|
PENGUMUMAN NAJIB
'DUPLICATING MOVE'?
Saturday, 24 October 2009 19:46

Oleh: MAIL MATHEW
NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah menegaskan bahawa
keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengiktiraf ’16 September’ sebagai
Hari Malaysia sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak baru-baru ini merupakan sekadar ‘duplicating move’
di mana cetusan idea itu lahir daripada pihak pembangkang.
"Sememangnya keputusan kerajaan BN berhubung 16 September itu sudah kena
pada masanya… tetapi tak perlulah rakyat terperanjat sangat
pengumuman PM itu… dan memang hak kita merayakannya," kata beliau dalam
satu kenyataan rasmi di bilik mesyuarat Pejabat Perhubungan SAPP Melalap,
Tenom.
Jimmy yang juga Pengerusi CLC SAPP Melalap/Kemabong berkata demikian
ketika mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pelaksana mesyuarat tahunan
SAPP kawasan Melalap dan Kemabong yang akan diadakan di sini pada 31
Oktober.
Mesyuarat tersebut yang dijangka akan dirasmikan oleh Presiden SAPP yang
juga mantan Ketua Menteri Sabah Datuk Yong Teck Lee, turut dijadualkan
akan melawat kawasan pekan kecil Melalap dan hospital disini sebelum
beliau merasmikan mesyuarat tersebut.
"Kita mahu Datuk Presiden itu sendiri melawat kawasan pekan kecil Melalap,
yang selama ini diselubungi isu hangat, di mana turut melibatkan 19 JKKK
menghantar satu memorandum kepada kerajaan meminta supaya janji pemimpin
mereka sebelum pilihanraya umum lalu untuk mewartakan pekan kecil itu
ditunaikan,” tegas Jimmy.
"Bukan itu sahaja… malah hospital di sini yang dibina sekitar tahun 1959,
pun keadaan kedaifannya terus terbiar, termasuklah ketidak mampuan
hospital itu menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah… lebih-lebih
lagi hospital itu sudah dua kali dilanda banjir kilat sebelum ini,” tambah
beliau lagi.
Jimmy turut mempersoalkan sikap pemimpin kerajaan yang berulangkali
bercakap kepada rakyat kononnya mereka telah menyediakan peruntukan
berbillion ringgit untuk pembangunan infrastruktur luar bandar termasuk
menaiktaraf pusat-pusat kesihatan, tetapi anehnya masalah sedemikian masih
belum ditangani dengan sepenuhnya.
"Apakah mereka ini bersandiwara kepada rakyat yang mengundi mereka
sehingga kerajaan BN terbentuk… tetapi ada juga kalangan pemimpin bawahan
mereka menjawab kononnya peruntukkan sudah lulus tetapi masalah tapak yang
sukar diperolehi… ini semua sandiwara semata mata… takkan penyediaan tapak
memakan masa bertahun tahun lamanya,” ujar beliau.
Kepada satu soalan tambahan sama ada SAPP mampu menangani masalah yang
membelenggu kepimpinan kerajaan BN masa kini berhubung kelembapan
pembangunan seperti yang beliau nyatakan jika SAPP dapat menerajui
kerajaan selepas PRU ke-13 nanti Jimmy berkata;
"Sudah tentunya boleh jika sesebuah kerajaan itu serius melaksanakan apa
yang telah dijanjikannya kepada rakyat sebelum pilihanraya… tetapi saya
tidak bermaksud yang kerajaan BN tidak mampu melaksanakan tanggung jawab
itu… Cuma, pemimpin mereka yang kurang serius,” jelas beliau. |