SAPP Tekad Kembalikan Kuasa Penentu Kepada Rakyat
KOTA KINABALU, 24 Okt 2009: Parti Maju Sabah (SAPP) bertekad mengembalikan
semula kuasa penentu mutlak rakyat disamping memastikan Kuala Lumpur tidak
lagi campurtangan dalam hal ehwal pentadbiran negeri ini.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, perkara itu
sangat penting kerana dalam sistem demokrasi rakyat adalah kuasa penentu
mutlak dalam proses memilih kerajaan dan pemimpin dari jawatan tertinggi
kerajaan negeri seperti Ketua Menteri.
"Apa yang berlaku dalam Barisan Nasional (BN) pada masa ini ialah Ketua
Menteri dipilih oleh Kuala Lumpur . Walaupun menang dalam pilihanraya lalu
selepas mendapat undi rakyat tetapi jawatan Pengerusi BN Sabah yang
menjadi Ketua Menteri dipilih oleh Kuala Lumpur . Bakal calon BN yang
ingin bertanding dalam sebarang pilihanraya di negeri ini juga ditentukan
Kuala Lumpur .
"Ketua Menteri Sabah dari BN boleh ditukar ganti pada bila-bila masa. Hari
ini pun kita boleh dapat Ketua Menteri baru jika itu yang diingini Kuala
Lumpur . Para pemimpin BN yang ingin menjadi calon pula tidak perlu turun
padang menemui rakyat bagi mendapat restu kerana apa yang mereka perlukan
lakukan hanyalah pergi ke Kuala Lumpur melobi.
"Semasa pilihanraya para calon BN itu hanya perlu membeli undi untuk
menang dengan memberi RM50 kepada setiap pengundi. Perkara seumpama ini
harus diubah sepenuhnya," katanya.
Bekas Ketua Menteri itu berucap pada perasmian mesyuarat agung tahunan
cawangan-cawangan dalam bahagian Petagas parti itu di rumah Ketua
Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) SAPP bahagian Petagas cum Pengerusi
Cawangan Muhibbah I, Encik Duli Marie, Pengerusi Cawangan Muhibbah II,
Encik Demat Bin Semau, Pengerusi Cawangan Muhibbah III, Encik Terin Bin
Dullah, Pengerusi Cawangan Petagas II, Encik Ad Sugara Miasin di Kampung
Muhibbah, dekat sini pada hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung SAPP Datuk Richard Yong, Naib Presiden SAPP
selaku Timbalan Speaker Datuk Frankie Chong, Ketua Jawatankuasa
Perhubungan Pusat (CLC) Tungku Suaib Mutalib dan beberapa pemimpin lain.
Katanya, Kuala Lumpur juga sering campur tangan dalam hal ehwal
pentadbiran di negeri ini kerana hampir semua benda yang ingin
dilaksanakan perlu dirujuk terlebih dulu untuk mendapat restu sebelum
diluluskan.
Beliau berkata, perkara itu tidak akan berlaku jika SAPP memerintah Sabah
apabila mendapat sokongan rakyat pada pilihanraya akan datang.
"Untuk merelisasikan impian itu, SAPP perlu menang sekurang-kurangnya 31
daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada pilihanraya akan
datang. Walaubagaimanapun, adalah lebih baik jika SAPP dapat memperolehi
dua pertiga daripada 60 kerusi itu supaya dapat membentuk satu kerajaan
yang kuat," katanya.
Teck Lee berkata, SAPP akan meletakkan lebih 40 calon untuk merebut kerusi
DUN Sabah dalam pilihanraya akan datang supaya hasrat menguasai majoriti
dua pertiga kerusi itu dapat dicapai.
Katanya, SAPP juga akan menjalin kerjasama dengan parti pembangkang lain
seperti Pakatan Rakyat (PR) untuk menumbangkan BN.
"SAPP tidak akan menyertai PR kerana kuasa mutlak juga berada di Kuala
Lumpur . Sebagai contoh, jika SAPP diperuntukkan sebanyak 20 kerusi dan
menang semuanya manakala parti komponen PR lain seperti Keadilan, DAP dan
PAS juga memperolehi 20 kerusi atau lebih maka semua perlu merujuk ke
Kuala Lumpur sebelum kerajaan negeri dibentuk. SAPP tidak mahu perkara ini
berlaku," katanya disambut tepukan gemuruh para ahli SAPP bahagian Petagas.
Beliau berkata, SAPP telah memberitahu para pemimpin PR tentang perkara
itu.
Katanya, SAPP yakin rakyat Sabah akan memberi sokongan padu kepada parti
berbilang kaum itu kerana rakyat tidak lagi memberi sokongan kepada parti
berasaskan perkauman seperti part-parti komponen dalam BN.
Katanya, kejayaan Keadilan, DAP dan PAS menafikan BN dua pertiga kerusi
Parlimen dan merampas lima negeri di Semenanjung pada pilihanraya lalu
menunjukkan rakyat pada masa ini menyokong parti berbilang kaum.
Teck Lee berkata, UPKO salah satu parti komponen BN di Sabah yang
berasaskan kaum Kadazan juga mula mengubah imej menjadi parti berbilang
kaum dengan memasukkan perkataan Kebangsaan pada nama parti itu.
"UPKO satu ketika dulu dikenali sebagai Parti Demokratik Sabah (PDS),
sebuah parti berbilang kaum tetapi memilih menjadi sebuah parti perkauman
dengan menukar nama kepada UPKO. Tetapi nampaknya UPKO ingin kembali
menjadi parti berbilang kaum kerana arus perubahan semasa," katanya.
Katanya, parti berbilang kaum seperti SAPP pasti dapat mengetengahkan
pemimpin yang diterima semua kaum walaupun pemimpin itu berasal dari kaum
berbeza.
"Sebagai contoh, seorang pemimpin Melayu pasti diterima kaum-kaum lain dan
begitu juga dengan pemimpin dari bangsa Kadazan mahupun Cina. Saya pasti
pemimpin itu tidak kira dari suku kaum mana sekalipun pasti dapat diterima
semua," katanya.
Bekas Ketua Menteri itu seterusnya berkata bahawa, UMNO, parti komponen
terbesar dalam BN juga didapati meniru proses pemilihan seperti yang
diamalkan SAPP apabila baru-baru ini menggubal perlembagaan parti itu
dengan membenarkan perwakilan dari peringkat cawangan tanpa melalui
bahagian mengundi bagi memilih barisan pemimpin.
"SAPP sejak ditubuhkan pada 1994 lagi telah mengamalkan proses itu dimana
perwakilan dari cawangan dibenar mengundi dalam proses pemilihan pada
kongres parti tanpa melalui bahagian. Ini dilakukan supaya bahagian tidak
dapat melakukan penyelewengan seperti memilih perwakilan yang disukai dan
sebagainya.SAPP melakukan perkara ini bagi mengelak politik wang dan
nampaknya, UMNO sebuah parti yang telah lama ujud meniru cara SAPP itu,"
katanya.
Teck Lee berkata, SAPP juga giat berusaha mendidik golongan muda menjadi
pemimpin dimasa depan dengan mengadakan kem latihan kepimpinan.
Katanya, setakat ini lebih 5,000 ahli muda SAPP telah mendapat latihan
melalui kem itu dan parti itu mensasar seramai 200 daripada mereka
mengambilalih pucuk pimpinan pada masa akan datang apabila pemimpin sedia
ada pada masa ini bersara.
Sementara itu, Duli berkata, SAPP adalah sebuah parti berbilang kaum tulen
yang memperjuangkan hak rakyat Sabah serta sanggup mengenepikan kemewahan
dalam usaha membantu rakyat mendapat semula kuasa penentu mutlak.
"Ramai pemimpin SAPP sanggup melepaskan jawatan dalam kerajaan apabila
parti itu memilih meninggalkan BN pada tahun lalu. Sebagai contoh, Melanie
Chia korbankan jawatan Pembantu Menteri Kewangan Sabah sejurus SAPP keluar
dari gabungan BN," katanya.
Katanya, perjuangan para pemimpin SAPP dalam menegakkan hak rakyat Sabah
disanjung dan rakyat kini mula sedar serta dapat membezakan antara kaca
dan permata. |