Chua: Memperluaskan Suruhanjaya Tenaga Nasional ke Sabah
Tawau, Sep 13, 2009: Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) merangkap Ahli
Parlimen Tawau Datuk Chua Soon Bui, mendesak Perdana Menteri, YAB Dato'
Sri Najib bin Tun Razak, memperluaskan Suruhanjaya Tenaga Nasional ke
Sabah memandangkan kegendalaan bekalan kuasa ulang-berulang yang telah
menghantui rakyat Sabah terutama Tawau selama lebih 20 tahun. Setakat ini,
tiada apa jaminan diberi SESB / TNB untuk menyediakan bekalan kuasa yang
regular dan yang rakyat boleh bergantung pada. Beliau tanya berapa lama
lagi rakyat Sabah perlu menderita, dan berapa lama lagi sektot-sektor
perniagaan masih perlu mengalami kerugian besar-besaran.
Beliau kata,
tenaga merupakan suatu item keselamatan negara dan kerajaan
bertanggungjawab menyediakan serta memperlingi bekalan tenaga demi
kebaikan semua warga Malaysia termasuk yang di Sabah. Beliau kata, sewaktu
TNB menyambut 60 tahun cemerlang dalam menguasakan negara pada 1/9/2009
dengan ketahanan berterusan dan komitmen kepada menguasakan kemajuan
negara dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, mengapa TNB tidak
dapat buat yang sama di Sabah dengan pengalamannya lama dalam membekal
kuasa kepada negara?
“Suruhanjaya Tenaga Nasional seharusnya mengambil tanggungjawab menilai
semula perancangan kuasa, pengurusan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan
SESB/TNB di Sabah, supaya suatu pendekatan holistik dapat dilaksanakan
untuk mencapai perkhidmatan bermutu tinggi dan setanding dengan
perkhidmatanya di Semenanjung Malaysia. Rakyat Malaysia di Sabah sudah
letih lagi bosan dengan segala alasan dan langkah sementara pihak SESB/TNB.
Beliau mendesak kerajaan supaya peka kepada penderitaan rakyat,
terutama sekali pada musim kemuncak kegendalaan bekalan kuasa, semua orang
mengalami lebih kurang 7 jam yang ‘gelap’ setiap hari pada awal bulan
August baru-baru ini, sebab ia sudah menjadi tumpuan kebimbangan rakyat.
Walau pun bekalan kuasa telah berpulih dalam dua minggu lalu, namun beliau
masih menerima aduan bahawa bekalan kuasa tidak stabil di kawasan-kawasan
luar bandar. Beliau berharap SESB/TNB akan memastikan rakyat Malaysia di
Sabah terutama sekali Tawau akan dapat meraikan Hari Raya Aidilfitri yang
‘cerah’ seperti yang dinikmati semua rakyat Malaysia lain di Semenanjung
Malaysia, selaras dengan konsep ‘Satu Malaysia, Rakyat diutamakan,
Prestasi Sekarang’ yang terkandung dalam cogan kata Perdana Menteri.
Beliau juga mendesak Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Najib bin Tun Razak
supaya menguatkuasakan Indeks Prestasi Utama atau KPI (Key Perormance
Indicators) melalui kementerian yang berkaitan terhadap SESB/TNB supaya
Sabah boleh menikmati bekalan kuasa berterusan yang rakyat dapat
bergantung pada dalam satu jangka masa yang dinyatakan. Beliau berharap,
melalui pemantauan KPI yang rapi, kegendalaan kuasa akan menjadi mimpi
ngeri yang lalu bagi rakyat Sabah.
Berhubung cadangan bekalan kuasa bagi Pantai Timur Sabah, beliau
berpandangan bahawa ini adalah suatu perkara yang memerlukan perhatian
segera kerana grid kuasa barat-timur sedia ada dikatakan tidak stabil,
yang bermaksud bekalan kuasa di Tawau yang terletak di penghujung grid
tersebut tidak boleh bergantung pada grid itu dan ia akan mengalami
kegendalaan yang teruk sekali bila berlakunya melindungi muatan atau‘load
shielding’. Perancangan sebuah penjana kuasa di pantai timur adalah amat
mendesak.
Berkaitan pengumuman baru-baru ini oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk
Musa Aman, berkenaan pilihan menubuhkan sebuah penjana kuasa geothermal
100MW di Andrassy, Balung, Datuk Chua mendesak kerajaan mendapatkan
pandangan pakar-pakar Jepun. Kononnya, empangan geothermal dengan
ruang-ruang di bawah tanah di mana air panas dijadikan stim dengan haba
teras bumi mungkin mengandungi sedikit unsur berbahaya seperti merkuri dan
arsenik, yang akan merbahayakan manusia jika terbocor ke dalam
sungai-sungai. Kajian berkaitan kuasa geothermal telah dijalankan lebih 10
tahun dahulu di Tawau, dan ia telah didapati tidak mungkin dijalankan
kerana beberapa aspek bahaya kepada alam sekitar. Bendalir yang
dikeluarkan dari kedalaman teras bumi mungkin mengandungi satu campuran
gas, kebanyakannya pecemar seperti karbon dioksida dan hydrogen sulfid
yang menyumbang kepada pemanasan global, hujan asid dan sebagainya.
Beliau tidak mahu melihat pengulangan kes penjana kuasa batu arang yang
diumumkan SESB/TNB tanpa persetujuan rakyat. Ia akan menjadi sebiji bom
bermasa politik yang teruk sekali yang akan menyebabkan kerugian besar
parti kerajaan pada pilihan raya akan dating, seperti mana yang telah
disuarakan oleh ahli-ahli yang berhormat serta pemimpin-pemimpin, baik
dari parti kerajaan mahu pun dari pihak pembangkang. Jangan berbohong
kepada rakyat lagi kerana rakyat selalu dapat mengetahui apa yang
sebenarnya.
Selain masalah kegendalaan bekalan kuasa, rakyat Sabah juga menghadapi
kesulitan atas sebab bekalan air, jalan raya dan prasarana lain yang
kurang memuaskan. Memang ia juga tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan
kemudahan-kemudahan seperti di atas demi memperbaiki mutu hidup rakyat
Sabah. Diharap dengan lawatan YAB Perdana Menteri ke Sabah, masalah
kekurangan prasarana di Sabah juga dapat diberi perhatian segera oleh YAB
dan kerajaan pusat. Selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri supaya
rakyat diutamakan, tepatlah masanya sekarang untuk penyampaian
kemudahan-kemudahan yang telah lama ditunggu-tunggukan oleh rakyat Sabah
yang sudah letih dan bosan dengan janji-janji yang jarang dituniakan.
Diharap prestasi kerajaan diutamakan, tindakan konkrit dialu-alukan, bukan
janji-janji kosong lagi. |