|
Yong:
Menyegerakan proses permohonan tanah
NABAWAN,
24 Mei 2009: Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa Kerajaan Sabah
menyekat Tanah Adat (Customary Land) daripada dipindah milik sebagai
menjaga kepentingan hak kaum Bumiputera di negeri ini.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, langkah
seperti itu perlu diambil agar Tanah-Tanah Adat tidak jatuh ke
tangan syarikat swasta dan kaum Bumiputera pula kehilangan tanah.
Beliau seterusnya menggesa Kerajaan Sabah menyegerakan proses
permohonan tanah oleh masyarakat Bumiputera terutamanya permohonan
terhadap Tanah Adat.
Katanya, masyarakat Bumiputera berhak memiliki Tanah Adat itu kerana
mereka telah menduduki tanah-tanah tersebut dari satu generasi ke
satu generasi lain dan sekaligus mempunyai hak dari segi adat
istiadat.
"Apa yang mengecewakan ialah apabila tanah seperti itu jatuh ke
tangan syarikat swasta melalui proses pindah hak milik yang boleh
dipertikaikan.
"Sebagai contoh, Kampung Serudong Baru di Tawau kini
dimiliki oleh sebuah syarikat swasta apabila hak milik tanah
perkampungan itu Kerajaan Sabah berikan kepada seorang individu yang
kemudian menjualkannya kepada syarikat itu," katanya.
Bekas Ketua Menteri itu berkata demikian ketika merasmikan perayaan
Pesta Kaamatan SAPP Peringkat Negeri di Kampung Saupi, dekat sini,
pada hari ini.
Seramai kira-kira 1,500 penduduk daerah kecil itu hadir memeriahkan
pesta itu yang diwarnai dengan beberapa acara kebudayaan disamping
pertandingan Unduk Ngadau (Ratu Cantik) sebagai kemuncak.
Turut hadir, antaranya, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen
Sepanggar Datuk Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Eric Majimbun, Naib
Presiden merangkap Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong, Naib
Presiden Don Chin, Ketua Penerangan Chong Pit Fah, Ketua Wanita
merangkap ADUN Luyang Melanie Chia, Ketua Pemuda Edward Dagul, Ahli
Parlimen Tawau Datuk Dr. Chua Soon Bui dan beberapa pemimpin
setempat.
Yong berkata, proses permohonan tanah terutamanya oleh kaum
Bumiputera boleh disegerakan dengan menubuhkan satu pasukan khas
(Special Task Force) seperti apa yang beliau lakukan beberapa tahun
lalu.
"Sebanyak 40,000 permohonan tanah oleh kaum Bumiputera telah
diluluskan melalui satu pasukan petugas khas ketika saya menjadi
Ketua Menteri dari tahun 1996 hingga 1998," katanya.
Beliau berkata, tanah adalah hak tidak ternilai kaum Bumiputera dan
kehilangan tanah, antara lain, boleh menyebabkan kehidupan mereka
tersepit dan menjadi miskin.
Menyentuh mengenai amalan budaya kaum Bumiputera di
negeri ini terutamanya, Sabung Ayam, oleh suku kaum Murut, Yong
berkata, budaya seperti itu perlu dipelihara dan bukannya disekat
atau dimansuhkan sama sekali.
Katanya, pihak berkuasa tidak patut menyamakan adat Sabung Ayam itu
dengan aktiviti kurang sihat seperti berjudi, sebagai alasan untuk
meyekat adapt tersebut.
Ini adalah kerana Sabung Ayam yang diamalkan suku kaum Murut adalah
satu budaya menghormati para pengunjung ke sesuatu majlis yang
mereka adakan.
"Sabung Ayam suku kaum Murut bukan menggalak judi
seperti yang diandaikan sesetengah pihak terutamanya pihak berkuasa,"
katanya.
Beliau berkata, aktiviti perjudian hanya boleh berlaku jika sesuatu
pertaruhan berbentuk wang berlaku.
Katanya, pertaruhan seperti itu tidak berlaku ketika acara Sabung
Ayam dijalankan oleh suku kaum Murut itu.
Katanya, Sabung Ayam suku kaum Murut juga didapati tidak melanggar
undang-undang seperti kekejaman terhadap haiwan (Cruelty Against
Animal) yang disangka oleh penjajah pada ketika dulu dan pihak Barat
ketika ini.
Yong seterusnya berkata, aktiviti Lumba Kuda dan Lumba Perahu juga
mungkin perlu disekat kerana dipercayai menggalak perjudian kerana
kemungkinan besar pertaruhan berbentuk wang berlaku.
Aktiviti Lumba Perahu seperti Lumba Perahu Naga adalah satu acara
kebudayaan suku kaum Tionghua yang tidak ada unsur perjudian.
Perahu Lepa-Lepa, sejenis pertandingan menghiasi perahu suku kaum
Bajau di Semporna juga tidak ada unsur judi kerana acara itu adalah
berbentuk kebudayaan.
Pesta Kaamatan SAPP KK Zone
|
Happy Harvest
Festival "Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan"
|
|