Graduan Sabah Dinafi Peluang Pekerjaan Dalam Jabatan
Persekutuan
KOTA KINABALU, 26 Okt 2009: Rakyat Sabah khususnya para graduan muda
dinafikan dari menjawat sebarang jawatan bertaraf pertengahan apalagi
tinggi dalam Jabatan Persekutuan.
Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric
Majimbun berkata, jawatan bertaraf sedemikian dalam sebarang Jabatan
Persekutuan di Sabah dibolot graduan dari Semenanjung.
" Ada seorang graduan muda pergi ke Kuala Lumpur semata-mata untuk
menghadiri temuduga bagi jawatan pegawai kewangan dalam salah satu Jabatan
Persekutuan di negeri ini tapi malangnya gagal.
"Selain dari kerugian tambang kapal terbang pergi dan balik ke Kuala
Lumpur serta perbelanjaan lain, graduan muda itu membazir wang dan masa
saja kerana terpaksa menghadiri temuduga yang sia-sia.
"Temuduga itu dijalankan seolah-olah untuk mengaburi mata saja kerana
saya percaya jawatan itu sudah ditetapkan khas untuk graduan dari
Semenanjung saja," katanya.
Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berucap pada Mesyuarat
Agung Tahunan beberapa cawangan bahagian Karambunai di Kampung Unggun,
Menggatal, dekat sini, hari ini.
Mesyuarat itu dirasmikan Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck
Lee. Hadir sama Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri
Likas Datuk Liew Teck Chan, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau
Datuk Dr. Chua Soon Bui dan Naib Presiden Amdi Sidik.
Turut hadir Nabi Presiden Don Chin, Ketua Penerangan Chong Pit Fah, Ahli
Majlis Tertinggi Awang Shamsuddin Aman dan Ahli Majlis Tertinggi merangkap
Ketua Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) bahagian Tungku Suaib Mutalib.
Eric berkata, jawatan dalam perkhidmatan Polis di seluruh negeri ini
juga didapati dimonopoli pegawai dari luar Sabah .
"Hanya ada dua ketua polis daerah (OCPD) di negeri ini yang berasal
dari Sabah . Apa yang kita inginkan ialah keseimbangan," katanya.
Teck Lee berkata, penempatan semula tidak terancang penduduk kampung ke
kawasan penempatan seperti di Telipok Ria dan beberapa kawasan lain
berdekatan sini telah menimbulkan masalah sosial serius.
Katanya, penduduk kampung merasa kekok kerana terpaksa tinggal di pangsa
puri setinggi sehingga lima tingkat tanpa ada kawasan tanah lapang seperti
di kampung halaman masing-masing.
Beliau berkata, keadaan menjadi teruk apabila mereka yang ditempatkan
semula itu datang dari pelbagai tempat dan telah menjalani cara hidup
berbeza semasa di kampung halaman.
"Kerajaan menempatkan penduduk dari Pulau Gaya, Kampung Bakau dan
sebagainya ke Telipok Ria menyebabkan masalah berlaku dan baru-baru ini
ada kes pergaduhan berkumpulan sehingga menyebabkan seorang pemuda mati
dibunuh.
"Telipok Ria kini tidak ria lagi dan sudah bertukar menjadi Telipok Riuh,"
katanya menambah keadaan seumpama itu boleh dielakkan jika kerajaan
merancang dengan rapi sebarang penempatan semula.
Beliau seterusnya menyatakan kerisauan SAPP tentang usaha sesetangah
pemimpin politik kerajaan dengan pihak swasta yang didapati cuba mengambil
alih tanah di kawasan itu bagi tujuan komersil.
Katanya, SAPP akan menentang dengan keras sebarang usaha mengambil alih
tanah penduduk kampung samada di kawasan itu atau dimana-mana saja di
Sabah.
Katanya,para ahli politik kerajaan itu sanggup melakukan perkara keji itu
kerana mereka mendapati cara mudah mengaut kekayaan melalui projek terlalu
berkurangan dimasa ini kerana ekonomi negara semakin merosot.
Teck Lee berkata, SAPP akan memantau keadaan di kawasan itu kerana sudah
ada beberapa pegawai menjalankan kerja mengukur tanah di Kampung Rampayan,
dekat sini, beberapa bulan lepas.
Katanya, SAPP tidak mahu melihat Kampung Rampayan dijadikan 2Borneo.
Kompleks beli belah terbesar di sini iaitu 1Borneo terletak berdekatan
Universiti Malaysia Sabah (UMS). |