PERANG....
Rakyat 13 buah kampung memprotes penggalian parit ini yang seolah-olah
mengisytiharkan Perang Khandak dengan mereka.
Assalamualaikum warahmatullah hiwabrakatuh!
SEJARAH silam peristiwa peperangan Khandak yang berlaku pada awal bulan
syawal tahun 5 Hijrah bersamaan 627 Masihi kini bakal berulang di bumi
Silam sekiranya kedua belah pihak yang bertelagah gagal mencari jalan
penyelesaian.
Di zaman silam, ada yang menggelarkan perang tersebut sebagai Perang
Ahzab (bahasa Arab: غزوةالاحزاب) kerana perang ini menghimpunkan banyak
suku kaum yang telah bersekutu (Ahzab) untuk menyerang orang Islam di
Madinah atau Perang Khandaq (Arab: غزوةالخندق) atau parit kerana tentera
Islam telah menggali parit di sekeliling Kota Madinah untuk menghalang
tentera musuh dari menceroboh dan menyerang Madinah.
Apakah penduduk di 13 Kampung Tradisi akan berdiam diri atau mengikut
nasihat Rasullulah ketika itu yang berpesan, "Ini adalah kali
penghabisan buat bangsa Quraisy menyerang kita. Mulai sekarang kita
diwajibkan menyerang mereka." sebagaimana yang dilakukan oleh Ahmad
Malandi atau Ahmad Bom?
Setelah satu tahun lima bulan menjadi Ahli Parlimen Malaysia (P
188-Silam) dan hampir 46 tahun menghirup udara Merdeka di Bumi Malaysia,
inilah pertama kali dalam sejarah hidup saya melihat dengan mata kepala
saya sendiri betapa kejamnya pegawai FELDA seakan bangsa Yahudi dalam
Perang Khandak.
DALAM.....Parit ini
cukup dalam sehingga lebih tinggi daripada Ketua Kampung Lok Buani,
Roslan Abdul Hamid yang menjadi saksi perbicaraan kes rasuah Mantan
Pesuruhjaya Polis Sabah yang juga Pengarah Kinsajaya Sdn.Bhd.
Apalah salah para pengundi saya dan majoriti ahli UMNO di Zon Tanjung
Labian yang mendiami 13 kampung tradisi apabila mereka 'dihukum pancung
sebelum bicara' oleh Felda yang menggali parit di sekeliling sempadan
tanah adat mereka sehingga penduduk kampung menghadapi risiko banjir dan
terkepung di sebuah pulau ciptaan Felda.
Pemerintah Jepun pun tidak tergamak untuk melakukan apa yang dilakukan
oleh Felda di Gugusan Felda Sahabat kerana melaksanakan undang-undang
drakonian dengan menjadikan sebab menghalang kecurian buah kelapa sawit
Felda sebagi punca utama mereka menggali parit di sekeliling sempadan.
Semua 13 Ketua Kampung tradisi memfailkan aduan rasmi kepada saya dan
membawa saya melawat 'bukti' kekejaman Felda yang bukan sahaja tidak
tahu berterima kasih, malah menghina mereka sebagai pencuri buah kelapa
sawit tanpa bukti yang melampaui keraguan munasabah.
Apakah dosa saya membidas Felda dalam perjumpaan di Tanjung Labian
sehingga Pihak Pengurusan Felda menukarkan dua orang pegawai kanan Felda
dalam tempoh 24 jam, kononnya atas arahan saya, sedangkan saya tidak
pernah menulis walau sepucuk suratpun meminta mana-mana pegawai Felda
ditukar.
Sebaliknya ada Pegawai Felda yang merayu kepada saya agar dikekalkan di
Felda Gugusan Sahabat dan saya menyokong rayuan beliau semata-mata
beliau anak Sabah yang pertama menjawat jawatan berkenaan sekalipun
beliau tidak pernah membela anak Sabah dalam sebarang urusan.
Jika boleh saya tidak ingin walau seorang pun 'Orang Melaya' (Semenanjung
Malaysia) di Felda Gugusan Sahabat berdasarkan Perkara 20 iaitu 'Borneosasi',
bukan kerana saya benci kepada mereka yang terlalu mengada-ngada atau
lupa daratan sehingga menggigit jari pihak yang menyuapkan makanan
kepada mereka; namun sebagai Ahli Parlimen Malaysia, saya patuh kepada
undang-undang dan menerima mereka seadanya tetapi bukan tiket untuk
melakukan penindasan terbuka kepada ahli UMNO dan para pengundi yang
tersepit dengan penyalahgunaan kuasa pegawai kanan yang 'bersultan di
mata dan beraja di hati'
KEJAM.... Perbuatan
memutuskan jalan menuju ke sekolah Lok Buani adalah terlalu kejam kepada
penduduk kampung yang tidak berdosa. Kenapa Felda masih menggunakan
hukum rimba atau undang-undang penjajah?
Setelah lebih 30 tahun berlalu, Felda yang selama ini diwar-warkan
sebagai penyumbang ekonomi utama kepada penduduk di parlimen Silam sejak
1979 tidak banyak berubah sebaliknya disifatkan memelihara terlalu
banyak 'Lintah Darat' yang menyedut darah 'penduduk kampung' apabila
mereka telah menceroboh dan menggunakan kuasa polis untuk menghalang
penduduk kampung daripada menuntut tanah adat mereka.
Polis sewajarnya harus mentafsir Akta Polis sebijaksana mungkin kerana
Polis tidak diberi kuasa untuk mencampuri urusan pertikaian tanah. Felda
atau penduduk kampung hendaklah membawa isu berkenaan ke mahkamah dalam
apa juga urusan.
Penyalahgunaan kuasa polis dalam isu tanah adat ini tidak sewajarnya
berlaku terutama dalam kes tanah di Tingkayu dan Tanjung Labian.
Bagi saya, 'dosa' Felda 'merampas' tanah adat di 13 buah kampung
terutama kawasan seluas 650 ekar yang telah dikeluarkan geran dan
dijadikan rizab kampung turut 'ditawan' dengan bayaran pampasan RM50
seekar sedangkan nilai pasaran tanah ketika itu RM3,000 seekar dan kini
RM21,000 seekar!
Suruhanjaya Siasatan Tanah (SST) sewajarnya ditubuhkan untuk menyiasat
dan mengenalpasti tanah anak negeri yang 'terperangkap' di kawasan yang
telah diluluskan Felda terutama yang telah dikeluarkan RSP atau Geran
Deraf ketika Felda dianugerahkan tanah PERCUMA berkenaan.
Kes ini sudah terlalu serius. Saya bukannya membela Mat Bom atau
Panglima Alian Som yang tidak jemu-jemu menuntut hak mereka, namun isu
utama di sini ialah kenapa Felda menceroboh tanah penduduk kampung
sedangkan mereka diperuntukkan tanah yang terlalu luas.
Tuan tanah 'kedaung' Felda belum pernah turun padang menyiasat dan
menemui Ahli Parlimen untuk bermuzakarah berhubung isu tuntutan
bertindih dan hanya membiarkan 'penyewa' tanah iaitu Felda Plantation
Sdn.Bhd dan subsidiarinya 'menjatuhi hukuman' bersalah kepada penduduk
kampung yang memasuki kawasan Felda sedangkan mereka bukannya 'penceroboh'
menurut tafsiran undang-undang.
Bukan saya sahaja yang merasa terkilan dengan sikap 'kurang ajar'
pegawai Felda, malah Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh
yang bertanggung jawab menghadiahkan tanah seluas 137,593 hektar kepada
Felda pada 1979 juga kecewa dan merasakan dianiaya kerana gagal
menunaikan janji mereka untuk menempatkan semula masyarakat dan membasmi
kemiskinan.
BANJIR.... Parit ini
menyumbang kepada banjir kilat kerana ekosistem terganggu dan
membahayakan jika kanak-kanak terjatuh ke dalamnya.
Setelah saya semak, hanya 872 peneroka bertuah yang direkrut oleh Felda
di kawasan seluas 5,610 hektar sahaja dan bukannya 15,000 orang
sebagaimana rencana atau janji asal Felda yang mendapat tanah berkenaan
secara PERCUMA!
Sejak daripada 1990, Felda tidak lagi mengambil peneroka melalui
penubuhan anak syarikat iaitu Felda Plantation Sdn.Bhd menjadikan Felda
kini bukan lagi inspirasi Tun Razak kerana walaupun mempunyai 317 tanah
rancangan berkeluasan dua juta ekar di seluruh negara, 43 anak syarikat
dan keuntungan berbilion ringgit setahun, Felda kini merupakan agensi
pembangunan tanah terbesar di dunia.
Felda didakwa telah melencong daripada matlamat asal penubuhannya oleh
Allahyarham Tun Abdul Razak iaitu untuk mengeluarkan orang Melayu dari
zon kemiskinan seterusnya berdikari menggerakkan agensi gergasi itu.
Secara peribadi, saya bersetuju dengan pandangan Presiden Persatuan
Anak-Anak Peneroka SeMalaysia (Anak) Mazlan Aliman, berkata apa yang
terjadi sebenarnya peneroka bagaikan buruh estet yang makan gaji dengan
Felda sedangkan peneroka ialah tuan tanah, tapi Felda pula yang berkuasa
menentukan segala-galanya.
“Dengan beri 10 ekar tanah kepada peneroka, hasrat Tun Razak pada tahun
1956 dulu ialah untuk keluarkan orang Melayu dari zon kemiskinan, tapi
tak jadi. Sepatutnya masyarakat Felda lebih senang tapi sekarang isu-isu
kemiskinan lebih teruk berlaku di tanah rancangan Felda”. Saya bagi
contoh dengan harga sawit lebih RM400 sekarang, ada pendapatan peneroka
hanya sekitar RM60. Ini cerita benar. Cuba bandingkan dengan pendapatan
petani kampung dengan keluasan tanah yang sama. Apa tidaknya peneroka
yang menanam melalui Felda terpaksa dikenakan 30 jenis potongan pada
slip pendapatan mereka” ujar Mazlan lagi.
WILAYAH BARU....
Parit yang digali ini membentuk dua wilayah baru dalam satu negeri.
Keadaan ini berlaku kerana Felda dikorporatkan dan mula berniaga dengan
peneroka sedangkan Felda pada asalnya penubuhannya oleh Tun Razak
berfungsi sebagai agen pengurusan dan sampai masanya akan diserahkan
kepada peneroka dan anak-anak peneroka.
Pada hemat saya, Felda Plantation Sdn.Bhd iaitu pengendali estet tanah
rancangan Felda, WAJIB dimansuhkan kerana kewujudannya bercanggah dengan
hasrat pengasas Felda Allahyarham Tun Razak sendiri.
Mengikut maklumat yang saya terima, jika Felda Plantation Sdn.Bhd telah
ditubuhkan pada 13 Januari 1992 dimansuhkan, maka seramai 79,000 ribu
anak peneroka boleh diambil sebagai peneroka di seluruh negara sekaligus
membasmi Miskin Tegar sekelip mata.
Felda Plantation Sdn Bhd sebagai anak syarikat Felda yang
bertanggungjawab terhadap ladang seluas 367,710 hektar yang diwujudkan
berikutan dasar kerajaan yang tidak lagi mengambil peneroka baru
peneroka Felda.
SEMPADAN.....
Penolong Pemungut Hasil Tanah Lahad Datu sedang menerangkan kawasan
Felda dan kawasan yang telah diceroboh Felda.
Sayapun tidak tahu di mana silapnya dan dari mana puncanya bagaimana
tanah adat boleh terperangkap dan dikepung Felda, tambahan pula Felda
berada di Semenanjung dan 'Penyewa tanah' yang 'bermaharaja lela' di
Sabah tanpa mempedulikan atau memberi sedikitpun ruang dan peluang
kepada saya semata-mata saya bukan Ahli Lembaga Pengarah Felda.
Penduduk kampung memberitahu saya, mereka telah meminta jasa baik Ahli
Lembaga Pengarah Felda, YB Datuk Mohd Suhaili Said (Adun Tungku) untuk
menyelesaikan masalah tuntutan bertindih dan 'Perang Khandak', namun
dimaklumkan bahawa beliau (Suhaili) meminta penduduk kampung agar tidak
menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Felda sebagai 'tiket'
untuk menuntut hak mereka.
Jika konsep 1Malaysia ingin dilestarikan dengan jayanya, Perdana Menteri
yang kita sayangi, Datuk Seri Panglima Mohd Najib Tun Abdul Razak harus
mendidik Felda dan Ahli Lembaga Pengarahnya menjadi GLC yang prihatin
dengan masalah rakyat dan tidak perlu bimbang UMNO akan kehilangan tiga
kerusi Dun dan satu kerusi parlimen sampai bila-bila.
Kekalahan Felda dalam hampir semua kes mahkamah melibatkan peneroka dan
orang awam sewajarnya mengajar para pegawai kanan Felda agar tidak
terlalu 'membuli' penduduk kampung yang menuntut tanah adat mereka yang
telah 'disedut' masuk ke dalam kawasan Felda tanpa izin atau pampasan
yang mencukupi.
Saya ingin menyentuh Fasal 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu Hak
terhadap harta yang bermaksud bahawa;
(1) Tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut
undang-undang.
(2) Tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan
harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.
Tanah yang dihuni penduduk di 13 buah kampung tradisi adalah TANAH ADAT
dan bukannya TANAH KERAJAAN atau tanah berhak milik, maka Pengarah
Jabatan Tanah atau Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang locus-standi
untuk 'mencampuri' urusan 'Tanah Adat'.
Kerajaan Negeri Sarawak begitu menghormati Tanah Adat berbanding
Kerajaan Negeri Sabah yang belum 'beradat' kerana menceroboh 'tanah adat'
yang diusahakan penduduk kampung sejak 1940-an dan belum diberi hak
milik kerana karenah birokrasi yang sekaligus meluluskan tanah adat di
13 Kampung tradisi kepada syarikat Perniagaan Cerah Sdn.Bhd, Kinsajaya
Sdn.Bhd dan sebagainya dengan 'petualangan' Wakil Rakyat setempat.
Saya turut kecewa dengan 'sikap biadab' Pegawai Kanan Felda yang
mengarahkan kontraktor menggali parit untuk memutuskan jalan yang
digunakan murid-murid dan guru untuk ke Sekolah Kebangsaan Lok Buani
sehingga mereka terpaksa berpusing sejauh 20 kilometer sedangkan jalan
yang diputuskan berkenaan hanya 1.4 kilometer untuk sampai ke sekolah!
PROJEK....
Papantanda projek bekalan air ini menimbulkan bantahan penduduk kampung
kerana mendakwa sumber air mereka musnah.
TENGGELAM....
Sebahagian kebun yang musnah akibat takungan air secara haram untuk
membina loji air yang menguntungkan Felda tetapi malapetaka kepada
penduduk kampung.
Saya dan Datuk Seri Najib mungkin bimbang sekiranya 'dendam' ibubapa ini
diterjemahkan dalam bentuk undi protes sebagaimana keputusan beberapa
pilihanraya kecil lalu. Moga dijauhkan Malaikat 44.
Sehubungan itu, saya merayu Datuk Seri Najib agar 'memecat' dengan SERTA
MERTA semua pegawai yang terlibat dalam 'Perang Khandak' atau semua
Wakil Rakyat UMNO dan BN dipecat lebih 44,000 pemilih berdaftar pada
pilihanraya akan datang.
Bagi saya, tidak ada gunanya menjadi Wakil Rakyat BN sekiranya aduan
saya tidak didengar Felda dan rayuan saya tidak diendahkan pemimpin.
Saya agak geram dengan tindakan Felda membina Kolam Takungan Air di
kawasan kebun penduduk kampung sehingga mereka kerugian dan kehilangan
sumber pendapatan kerana kebun mereka ditenggelami air.
Semoga Felda pandai bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat Sabah
yang menderita di Semenanjung Dent yang kononnya membawa kemakmuran dan
rahmat kepada sektor pembangunan di Sabah.
Salam Hormat,
YB TUAN HAJI SALLEH HAJI KALBI
Ahli Parlimen Malaysia
P 188 Silam












yang dianjurkan
Pejabat Perhubungan DUN Luyang, Parti Maju Sabah, ataupun CLC
SAPP Luyang di Dewan Serbaguna Luyang semalam.