IC Sabah bezakan rakyat tempatan dengan orang asing
KENINGAU, 2 Nov 2009: Parti Maju Sabah (SAPP) bercadang mengeluarkan kad
pengenalan khas bagi rakyat negeri ini sebaik saja membentuk kerajaan
autonomi selepas memenangi pilihanraya akan datang.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, kad pengenalan
itu yang dikenali sebagai IC Sabah hanya akan diberikan kepada rakyat
Sabah dan Labuan yang memegang MyKad dan bukannya rakyat asing walaupun
mereka mempunyai MyKad.
"Pengeluaran IC Sabah bertujuan membezakan rakyat Sabah dan Labuan dengan
orang asing disamping menangani masalah pendatang asing tanpa izin dan
rakyat asing yang memiliki MyKad dengan cara meragukan," katanya.
Bekas Ketua Menteri itu berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan 2009 gabungan
cawangan Sook, Bingkor dan Liawan di sebuah hotel terkemuka di sini, malam
tadi.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri selaku Naib Presiden
Datuk Frankie Chong, Ahli Majlis Tertinggi merangkap Ketua Jawatankuasa
Perhubungan Pusat (CLC) Tungku Suaib Mutalib, Ketua Jawatankuasa
Perhubungan Pusat (CLC) Bingkor dan Liawan Richard Lee dan Ketua
Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Sook Irene Chan.
Yong berkata, beliau dapati tidak ada sebarang halangan bagi Sabah
mengeluarkan kad pengenalan seperti itu bagi rakyat tempatan.
Katanya, banyak kes MyKad palsu dilaporkan dan cadangan mengeluarkan IC
Sabah itu adalah salah satu usaha menangani masalah itu serta sindiket
pengeluaran kad pengenalan yang juga telah banyak dilaporkan berlaku di
negeri ini.
Beliau berkata, IC Sabah dikeluarkan kepada rakyat Sabah dan Labuan di
Malaysia supaya pemegang MyKad palsu dan dokumen yang meragui dapat
dikenal pasti.
Katanya, IC Sabah juga akan dikeluarkan kepada kanak-kanak yang dilahirkan
di luar negeri jika ibu-bapa mereka adalah rakyat Sabah dan Labuan .
Yong berkata, IC Sabah juga bertujuan mengekalkan status mereka yang lahir
di luar negeri sebagai rakyat Sabah .
Katanya, pada masa ini rakyat Sabah boleh dikenalpasti melalui nombor -12-
yang tertera pada bahagian tengah nombor MyKad masing-masing tetapi nombor
itu tidak terdapat pada MyKad rakyat negeri ini yang lahir di luar negeri.
Katanya, rakyat dari Semenanjung dan Sarawak serta luar negara juga layak
mendapat IC Sabah jika mereka berstatus pemastautin tetap.
"Tidak ada undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan
Sabah tidak boleh mengeluarkan kad pengenalan diri bagi rakyat tempatan,"
katanya.
Beliau berkata, kegagalan Kerajaan Persekutuan mempertahankan hak
perlembagaan rakyat Malaysia di Sabah dengan MyKad adalah sebab utama IC
Sabah perlu diperkenalkan.
Yong menjelaskan bahawa IC Sabah tidak menggantikan MyKad tetapi memberi
status rakyat Sabah kepada rakyat Malaysia di negeri ini dan Labuan . |