Pemimpin BN dan Syarikat Swasta Bersekongkol Rampas Tanah
Rakyat
KOTA KINABALU, 25 Okt. 2009: Sebilangan ahli politik Barisan Nasional (BN)
bersekongkol dengan syarikat swasta merampas tanah rakyat setelah
kekeringan hasil bumi lain seperti balak.
Lebih mengejutkan lagi apabila ada rakyat yang tinggal di dalam bot di
perairan Semporna dihalau manakala penempatan mereka dirampas dan
dijadikan pusat pelancongan.
Kerakusan merampas tanah itu didapati semakin menjadi-jadi sejak
kebelakangan ini apabila ahli politik dari kerajaan yang memerintah
mendapati sukar mengaut hasil apabila ekonomi negara mengalami kemerosotan.
Tanah berstatus Kampung Simpanan (Kampung Reserve) di kawasan bandar
dan sub-bandar menjadi sasaran kerana mudah dirampas serta bernilai tinggi
dan boleh membawa keuntungan amat besar.
Penampatan penduduk diluar bandar yang telah bergenerasi didiami juga
boleh dirampas untuk dijadikan ladang pertanian komersil seperti kelapa
sawit sekiranya geran hak milik belum dikeluarkan kepada rakyat yang
malang itu.
Kejahatan itu boleh dihentikan jika rakyat bersatupadu menolak kerajaan
BN yang sedia ada pada pilihanraya akan datang.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee
berkata, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku ketika beliau menjadi
Ketua Menteri dari tahun 1996 hingga tahun 1998.
"Semasa saya menjadi Ketua Menteri beberapa tahun dulu, lebih dari
40,000 geran tanah berstatus Tanah Adat (NT) telah diberikan kepada para
penduduk Bumiputera di seluruh negeri.
"Geran itu dikeluarkan melalui satu proses mudah hasil penubuhan sebuah
jawatankuasa khas di Jabatan Tanah dan Ukur yang dilengkapi dengan segala
kemudahan peralatan pejabat seperti komputer dan sebagainya.
"Pengeluaran sebegitu banyak dalam masa sesingkat itu telah menjadi satu
rekod dalam sejarah pentadbiran negeri Sabah dan tidak dapat ditandingi
sehingga ke hari ini," katanya.
Beliau berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan 2009 tujuh cawangan SAPP
bahagian Karambunai yang diadakan serentak di Kampung Cenderamata 2, Likas,
di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri
Likas Datuk Liew Teck Chan dan Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau
Datuk Dr. Chua Soon Bui.
Turut hadir Naib Presiden Don Chin, Pembantu Bendahari Foo Fook Ming
dan Ahli Majlis Tertinggi merangkap Ketua Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC)
bahagian Tungku Suaib Mutalib.
Teck Lee berkata, beliau kesal dengan sikap segelintir pemimpin BN yang
memburukkannya kononnya beliau akan merampas tanah mereka sekiranya SAPP
memerintah pada masa akan datang.
Katanya, fitnah seperti itu diada-adakan kerana mereka risau dengan
angin perubahan rakyat yang menjurus kepada SAPP.
Sementara itu, Soon Bui ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan
2009 tiga cawangan SAPP bahagian Likas di kampong Likas Lama berkata,
sebahagian penduduk disekitar Pulau Mabul di Semporna dihalau manakala
penempatan mereka dijadikan pusat pelancongan. |