Sabah perlu bekalan tenaga dari Sarawak bukannya Indonesia atau Brunei
Kota Kinabalu, 1 Mei 2009: Catuan bekalan tenaga semasa difahamkan
akan berlanjutan sehingga Jun yang pasti membangkitan kemarahan
rakyat dan lebih teruk lagi apabila Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB)
telah mengaku menghentikan penyaluran bekalan ke Pantai Timur
melalui sistem grid beberapa hari lalu.
Sabah, negeri terbanyak mengalami masalah bekalan letrik di negara
ini, sepatutnya mendapat bekalan tenaga dari empangan Bakun atau
empangan Murum, kedua-duanya di Sarawak, dan bukannya Indonesia atau
Brunei, untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Melanie Chia berkata,
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sepatutnya memberi
pertimbangan supaya bekalan tenaga dari empangan itu di salurkan ke
Sabah kerana masalah bekalan masih berlaku sejak sekian lama.
"Sabah amat memerlukan bekalan tenaga itu dan bukannya Kalimantan
atau Brunei. Penyaluran bekalan dari Sarawak adalah langkah terbaik
menangani masalah kekurangan tenaga di Sabah," kata, Chia yang juga
Ketua Wanita Parti Maju Sabah (SAPP) dalam satu kenyataan di sini,
hari ini.
Najib pada 23 April di Jakarta mengumumkan bahawa tenaga dari
empangan Bakun akan disalurkan ke Kalimantan serta Semenanjung
Malaysia melalui kabel dasar laut.
Empangan Bakun dijadualkan beroperasi pada 2011 dan kabel pertama
dijangka menjana kuasa sebanyak 1,800megaWatt (mW) dari Sarawak ke
Johor menjelang 2013 dan kabel kedua pada 2015.
Negara jiran, Brunei dijangka menerima sehingga 400mW tenaga letrik
menjelang 2013 melalui talian dari empangan Murum yang berkuasa 1000
mW.
Chia berkata, Kerajaan Persekutuan mesti mempertimbangkan menyalur
lebihan tenaga dari Sarawak ke Sabah samada melalui Bakun atau Murum.
Katanya, opsyen itu adalah yang terbaik untuk mengatasi masalah
kekurangan bekalan letrik di seluruh Sabah walaupun banyak langkah
telah diambil tetapi masalah itu masih berterusan sejak penubuhan
Malaysia pada 1963.
Katanya, bekalan tenaga yang mencukupi dan konsisten juga dapat
menarik pelaburan samada dari dalam negeri atau luar negeri untuk
meningkatkan ekonomi Sabah.
Pengurus besar kanan SESB, Peter Lajumin pada 29 April telah
mengakui bahawa catuan itu akan berlanjutan sehingga Jun dan
bukannya April seperti yang dijangkakan, dan kenyataan beliau itu
pasti membuatkan kehidupan lebih sukar kepada rakyat terutamanya
sektor peniaga yang terpaksa menampung kerugian besar.
Chia berkata, pemberhentian penyaluran bekalan ke Pantai Timur
sangat dikesali kerana bakal menambah kemarahan rakyat terhadap rasa
tidak puas hati mereka mengenai masalah itu.
Jangan ugut kami dengan loji arang batu
Mengenai kenyataan Lajumin bahawa pembinaan loji arang batu walaupun
mendapat bantahan ramai adalah langkah terbaik menangani masalah itu,
Chia berkata "SESB tidak sepatutnya mengugut rakyat terhadap
cadangan pembinaan loji arang batu yang menjadi isu hangat itu".
Chia berkata, loji arang batu bakal membawa lebih banyak masalah
seperti merosakkan alam sekitar dan eko-sistem yang menjadi aset
Sabah terutamanya usaha mempromosi sektor pelancongan.
Katanya, rakyat juga risau jika warisan negeri, Lembangan Maliau dan
Lembah Danum, yang kaya dengan simpanan arang batu kelas satu
mungkin akan dilombong apabila bekalan dari Indonesia atau China
sukar didapati atau kedua-dua negera tidak lagi dapat mengeksport
bahan itu.
Beliau berkata, catuan bekalan itu memberi kesan kepada
sekurang-kurangnya 20 peratus kawasan di Sabah yang mempunyai talian
letrik dan situasi itu tidak memberi sebarang kebaikan kepada
ekonomi.
Kenyataan SESB bahawa syarikat utiliti itu baru-baru ini menyewa
sebanyak 20 set generator mungkin tidak mencukupi untuk mengatasi
masalah itu terutamanya di bandaraya ini untuk sementara waktu.
Menurutnya, bekalan tenaga terputus dibeberapa kawasan di negeri ini
tanpa notis awal menyebabkan rakyat mengalami kesukaran termasuk
kesesakan jalan apabila lampu trafik tidak berfungsi.
Beliau menasihati SESB supaya memberi notis awal terlebih dulu di
akhbar-akhbar tempatan agar rakyat boleh bersedia jika berlaku
sebarang pemotongan.
Chia berkata, bekalan tenaga dari Sarawak sangat diperlukan di
negeri ini kerana masalah tenaga masih berlaku walaupun sistem grid
Timur-Barat bernilai jutaan Ringgit sudah disiapkan.
Beliau musykil tentang kemajuan perbincangan diantara Kerajaan Sabah
dan Kerajaan Sarawak mengenai cadangan negeri ini yang ingin membeli
tenaga dari negeri jiran itu seperti yang dikatakan Menteri
Kemudahan Awam Sarawak Datuk Seri Awang Tengah Awang Ali Hassan pada
akhir 2008.
Katanya, perbincangan itu jelas menunjukkan bahawa ada alternatif
lain bagi loji arang batu bernilai RM1.3 bilion yang dicadangkan
dibina di Pantai Timur.
Katanya, Tenaga Nasional Berhad (TNB), pemilik 80 peratus saham SESB
tidak menimbangkan sepenuhnya opsyen membina loji berkuasa bahan
lain selain arang batu sebelum mencadangkan loji arang batu itu.
Beliau berkata, apabila kuasa solar, kuasa angin dan bio-mass
didapati tidak berdaya maju, TNB bertanggungjawab terhadap keperluan
rakyat Sabah dengan melabur dalam kuasa hidroelektrik dan tenaga gas
asli.
Katanya, rakyat Sabah sangat mengharapkan penswastaan bekalan tenaga
di negeri ini dapat memperbaiki perkhidmatan apabila Lembaga Letrik
Sabah (LLS) diambil alih TNB dan menjadi SESB pada 1998.
Bagaimanapun, rakyat sedih kerana masalah kerosakan loji dan catuan
bekalan masih menjadi sebahagian dari kehidupan warga Malaysia di
Sabah sehingga ke hari ini.
|