Perbahasan tentang Program PLKN oleh YB Datuk Dr Chua Soon Bui
Kuala Lumpur, Jun 16,
2009:
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah dilaksanakan selama 5
tahun sehingga sekarang, tetapi masih terdapat kelemahan-kelemahan
yang perlu diperbaiki secara mendesak. Perkara-perkara yang
dikhuatiri meliputi kemudahan kem yang tak sampai standard,
kekurangan keselamatan, kebersihan yang merbahayakan kesihatan,
profesionalisme atau lebih tepatnya kekurangan profesionalisme
jurulatih-jurulatih, masalah disiplin pelatih, dan yang penting
sekali, kematian sebilangan pelatih yang tidak dijangka dan tak
dapat dijelaskan. Walaupun pihak berkuasa telah memberi jaminan,
namun masih dikesali bahawa beberapa insiden kematian pelatih
berlaku lagi tahun ini.
Justeru itu, orang ramai terutama
ibubapa-ibubapa masih meragui tahap keselamatan kem-kem PLKN. Oleh
itu amatlah penting untuk memenangi balik keyakinan orang ramai,
terutama ibubapa-ibubapa, kerana jika berlakunya satu kematian lagi
program latihan ini tentu tidak berkesan dan tidak berjaya dalam
mencapai objektif-objektifnya.
Saya mendesak pihak PLKN dan pengerusinya agar dapat melaksanakan
cadangan-cadangan berikut:
(1) Satu pendekatan yang lebih fleksibel perlu diambil terhadap
keluarga-keluarga yang mengalami kematian pelatih PLKN, kerana
ibubapa yang telah mengalami trauma kehilangan seorang anak tidak
akan membenarkan anak yang lain menyertai kem PLKN lagi.
Sepertimana
yang dilaporkan pada 1 hb Jan 2009, Ahmad Al-Hashiemi, umur 18,
terjatuh ke dalam sebatang parit monsun di kem PLKN Selama dan
diberi rawatan sakit bahunya di pusat perubatan kem tersebut. Tetapi
dia mengalami koma selepas dikenalpasti jangkitan paru-paru lalu
mati. Bapanya yang menderita kerana trauma kematiannya tidak akan
membenarkan mana-mana anaknya yang lain menyertai kem PLKN.
Ricky, umur 20, mati pada September 2008, sembilan hari selepas tamat
latihan PLKN. Punca kematiannya masih belum dikenalpasti. Adik
perempuannya, Jane, umur 17, telah diberi tempoh penangguhan 3 tahun
untuk menyertai kem PLKN atas sebab kehilangan abangnya.
Akan tetapi,
ibubapanya sesungguhnya tidak akan membenarkan dia menyertai kem
PLKN, kerana takut mereka mungkin akan kehilangan seorang anak lagi.
Saya berasa ia memang tidak beza banyak jika Jane diberi
pengecualian khas tidak perlu menyertai kem PLKN kerana dia terpaksa
bekerja untuk menjaga bapanya yang kurang upaya dan ibunya.
Oleh
kerana terdapat sebilangan kes istimewa, saya mendesak pihak PLKN
supaya memberi pengecualian bagi anak-anak lain dalam
keluarga-keluarga yang berkenaan atas sebab kepremanusiaan. Saya
juga mendesak PLKN supaya menyediakan satu kertas putih siasatan
terhadap punca-punca kematian-kematian itu, ini adalah yang
sekurang-kurangnya yang dapat dilakukan demi menghormati dan
mengurangkan kesakitan yang dialami keluarga-keluarga berkenaan.
Saya ingin mengetahui apakah tindakan-tindakan dan langkah-langkah
lanjutan yang telah diambil oleh PLKN untuk mengelakkan kematian
yang baru, kerana kononnya sebahagian kematian yang telah berlaku
itu dapat dielakkan.
Saya juga mendesak PLKN supaya mengambil
langkah-langkah tambahan untuk mendapatkan rawatan perubatan yang
lebih baik dan juga memberitahu keluarga-keluarga berkenaan sebaik
seorang pelatih mengalami kemalangan atau masalah kesihatan demi
pencapaian “sifar kematian” di kem PLKN.
(2) Kes-kes tidak berdisiplin, terutama sekali perlawanan dan jenaya,
telah dilaporkan sebagai kerap berlaku di sekolah-sekolah dan juga
kem PLKN. Adalah dikesali bahawa akhbar pada 15 Mac 2009 telah
melaporkan insiden seorang pelatih di satu kem PLKN di Pulau Pinang
yang mengalami kecederaan sehingga menerima 8-jahitan pada kepala
dan jari-jarinya dan sekarang bermasalah bercakap, selepas dia
diserangi oleh seorang pelatih yang lain di kem itu.
Semasa
menyertai kem PLKN di negeri Perlis sebelum itu, dia telah mengadu
kepada pihak kem berkaitan kes-kes tidak berdisiplin, malangnya
pengaduannya tidak dilayani langsung, tidak ada sebarang tindakan
diambil. Saya mendesak pihak berkuasa supaya memandang serius
masalah ini.
Ramai pelatih yang bermasalah disiplin dan telah
menyebabkan kecederaan kepada pelatih-pelatih lain sepatutnya
disingkirkan segera dan ditempatkan di sebuah kem yang khas untuk
memberi fokus pada latihan disiplinnya.
Tindakan ini akan menjadi
satu amaran pencegahan kepada pelatih-pelatih yang lain dan
mengelakkan kecederaan dan kegangguan kepada pelatih-pelatih yang
lain.
(3) Saya mendesak PLKN mempertimbangkan pengambilan pelatih-pelatih
yang merupakan pelajar-pelajar tercicir dari sekolah sebelum mereka
mencapai umur 18. Mereka ini patut diberi satu peluang yang sama
untuk mengambil bahagian dalam pencapaian objektif-objelktif PLKN.
Budak-budak yang tercicir dari sekolah ini mungkin telah berhenti
persekolahannya selepas PMR atau peringkat lain sekola menengah atas
pelbagai sebab, sama ada masalah keluarga, tak berminat dalam
pelajaran akademik, atau masalah disiplin.
Akan tetapi mereka ini
masih muda dan terlalu senang dipengaruhi oleh kumpulan sebayanya,
mereka adalah terutama sekali terdedah oleh anasir-anasir buruk
dalam masyarakat ini. Akibatnya mungkin adalah penambahan bilangan
penjenayah juvenile, gejala sosial dan jenayah.
Saya yakin bahawa
budak-budak tercicir dari sekolah ini patut diberi satu peluang
menyertai latihan PLKN di mana mereka dapat diberi latihan disiplin
dan pembinaan watak, selaras dengan objektif-objektif PLKN.
Pengambilan mereka dalam PLKN akan membawa manfaat kepada Negara dan
masyarakat, selain memberi faedah secara langsung kepada mereka. |