Angin perubahan kearah SAPP
KOTA KINABALU, 30 Ogos 2009: Parti Maju Sabah (SAPP) semakin mendapat
tempat dikalangan rakyat negeri ini terutamanya masyarakat Bumiputera dan
angin perubahan itu amat ketara sejak kebelakangan ini.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, rakyat kini mula
bertukar arah menyokong parti pembangkang berdasarkan kepada keputusan
beberapa pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia.
"Setiap kali melihat berita di kaca telivisyen atau membaca akhbar harian
samada tempatan atau kebangsaan, kita dapati Barisan Nasional (BN) kalah
dalam semua pilihan raya kecil.
"Ini membuatkan SAPP bertambah semangat untuk berjuang mendapatkan
autonomi supaya pentadbiran negeri dikuasai secara mutlak oleh Kerajaan
Negeri tanpa sebarang telunjuk dari Kuala Lumpur," katanya.
Bekas Ketua Menteri itu berkata demikian ketika menyampaikan bungkusan
Hari Raya Aidilfitri kepada para penduduk kampung di Kampung Cenderamata
2, Likas, di sini hari ini. Bungkusan itu antara lain mengandungi paket
gula seberat 1kg, tepung, kopi dan bahan keperluan harian lain.
Majlis itu diadakan di perkarangan rumah seorang pemimpin masyarakat
tempatan, Encik Mulkaseh Renda, kerana SAPP tidak dibenar menggunakan
Dewan Serbaguna Likas berdekatan setelah keluar dari gabungan pemerintahan
BN.
Dewan itu di bina hasil usaha para pemimpin SAPP satu ketika
dulu.Walaubagaimanapun, sambutan masyarakat setempat terhadap majlis itu
amat menggalakkan apabila ramai penduduk termasuk dari kampung berhampiran
terutamanya masyarakat Bumiputera Islam yang kini mengerjakan ibadah puasa
hadir beramai-ramai.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Persiden merangkap Ahli
Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Liew Teck Chan dan Setiausaha
Agung Datuk Richard Yong,
Hadir sama, antaranya, tiga Naib Presiden iaitu, Datuk Rashid Gador, Encik
Don Chin dan Datuk Chua Soon Bui yang juga Ahli Parlimen Tawau serta
beberapa pemimpin lain..
Tidak ketinggalan memeriahkan majlis itu ialah Ahli Majlis Tertinggi (AMT)
SAPP merangkap Pengerusi CLC Bongawan, Haji Jaafar Ismail, Samsuddin Awang
Aman (AMT), Timbalan Pengerusi Tetap SAPP Awang Talip Awang Bagul dan
Suaib Mutalib (AMT).
Kerajaan BN mendapat tamparan hebat apabila kalah teruk pada pilihan raya
kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Pulau Pinang .
Sebelum itu BN juga kalah pada beberapa pilihan raya kecil sekitar
Semenanjung Malaysia .
Teck Lee berkata, SAPP yakin akan beroleh kejayaan besar pada pilihan raya
umum akan datang kerana rakyat Sabah kini mula sedar bahawa hanya parti
politik berasal dari negeri ini saja yang mampu membela nasib mereka.
Beliau berkata, SAPP juga mendapat sokongan hebat di kawasan Pantai Timur
Sabah seperti di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.
Katanya, sebagai sebuah parti politik berteraskan rakyat, SAPP akan
meneruskan usaha membantu meringankan beban hidup rakyat tidak kira samada
ketika berada dalam kerajaan atau sebagai pembangkang.
Teck Lee berkata, kejayaan menjadikan Kampung Cenderamata 2 daripada
penempatan setinggan kepada perkampungan sah dari segi undang-undang
adalah salah satu dari hasil usaha SAPP.
Katanya, kos tambang bas yang bertambah mendadak ekoran pengenalan
perkhidmatan bas bandaraya akan ditangani dengan baik supaya bebanan hidup
rakyat dapat diringankan.
Katanya, rakyat yang bergantung kepada pengangkutan awam terpaksa
mengeluarkan wang lebih sebanyak RM1 setiap seorang untuk berulang-alik ke
bandaraya kerana kos tambahan yang terpaksa ditanggung apabila menggunakan
bas bandaraya.
Beliau berkata, selain bebanan kos tambahan para penumpang juga terpaksa
mengharungi kepayahan kerana mesti turun di terminal bas berdekatan
Wawasan Plaza sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin di
tujui.
Teck Lee memberi jaminan bahawa SAPP akan berusaha menyelesaikan masalah
ini sehingga kos tambahan sebanyak RM1 itu terhapus dengan sendiri.
|
 |
|
|
|
 |
|