Chong: Selesaikan masalah bekalan tenaga
KOTA KINABALU, 17 Aug 2009: Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa Ketua Menteri
Datuk Seri Musa Aman menghentikan perbuatan menakutkan rakyat mengenai
masalah bekalan tenaga di seluruh negeri.
Ketua Penerangan SAPP Chong Pit Fah membuat gesaan itu dalam satu
kenyataan di sini hari ini sebagai respon terhadap kenyataan Musa pada
Jumaat lepas kononnya parti pembangkang dan individu tertentu patut
dipersalahkan kerana memprotes rancangan kerajaan membina loji janakuasa
arangbatu di Pantai Timur sebagai penyelesaian terhadap masalah tenaga itu.
Kesangsian kami terhadap masalah bekalan tenaga di negeri ini yang
bertambah teruk sejak kebelakangan ini dan ketidakupayaan kerajaan
menyelesaikan masalah itu nampaknya semakin jelas, katanya.
Katanya, kesangsian itu semakin kukuh dengan fakta bahawa sehingga ke hari
ini kerajaan telah gagal memberi penjelasan meyakinkan kepada rakyat
mengapa mereka memilih loji janakuasa arangbatu yang sangat mencemar alam
itu apabila tenaga alternatif seperti gas asli diketepikan walaupun mudah
dan banyak terdapat di negeri ini.
"Kerajaan Sabah tidak pula mempunyai halangan menyalurkan gas asli sejauk
500km ke Bintulu melalui laluan paip bernilai RM3 bilion dan memaksa Sabah
mengimport tenaga hidroelektrik dari Sarawak yang tidak masuk akal
langsung. Mengapa Kerajaan Negeri tidak berupaya mengarah TNB (Tenaga
Nasional Berhad) membina loji janakuasa gas asli di Kimanis? soal beliau.
Katanya, selain gas asli, SAPP telah awal-awal lagi menggesa Kerajaan
Negeri menyegerakan pembinaan empangan hidroelektrik Liwagu berkuasa 200MV
yang terletak ditengah-tengah lingkaran grid Timur-Barat untuk menggunakan
sepenuhnya bekalan tenaga dari Pantai Barat berkuasa 275 kilovolts (kV) ke
Pantai Timur yang tidak digunakan sepenuhnya dan mengimport tenaga dari
Sarawak menerusi loji tenaga hidro Bakun.
Katanya, jika TNB berkeras menempatkan loji tenaga di Pantai Timur
dengan alasan sebagai bekalan keselamatan pada rangkaian berpulau-pulau
maka saluran paip dari Kimanis ke Tawau sepatutnya dipertimbangkan lagipun
jarak dari Kimanis ke Tawau melalui Sapulut adalah dekat,tidak kompleks
dan murah berbanding Bintulu.
Beliau turut menegaskan bahawa pada asalnya Kerajaan Negeri telah
menolak cadangan pembinaan loji janakuasa arangbatu di Silam dengan alasan
masalah alam sekitar.
Pada April 2, 2008 Musa ketika mewakili seluruh Kabinet Negeri telah
dilaporkan sebagai berkata: Selepas menimbangkan pro dan kontra, Kabinet
memutuskan menolak cadangan projek itu kerana kita tidak mahu menanggung
risiko kebajikan dan kesihatan masyarakat di kawasan itu (Lahad Datu)
serta kesan terhadap alam sekitar [...] saya tahu beberapa pihak akan
berkata dengan teknologi pada masa ini cadangan loji itu adalah selamat
dan bersih tetapi beberapa pakar tidak setuju. Penolakan itu dibuat tanpa
menunggu sebarang laporan kesan alam sekitar sebagai rujukan, katanya.
Pit Fah menggesa Musa memberi penjelasan penuh terhadap satu kenyataan
bahawa loji janakuasa gas tidak berdaya maju jika dibangunkan di Pantai
Timur.
Katanya, beliau ingin tahu bagaimana Musa boleh membuat rumusan seperti
itu.
Katanya, Kerajaan Sabah sepatutnya menggugurkan cadangan membina
sebarang loji janakuasa arangbatu di negeri ini bersamaan dengan alasan
yang diberikan apabila mengenepikan cadangan di Lahad Datu itu.
Beliau berkata, arangbatu sepatutnya menjadi opsyen terakhir apabila semua
opsyen lain telah didapati tidak berdaya maju tetapi arangbatu tidak
sepatutnya jadikan alasan sebagai opsyen tunggal.
Beliau berkata, selain amat mencemar alam, harga arangbatu juga sering
tidak menentu manakala gas asli bersih, efisyen, murah dan banyak serta
mudah didapati di negeri ini.
Pit Fah mengingatkan Musa bahawa aset terbesar Sabah adalah alam semula
jadi yang tidak terusik selain memberi negeri ini dan rakyatnya sumber air
dan makanan yang tidak ternilai.
Katanya, alam semula itu juga menyediakan peluang pekerjaan kepada
penduduk tempatan dan memberi pendapatan besar kepada negeri ini melalui
sektor eko-pelancongan.
"Dengan kedudukannya, beliau (Musa) berupaya berhijrah kemana-mana saja
tetapi kemanakah majoriti penduduk Sabah boleh pergi jika keadaan di
negeri ini menjadi tidak boleh dihuni lagi pada satu hari nanti? Pit Fah
bertanya. |