SAPP: Gugurkan tuntutan terhadap Sabah
KOTA KINABALU,
24 April 2009: Kerajaan Persekutuan perlu memberi tekanan kepada
Filipina supaya negara jiran itu menubuhkan pejabat konsulat di
Sabah agar tuntutan terhadap negeri ini gugur secara rasmi.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee berkata,
tekanan terhadap Filipina diharap dapat mendorong negara jiran itu
menubuhkan sebuah pejabat konsulat di Sabah.
Katanya, tuntutan terhadap Sabah akan gugur dengan sendirinya
apabila sebuah pejabat konsulat ditubuhkan di negeri ini.
"Saya cadangkan tekanan saraf dikenakan terhadap Filipina seperti
menutup pejabat konsulat Malaysia di Davao di selatan negara itu
manakala perkhidmatan feri antara Mindanao juga di selatan negara
jiran itu dan Sabah digantung.
"Segala bantuan dari Malaysia kepada negara jiran itu yang disalur
melalui Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) juga patut digantung,"
katanya.
Bekas Ketua Menteri itu berkata demikian pada satu sidang media di
ibu pejabat SAPP di Bornion Centre, Luyang, di sini, hari ini.
Katanya, parti SAPP berpendapat tekanan seperti itu berupaya memaksa
Filipina mengugurkan tuntutan terhadap Sabah walaupun Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktiraf bahawa Sabah adalah
sebahagian dari Malaysia pada 1963.
Teck Lee berkata, Brunei dan Indonesia malah Jepun mempunyai pejabat
konsulat penuh di Sabah tetapi Filipina walaupun sebuah negara jiran
tidak mempunyai pejabat konsulat di negeri ini.
Katanya, keengganan Filipina menubuhkan sebuah pejabat konsulat di
Sabah menunjukkan dengan jelas bahawa mereka ingin menghidupkan
semula tuntutan terhadap negeri ini.
Katanya, negara-negara jauh seperti Perancis, Denmark, Slovakia,
British, Finland, Switzerland, Panama, Bangladesh dan Australia
telah mempunyai pejabat konsulat di Sabah tetapi tidak Filipina.
Teck Lee berkata, Filipina bukan sahaja belum mengugurkan secara
rasmi tuntutan terhadap Sabah malah dilaporkan sedang berusaha
menghidupkan semula tuntutan itu dengan beberapa cara yang antaranya
boleh menjejas keselamatan Malaysia.
Beliau berkata, tuntutan terhadap Sabah muncul semula apabila
beberapa orang membakar bendera Sabah di Lahad Datu pada 4 April
lalu dan 'sijil lahir' diberikan kepada kanak-kanak yang lahir di
negeri ini oleh pihak berkuasa asing.
Katanya, beberapa bahan bercetak serta website secara terbuka
mengatakan Sabah bukan sebahagian dari Malaysia juga adalah
sebahagian daripada cubaan menghidupkan semula tuntutan terhadap
Sabah.
Katanya, tindakan Filipina mengetengahkan isu bahawa tuntutan negara
itu terhadap kedaulatan Borneo Utara (Sabah) mungkin tercabar
apabila kes tuntutan Pulau Ligitan dan Sipadan diantara Malaysia dan
Indonesia didengar di Mahkamah Antarabangsa (ICJ) menunjukkan mereka
cuba menghidupkan semula tuntutan terhadap negeri ini.
"Isu sebenar di sini ialah tentang keselamatan. Konflik mungkin
berlaku pada masa hadapan sebahagiannya disebabkan oleh harapan
kosong segelintir rakyat Filipina dan pendatang asing tanpa izin di
negeri ini bahawa mereka adalah waris sah Sabah dan bukannya warga
Malaysia," katanya.
Teck Lee berkata, Filipina juga didapati masih menghidupkan tuntutan
terhadap Sabah secara efektif melalui perang psikologi apabila Sabah
(North Borneo) tidak disebut sebagai sebahagian dari Malaysia dalam
peta rasmi negara itu.
Katanya, tindakan seperti itu boleh memberi persepsi kepada rakyat
Filipina bahawa terdapat sebuah tempat bernama Sabah yang menjadi
sebahagian dari wilayah negara jiran itu.
Katanya, SAPP juga kesal apabila pihak berkuasa membebaskan tanpa
mendakwa orang yang membakar bendera Sabah di Lahad Datu baru-baru
ini.
"Membakar bendera Sabah dan akhbar The New Sulu Times serta beberapa
website yang mempromosikan tuntutan terhadap Sabah adalah elemen
anti-Malaysia yang boleh menjadi ancaman terhadap keselamatan negara
ini dimasa hadapan.
"Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya memandang rendah ancaman yang
bakal terjadi nanti," katanya.
Katanya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang membakar
bendera Sabah, penerbit akhbar dan pengendali website itu agar tidak
ada sebarang pihak dengan sesuka hati mencanang elemen anti-Malaysia
yang boleh membawa bahaya kepada negara ini.
Katanya, walaupun permit penerbitan akhbar itu telah ditarik balik
tetapi mereka masih boleh menerbitkan akhbar lain dengan nama lain.
Turut hadir dua Timbalan Presiden SAPP, Datuk Eric Majimbun dan
Datuk Liew Teck Chan, Naib Presiden Datuk Frankie Chong, Ketua
Penerangan Chong Pit Fah, Ketua Wanita Melanie Chia dan Ketua Pemuda
Edward Dagul. |