Penjenamaan semula SAPP mendapat sambutan
Kudat, 12
Julai 2009: Program penjenamaan semula Parti Maju Sabah (SAPP) mendapat
sambutan baik rakyat Sabah terutamanya dikalangan masyarakat Bumiputera
Islam dan bukan Islam.
Sambutan itu semakin ketara di kawasan luar bandar apabila tiga cawangan
baru SAPP dibuka di daerah ini kelmarin dimana seramai lebih kurang 250
ahli baru menyertai parti itu.
Bendahari Agung SAPP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC)
Kudat Datuk Wong Yit Ming berkata, penyertaan masyarakat Rungus di daerah
itu menjadi bukti program penjenamaan semula SAPP diterima baik rakyat
Sabah dari semua kaum.
"Program itu diadakan apabila SAPP bertindak keluar dari gabungan kerajaan
pemerintah Barisan Nasional dan hasilnya amat memberangsangkan dimana
rakyat Sabah dari segenap kaum tanpa mengira keturunan dan agama menerima
parti ini.
"Hasilnya, banyak cawangan baru SAPP terutamanya di kawasan yang diduduki
masyarakat Bumiputera Islam dan bukan Islam telah dibuka. Ini menunjukkan
SAPP semakin diterima masyarakat Bumiputera di negeri.
"Penerimaan masyarakat Bumiputera itu adalah kerana SAPP merupakan
satu-satunya parti pembangkang berasal dari Sabah yang memperjuangkan hak
rakyat negeri ini," katanya, ketika berucap pada majlis pembukaan tiga
cawangan baru di Kampung Papat, dekat sini, kelmarin.
Majlis itu turut disaksikan Timbalan Presiden SAPP merangkap Ahli Parlimen
Sepanggar YB Datuk Eric Majimbun, Timbalan Presiden SAPP merangkap Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas YB Datuk Liew Teck Chan, Ketua Wanita
SAPP merangkap ADUN Luyang YB Puan Melanie Chia dan Ketua Pemuda SAPP
Edward Dagul.
Wong Yit Ming berkata, satu lagi cawangan baru sepatutnya dirasmilan pada
majlis itu tetapi wakil dan para ahli dari cawangan itu tidak dapat hadir
kerana cuaca buruk pada hari itu.
"Bagaimanapun, cawangan baru itu akan dirasmikan pada masa terdekat ini.
Sebanyak lima lagi cawangan baru dijangka akan dibuka di daerah itu tidak
lama lagi," katanya.
Beliau berkata, masyarakat Rungus di daerah itu didapati tidak puas hati
dengan keadaan kemiskinan yang menimpa mereka walaupun BN telah memerintah
selama 15 tahun.
Katanya, Kudat didapati menjadi daerah termiskin di negara ini dan
kerajaan BN tidak menafikan fakta ini tetapi amat malang sekali kerana
masyarakat di daerah ini masih berada dalam keadaan itu sejak sekian lama
tanpa mendapat perhatian serius.
"Lebih menyedihkan apabila banyak kawasan di daerah itu didapati tidak
mendapat bekalan letrik dan air walaupun negeri Sabah telah barada dalam
pentadbiran kerajaan BN sejak sekian lama," katanya.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun yang merupakan
satu-satunya wakil rakyat dari kalangan masyarakat Bumiputera bukan Islam
berjanji akan menyuarakan keperitan hidup masyarakat di daerah ini pada
sesi sidang Parlimen akan datang supaya Kerajaan Persekutuan akan
melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan di situ.
Katanya, masyarakat Rungus di daerah itu juga berbangga dengan Ahli
Parlimen dari parti SAPP itu kerana menjadi satu-satunya wakil rakyat dari
masyarakat Bumiputera bukan Islam di Dewan Rakyat. |