|

2009 Jul 3 - Permohonan Penangguhan untuk membincang masalah Hospital QEH
|
Permohonan Penangguhan untuk membincang masalah Hospital QEH
Permohonan untuk membincang untuk menyegerakan serta menetapkan
tempoh bagi pembinaan Hospital Queen Elizabeth yang diisytiharkan
tidak selamat untuk diduduki
Merujuk kepada peraturan Majlis Dewan Rakyat yang sedia ada, saya
ingin mohon agar majlis ini dapat membincangkan untuk menyegerakan
serta menetapkan tempoh bagi pembinaan Hospital Queen Elizabeth yang
diisytiharkan oleh pihak kerajaan tidak selamat untuk diduduki pada
24 Oktober 2008.
Hospital Queen Elizabeth yang terletak di Ibu kota Negeri Sabah
adalah terkenal sebagai hospital terunggul bukan sahaja bagi rawatan
kepakaran dengan bantuan alat-alat yang canggih kepada ½ juta
penduduk di Kota Kinabalu tetapi bagi keseluruhan rakyat Sabah.
Setelah hospital ini diisytiharkan tidak selamat untuk diduduki bagi
lebih kurang 400 katil, dengan kamar-kamar bagi alat-alat bantuan
hospital serta klinik-klinik bagi doktor pakar, maka kesemua
perkhidmatan kesihatan perubatan telah terjejas dengan seriusnya.
Hari ini adalah genapnya hari yang ke 240 dimana perkhidmatan
perubatan tidak dapat dijalankan dengan sepenuhnya. Pesakit-pesakit
yang kritikal yang memerlukan rawatan segera terpaksa ditangguh,
begitu juga dengan pesakit-pesakit luar yang memerlukan rawatan
doktor pakar tidak dapat diberi perkhidmatan di hospital di Ibu kota
dan terpaksa dipindahkan ke hospital di daerah-daerah lain yang
menyukarkan keluarga pesakit untuk menemani disebabkan ketiadaan
rumah tumpangan bagi mereka diami semasa pesakit di hospital daerah.
Keadaan ruang pejabat serta kamar bagi kakitangan hospital sangat
sempit dan tidak kondusif, pesakit-pesakit terpaksa tidur di atas
lantai semasa mendapat rawatan.
Kerajaan sangat kagum dan bangga dengan mengumumkan bahawa terminal
lapangan kapal terbang telah siap dibina dalam masa 18 bulan sahaja,
tetapi dengan pembinaan hospital nampaknya kerajaan tidak menangani
perkara ini dengan serius sedangkan ini melibatkan kesihatan, hidup
atau matinya rakyat yang telah menyokong penubuhan kerajaan kini.
Kerajaan teragak-agak untuk mengambil tindakan, adakah wajar untuk
mengambil masa hampir 7 bulan bagi Perdana Menteri untuk mengumumkan
peruntukan pada 5 Mei 2009 berjumlah RM245 juta bagi pembelian SMC
(Sabah Medical Centre) yang kedua. Agaknya peruntukan yang diumumkan
oleh pemimpin utama ini tidak mencukupi, maka Menteri Kesihatan
susuli untuk mengumumkan bahawa peruntukan sebenarnya bagi pembelian
SMC ialah RM280 juta dengan tambahan bagi katil dari 170 buah hingga
250 buah dan kemudahan lain yang berjumlah RM90 juta, maka
peruntukan keseluruhan sebenarnya yang diperlukan RM370 juta.
Keadaan ini seolah-olah kerajaan hanya pentingkan peruntukan wang
ringgit dan telah mengetepikan kesihatan perubatan kepada rakyat.
Rakyat Sabah sangat keliru dengan perangai kerajaan, nampaknya
rakyat yang memilih pucuk kepimpinan kerajaan hari ini tidak diberi
layanan dan sebaliknya diketepikan. Pucuk pemimpin pusat asyik
mengumumkan peruntukan pembelian SMC kedua yang kononnya tersedia
bagi operasi perkhidmatan perubatan. SMC pertama juga dibeli oleh
kerajaan dengan tujuan sewaktu masa tersebut bagi penyediaan untuk
pembinaan Hospital Queen Elizabeth di ibukota yang besar untuk
menampung dan menangani kerumitan dengan ruang perkhidmatan
hospital.
Bagi pihak rakyat Sabah saya mendesak di Dewan Yang Mulia ini agar
kerajaan mengambil tindakan yang serius dan segera untuk menangani
kerumitan yang ditanggung oleh rakyat Sabah dengan bangunan fisikal
hospital. Kerajaan seharusnya bertindak untuk merancangkan
perancangan jangka panjang yang mendatang. Saya difahamkan bahawa
kerajaan mempunyai kawasan di Bukit Padang dengan keluasan hampir 50
hektar. Persoalannya adakah kerajaan serius untuk pembinaan hospital
besar Queen Elizabeth untuk menggantikan Hospital Mesra? Ini bukan
sahaja dapat menampung pesakit-pesakit dari ibu kota Sabah,
memandangkan kawasan ini adalah persempadanan dengan daerah
Penampang maka pesakit dari kedua-dua daerah serta daerah-daerah
lain yang memerlukan doktor pakar dapat kemudahan perkhidmatan
perubatan.
Oleh Datuk Eric
Majimbun
Ahli Parlimen P.171 Sepanggar
Julai 3, 2009 |
  |
|
Nov 10, 2008: Ibu pejabat SAPP ingin mengumumkan
bahawa setakat hari ini hanya seorang daripada 1, 765 ahli di 18 cawangan
kerusi Tanjong Papat secara rasmi telah keluar parti.

Surat bekas ahli Datuk Raymond Tan yang dikatakan bertarikh pada Sep 23, 2008 telah dihantar dengan tangan ke ibu pejabat SAPP oleh
seorang kakitangan Kem.Pembangunan Infrastruktur hari ini.. |
|
|
(Nov 1, 2008): Sebanyak 400 warga emas Luyang bersama keluarga mereka
telah di rayakan di satu majlis Malam Mesra Warga Emas yang dianjurkan
Pejabat Perhubungan DUN Luyang, Parti Maju Sabah, ataupun CLC
SAPP Luyang di Dewan Serbaguna Luyang semalam.
|
|
|
|
|
|
|
|
|