Bajet 2010 Ketepi Krisis QEH
KOTA
KINABALU, 26 Okt 2009: Masalah kesihatan meruncing di Sabah tidak mendapat
perhatian Persekutuan apabila Bajet 2010 langsung tidak menyentuh samada
akan meneruskan projek membina Menara Kembar menggantikan Blok Utama
Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini walaupun sebanyak RM14.8 bilion
diperuntukkan bagi sektor kesihatan.
Amat menyedihkan apabila Bajet itu menyenarai lima buah hospital semuanya
di Semenanjung samada akan bina atau dinaiktaraf meskipun tidak ada
sebarang masalah kesihatan genting di sana .
Krisis kesihatan di sini akan mencapai 365 hari atau setahun dalam
beberapa hari tetapi kerosakan Blok Utama QEH menyebabkan Sabah kehilangan
satu-satunya hospital rujukan tetapi sehingga ke hari ini tidak ada
sebarang penyelesaian.
Hospital di Shah Alam, Kluang, Bera, Tampoi dan Alor Gajah tersenarai
dalam Bajet yang dibentangkan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan
Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa hari lalu tetapi krisis kesihatan di
Sabah ditolak ke tepi.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata,
krisis QEH itu bertambah teruk sehingga para pesakit terpaksa menunggu
berjam-jam hanya untuk mendapatkan rawatan.
Bekas Ketua Menteri itu berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan beberapa
cawangan parti bahagian Karambunai di Kampung Warisan, di Inanam, dekat
sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric
Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Likas
Datuk Liew Teck Chan dan Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Tawau Datuk
Dr. Chua Soon Bui.
Hadir sama Naib Presiden Don Chin, Ketua Penerangan Chong Pit Fah,
Timbalan Pengerusi Awang Talip Awang Bagul dan Ahli Majlis Tertinggi
merangkap Ketua Jawatankuasa Pusat Perhubungan (CLC) bahagian Tungku Suaib
Mutalib.
Katanya, penyelesaian terhadap masalah QEH sepatutnya disenarai dalam
Bajet itu kerana keadaan kesihatan di Sabah amat menyedihkan.
Beliau berkata, lebih memeritkan lagi apabila kekurangan doktor di Sabah
sangat ketara kerana perbandingan antara seorang doktor dengan penduduk di
negeri ini adalah tertinggi di Malaysia .
"Para pemimpin Barisan Nasional di negeri ini mendabik dada kononnya
mereka boleh menemui Najib dengan mudah pada bila-bila masa saja untuk
menyampaikan keperluan rakyat Sabah tetapi jika krisis QEH yang hanya
beberapa hari lagi mencapai setahun masih belum dapat diselesaikan maka
saya fikir ahli-ahli politik kerajaan di sini tidak berguna langsung,"
katanya.
Baru-baru ini Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
mengumumkan bahawa Kerajaan Sabah telah menyediakan 50 ekar tanah di
Kinarut dan 50 ekar lagi di Bukit Padang untuk membina dua hospital baru
bagi Sabah.
Rosnah ketika mengadakan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di
Papar, dekat sini, mengakui bahawa kedua-dua hospital baru itu amat
diperlukan kerana SMC yang dibeli Pusat tidak dapat menyelesaikan secara
menyeluruh kesesakan di QEH.
Beliau juga berkata bahawa Blok Utama QEH yang didapati tidak selamat
sejak akhir 2008 akan diroboh dan digantikan dengan Menara kembar tetapi
projek itu mengambil masa. |