Selesaikan masalah Hospital QEH dengan segera
KOTA
KINABALU, Apr 23, 2009: Perkhidmatan penjagaan kesihatan di Sabah
yang terjejas teruk berikutan masalah yang membelenggu Hospital
Queen Elizabeth (QEH) hanya dapat diselesaikan melalui campurtangan
pemimpin tertinggi negara Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Najib Tun
Razak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Melanie Chia berkata,
masalah itu telah berlarutan selama enam bulan tetapi para pemimpin
Sabah dan Menteri Kesihatan masih belum mampu mencari jalan
penyelesaian sehingga ke hari ini bagaimana perkhidmatan yang amat
diperlukan itu dapat dipulihkan dengan segera.
"Satu keputusan muktamad yang amat diperlukan dari Kementerian
Kesihatan masih belum kelihatan dan oleh itu campurtangan Perdana
Menteri sudah tentu dapat menyelesaikan isu itu," katanya ketika
ditemui selepas menyampaikan ucapan perbahasan pada sidang Dewan
Undangan Negeri di sini, hari ini.
Katanya, Perdana Menteri adalah pemimpin sesuai menyelesaikan
masalah itu kerana para pemimpin Sabah dan Menteri Kesihatan telah
saling bertemu dan membincangkan masalah itu samada di sini atau di
Kuala Lumpur tetapi kata putus agar masalah itu dapat diselesaikan
dalam masa terdekat masih belum mampu dicapai.
Chia mencadangkan Kerajaan Negeri menjemput Perdana Menteri
melawat Sabah dengan segera dan melihat sendiri masalah yang menimpa
rakyat selepas perkhidmatan penjagaan kesihatan di sini terjejas
teruk ekoran masalah menara utama QEH yang didapati tidak selamat
diduduki masih belum ada penyelesaian konkrit.
Katanya, Perdana Menteri selepas melihat keadaan rakyat dan
perkhidmatan di sini sudah pasti membuat satu keputusan muktamad
dengan serta merta supaya masalah itu selesai segera kerana Menteri
Kesihatan masih belum berupaya mencari jalan penyelesaian.
Beliau berkata, jawapan Ketua Menteri pada sesi soal jawab
kelmarin bahawa RM70 juta diperuntukkan untuk menangani masalah itu
melalui langkah jangka pendek yang memakan masa selama satu tahun
masih tidak memadai kerana tidak diketahui samada masalah itu dapat
diselesaikan dalam tempoh tersebut.
"Apa yang membimbangkan ialah jika tempoh masa langkah jangka
pendek itu dilanjutkan dan jika ini berlaku sudah pasti rakyat yang
memerlukan rawatan kesihatan akan bertambah derita.
Adakah kita sanggup melihat para pesakit menemui ajal kerana
tidak sempat mendapatkan rawatan yang diperlukan? Situasi yang tidak
menyenangkan ini pasti dapat dielakkan jika ada campur tangan dari
Perdana Menteri," katanya.
Hospital itu, satu-satunya hospital rujukan utama di Sabah disahkan
tidak selamat diduduki pada penghujung tahun 2008 sehingga memaksa
para pesakit dipindahkan ke beberapa hospital daerah seperti di
Tuaran, Kota Belud, Papar, Sipitang, Keningau dan hospital swasta
berdekatan.
Kerajaan Sabah telah memberi beberapa cadangan kepada Kementerian
Kesihatan tetapi tidak ada satu keputusan muktamad dibuat, katanya.
Chia berkata, langkah jangka panjang yang diberitahu Ketua
Menteri seperti pembinaan Menara Kembar di tapak QEH dan Hospital
Umum baru di Kinarut yang kedua-duanya boleh menyediakan 1,361 buah
katil dilihat masih belum dapat memenuhi keperluan perkhidmatan
penjagaan kesihatan di negeri ini.
Katanya, pembinaan Menara Kembar itu tidak diketahui bila akan
dimulakan manakala Hospital Kinarut dikatakan hanya akan dibina
dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (2011-2015) dan belum ada
kepastian samada pada awal atau akhir RMK10.Katanya, bekas Timbalan
Menteri Kesihatan ketika melawat negeri ini sedikit masa dulu
berkata bandaraya ini memerlukan sekurang-kurangnya 1,500 buah katil
menjelang 2012 dan kenyataan itu sudah jelas memperlihatkan
keperluan mendesak perkhidmatan penjagaan kesihatan di Sabah yang
belum pasti dapat dipenuhi.
|