SAPP: Dr. Yee tidak ada rekod membanggakan
Kota Kinabalu, 30 April 2009: Menteri Pembangunan Sumber dan
Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Dr. Yee Moh Chai mengintai
mengambilalih jawatan Timbalan Ketua Menteri daripada Datuk Raymond
Tan kerana memberi pujian melangit terhadap Ketua Menteri Datuk Seri
Musa Aman.
Kenyataan Dr. Yee bahawa Musa telah melakukan lebih banyak kebaikan
kepada masyarakat Cina berbanding bekas para Ketua Menteri dari kaum
itu sendiri menjelaskan niat sebenar Menteri itu, kata Ahli Majlis
Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk David Chong Ket Sui.
Katanya, Dr. Yee membuat pujian itu kerana beliau merupakan ahli
Kabinet Negeri dari kaum Cina yang paling lama berkhidmat dan
melihat dirinya sebagai orang yang paling layak menggantikan Tan
apabila masa yang ditunggu tiba.
Ket Sui berkata, Dr. Yee selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Api-Api juga didapati memperagakan gambar besar Musa apabila
menganjurkan perayaan Tahun Baru Cina di Jalan Gaya di sini setiap
tahun.
Katanya, pelaburan Dr. Yee selaku Timbalan Presiden Parti Bersatu
Sabah (PBS) itu bakal membawa habuan apabila Musa melantiknya
sebagai Timbalan Ketua Menteri kuota kaum Cina apabila masanya tiba.
"Menteri dari kaum Cina sepatutnya mengurangkan masa melobi jawatan
dan memberi tumpuan menyelesaikan masalah rakyat seperti kekurangan
bekalan tenaga yang membawa banyak kerugian, keadaan teruk
perkhidmatan penjagaan kesihatan.
"Kemerosotan ekonomi dan kadar jenayah tinggi serta masalah
kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak ada
penyelesaian sehingga kini," katanya, dalam satu kenyataan di sini,
hari ini.
Ket Sui berkata, Dr. Yee sering mengetengahkan isu berkaitan PATI
ketika PBS dipihak pembangkang tetapi tiba-tiba senyap setelah parti
itu menyertai semula Barisan Nasional (BN), gabungan pemerintah
ketika ini.
Mengenai karnival perayaan Tahun Baru Cina di Jalan Gaya, Ket Sui
berkata, Dr. Yee sepatutnya merasa malu apabila mengatakan karnival
itu membawa manfaat besar kepada masyarakat Cina apabila dianjur
oleh Kerajaan dibawah seliaan beliau.
Ket Sui selaku Pengerusi CLC Api-Api SAPP berkata, aktiviti
kebudayaan Cina di Jalan Gaya sudah menjadi lumrah sejak
pemerintahan Kerajaan Berjaya dan PBS ketika Dr. Yee masih belajar
di luar negara.
Katanya, pelbagai aktiviti kebudayaan Cina semasa pemerintahan
kerajaan BN pasca 1994 seperti perayaan Kuih Bulan pasti diadakan di
Jalan Gaya.
Katanya, banyak karnival Tahun Baru Cina dan perayaan suku kaum Cina
anjuran badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan masyarakat Cina
diadakan di seluruh Sabah seperti di Padang Merdeka di sini,
Sandakan, Tawau, Keningau, Lahad Datu dan daerah lain sejak dulu
lagi.
Beliau berkata, apa yang dilakukan Dr. Yee di Jalan Gaya dengan
menggunakan dana ADUN tidak dapat menandingi kerja keras dan
sumbangan ikhlas masyarakat Cina sejak beberapa dekad lalu.
Kenyataan Dr. Yee yang menekankan bahawa setiap Menteri tidak perlu
memperbesar-besarkan sumbangan mereka terhadap masyarakat Cina
bertentangan dengan beliau yang mengukir namanya pada kerusi logam
di Luyang di sini dengan niat memberitahu masyarakat selama-lamanya
akan sumbangan beliau, kata Ket Sui.
Ket Sui berkata, beberapa papan tanda memberitahu rakyat sumbangan
Dr. Yee terhadap pembinaan beberapa perhentian bas sekolah, padang
permainan dan tong sampah kitar semula walaupun menggunakan dana
wakil rakyat juga bertentangan dengan prinsip itu. |