SAPP ketengah usul berikutan insiden bakar bendera
Kota Kinabalu, 6 April, 2009: Parti Maju Sabah (SAPP) akan
mengetengahkan usul di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen melalui
wakil rakyatnya supaya Kerajaan Persekutuan memastikan Filipina
menggugurkan tuntutan terhadap Sabah .
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) SAPP bagi Luyang dan Likas Melanie
Chia dan Datuk Liew Teck Chan serta Ahli Parlimen parti itu bagi
Sepanggar dan Tawau, Datuk Eric Majimbun dan Datuk Chua Soon Bui
akan membuat usul itu di sidang Dewan Undangan Negeri dan Parlimen
akan datang.
Sidang Dewan Undangan Negeri akan bermula pada 16 April ini.
"Tindakan mengetengahkan usul itu sangat penting untuk memastikan
status Sabah ," kata mereka dalam satu kenyataan bersama, di sini
hari ini.
Mereka berkata, tindakan itu dibuat berikutan kes seorang lelaki
yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu dan 11 lelaki lain di
tangkap polis Lahad Datu baru-baru ini kerana membakar bendera Sabah
dalam dua perhimpunan haram berasingan.
"Kami tidak tahu motif sebenar mereka, tetapi status ketua kumpulan
itu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu adalah sangat
membimbangkan," kata pemimpin SAPP itu.
Mereka berkata, masa telah tiba bagi Kerajaan Persekutuan
menyelesaikan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin di
negeri ini agar sebarang insiden tidak diingini dapat dielakkan.
Menurut mereka, bekas Presiden Filipina Ferdinand Marcos dilaporkan
telah menyatakan bahawa kerajaan beliau sudah menggugurkan tuntutan
terhadap Sabah beberapa dekad lalu.
Warga Malaysia di Sabah mengambil berat apabila agensi berita asing
melaporkan pada tahun lalu bahawa pemimpin Filipina ketika ini,
Presiden Gloria Arroyo Macapagal, tidak pernah membuat sebarang
ketetapan samada mengiktiraf atau sebaliknya kenyataan Marcos itu.
Wakil rakyat SAPP itu seterusnya berkata status Sabah sangat penting
kerana boleh membuat semua warga Malaysia yang tinggal di negeri ini
berada dalam keadaan aman jika Filipina telah secara rasminya
menggugurkan tuntutan terhadap Sabah .
Pada Sabtu, polis Lahad Datu telah menahan 12 lelaki termasuk
seorang lelaki yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu kerana
membakar beberapa helai bendera Sabah.
Ketua polis daerah Lahad Datu Supt Md Suhaimi Abdul Rahman berkata,
pada kira-kira jam 8.40am, polis menerima maklumat bahawa sekumpulan
lelaki telah membakar enam helai bendera Sabah di hadapan pasar
besar dan sebuah supermarket.
Suhaimi berkata, beberapa lelaki juga dilihat membawa bendera
berwarna merah berlambangkan singa.
Katanya, sebaik sahaja polis sampai ditempat kejadian, para lelaki
itu melarikan diri dan helaian bendera terbakar turut dijumpai.
Suhaimi menambah, beberapa suspek dilihat lari menghala ke ibu
pejabat polis daerah dan mereka seterusnya ditangkap serta disiasat
kerana perhimpunan haram.
"Kami masih menyiasat motif mereka tetapi seorang lelaki berumur 41
tahun yang dikatakan sebagai ketua kumpulan itu juga mendakwa
sebagai waris Sultan Sulu," katanya.
Katanya, suspek berusia diantara 14 tahun dan 41 tahun. Lebih dari
80 anggota polis dikerahkan dengan serta merta mengawal bandar itu
berikutan insiden tersebut.
Pemimpin SAPP itu berkata, kewarganageraan semua suspek perlu
disiasat untuk memastikan samada mereka rakyat Malaysia atau orang
asing memegang Kad Pengenalan Malaysia .
Mereka berkata, kes pembunuhan seorang lelaki di Tingkayu, oleh
rakyat asing yang telah melarikan diri ke negara jiran baru-baru ini
kerana pertelingkahan terhadap tanah juga sesuatu yang patut diambil
kira.
Mereka menambah, tindakan menyalahi undang-undang rakyat asing itu
yang menjadikan negeri ini sebagai tempat berteduh dan punca rezeki
tidak patut dimaafkan.
Kerajaan tidak seharusnya membiarkan kejadian seperti itu berlaku
dan berulang kerana keselamatan negara ini boleh terjejas, kata
mereka.
Pihak Kerajaan, terutamanya, pasukan keselamatan mesti bertindak
menghentikan sebarang kejadian seumpama itu kerana ia boleh menjadi
insiden lebih serius. |