, rakyat Malaysia pasti tidak lupa kegagalan pentadbiran
Abdullah mencapai kataputus terhadap penggunaan bahasa Inggeris
dalam matapelajaran Matematik dan Sains yang telah memberi kesan
terhadap masa depan ramai generasi muda.
Katanya, tidak ada komitmen menyelesaikan masalah Hospital Queen
Elizabeth (QEH) boleh membunuh rakyat secara perlahan ketika ini.
Beliau mendakwa, para pengamal perubatan berkata ada kalangan
pesakit QEH telah menemui ajal.
"Ini adalah satu kecuaian dipihak pembuat dasar dan contoh utama
kerajaan BN di bawah kepimpinan Abdullah," kata Teck Lee.
Katanya, rakyat Sabah berharap sangat agar Najib dapat memenuhi
keperluan seperti pembinaan sebuah hospital umum di sini dan
hospital daerah di Nabawan.
Teck Lee berkata, SAPP akan terus berjuang agar kepentingan sah
rakyat Malaysia di Sabah dipenuhi seperti terkandung dalam deklarasi
8 perkara parti.
Katanya, SAPP akan terus berjuang bagi mendapatkan kuasa autonomi
Sabah dan politik tanpa perkauman.
Katanya, ketidakseimbangan sosio-ekonomi seperti kos hidup tinggi,
kadar kemiskinan tinggi, pendidikan berkualiti rendah dan penjagaan
kesihatan serta masalah social disebabkan Pati mesti diutamakan
dalam agenda nasional.
Beliau berkata, dasar diskriminasi seperti subsidi berat sebelah
terhadap beras Super Tempatan 15%, ketidak wujudan skim pelupusan
kereta dan rebat minyak yang tamat mesti diketepikan.
Katanya, dasar berat sebelah seperti Kabotaj dan dasar mementingkan
keuntungan FELDA juga mesti dikaji semula dengan segera.
"Pentadbiran baru pimpinan Najib perlu segerakan Borneosasi
perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak seperti dikatakan
dalam pembentukan Malaysia pada 1963," tambah Teck Lee.
Katanya, SAPP akan meneruskan agenda agar Labuan dikembalikan kepada
Sabah dan royalty minyak dinaikkan sehingga 20%. |