SAPP pertahan hak tanah penduduk kampung
KOTA KINABALU, 4 Sept 2009: Parti Maju Sabah (SAPP) berikrar akan terus
mempertahankan hak para penduduk kampung terhadap tanah yang mereka duduki
sejak sekian lama.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, SAPP akan
memastikan para penduduk kampung terutamanya penduduk Kampung Rampayan
Laut tidak tersisih apabila tanah mereka diambil alih untuk sebarang
projek pembangunan samada berbentuk komersil atau untuk rakyat.
"Saya lihat ada kerja-kerja pengukuran tanah dilakukan di sini dan jika
projek itu merupakan satu projek perumahan untuk rakyat terutamanya para
penduduk kampung ini maka SAPP akan sokong".
"Tetapi jika para penduduk Kampung Rampayan dipinggirkan maka SAPP akan
bantah habis-habisan. Para penduduk kampung tidak patut diusir dan tanah
mereka diambil alih," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama
para penduduk kampong di rumah Encik Matlan Merasin, seorang pemimpin
tempatan, di Kampung Rampayan Laut, Menggatal, dekat sini, semalam.
Pada majlis itu, seramai 28 orang diketuai Encik Normin Setamin
menyerahkan borang permohonan keahlian bagi menyertai parti SAPP Cawang Kg
Tobor II, Karambunai, dekat sini.
Turut hadir pada majlis itu, antaranya, Timbalan Presiden merangkap Ahli
Dewan Undangan Negeri Likas Datuk Liew Teck Chan, Naib Presiden Don Chin
Hon Kiong dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Shamsuddin Awang Aman serta para
pemimpin setempat.
Teck Lee berkata, para penduduk Kampung Rampayan Laut terancam kerana
tanah di sini semakin bernilai tinggi dari sudut komersil.
"Mesti ada tauke atau bos disebalik kerja-kerja pengukuran tanah di
kampung itu. SAPP akan siasat perkara ini. Jika mereka ingin membina
kompleks beli-belah seperti 1Borneo maka kita akan tentang supaya 1Borneo
kedua tidak berlaku," katanya.
Bekas Ketua Menteri itu berkata, SAPP amat prihatin terhadap hak rakyat
dan ikrar membantu para penduduk kampung bukan janji kosong kerana telah
mempunyai rekod cemerlang.
Katanya, kewujudan Kampung Warisan, Taman Keramat, Taman Bukit Setia,
Taman Jaya Diri, Taman Puri Warisan dan Kampung Cenderamata 2 serta
beberapa lagi penempatan lain di pinggir bandaraya adalah contoh kejayaan
SAPP membantu rakyat dapatkan tempat berteduh.
Timbalan Presiden SAPP, Datuk Eric Majimbun berkata, para penduduk setiap
kampung perlu dibawa berbincang sebelum sesuatu sesuatu projek pembangunan
dilaksanakan di kampung mereka.
"Lebih penting lagi jika projek itu menyebabkan tanah mereka diambil alih," katanya selaku Ahli Parlimen Sepanggar.
Beliau turut mengalu-alukan ahli baru parti itu dan berkata SAPP akan
berjuang bersama mereka menegakkan hak rakyat. |