365 Hari Kota Kinabalu Tanpa Hospital Umum Lengkap
KOTA KINABALU, 5 Nov 2009: Parti Maju Sabah (SAPP) akan menyampaikan
petisyen kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad
ini menggesa beliau menyelesaikan masalah perkhidmatan penjagaan
kesihatan dan perubatan meruncing di sini.
Khamis tepat 365 hari Kota Kinabalu tanpa sebuah Hospital umum
lengkap. SAPP ketika memulakan kempen mengumpul tandatangan bagi
petisyen itu pada 29 Ogos menggesa Perdana Menteri "KEMBALIKAN
SEMULA HOSPITAL UMUM KAMI DI KOTA KINABALU"
Pada akhir kempen itu, sebanyak 4,028 tandatangan dari seluruh Sabah
telah berjaya dikumpul. Sebanyak 1,211 tandatangan diperolehi
melalui online dan 2,817 lagi secara menurunkan tandatangan
masing-masing pada surat petisyen itu.
Ketua Wanita SAPP Melanie Chia berkata, petisyen itu menggesa Najib
menyegerakan kerja-kerja membina semula blok menara utama yang
disiytiharkan tidak selamat pada November 2008 dan pembesaran
Hospital Queen Elizabeth (QEH) di sini.
"Tidak ada apa-apa yang dilakukan walaupun menara utama itu telah
disiytiharkan tidak selamat selama setahun. Perkara itu menyebabkan
banyak masalah dan rasa tidak puas hati para pengguna hospital dan
ahli keluarga mereka. Lebih buruk lagi ialah QEH merupakan
satu-satunya hospital umum yang menjadi rujukan di Sabah," kata
Melanie dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Chia selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang berkata,
petisyen itu mengandungi banyak tandatangan daripada rakyat dari
seluruh Sabah.
Katanya, rakyat sangat kecewa apabila Bajet 2010 tidak menyenaraikan
QEH.
Rakyat bertambah kecewa apabila mendapati kerja-kerja membina semula
menara itu tidak akan dimulakan pada tahun hadapan manakala cadangan
pembesaran hospital itu juga telah terhenti beberapa tahun lalu.
"Kami amat hairan apabila QEH tidak tersenarai dalam Bajet 2010
selepas Menteri dan Timbalan Menteri Kesihatan serta Kabinet Sabah
yang diketuai Datuk Seri Musa Aman telah memberi banyak kenyataan
mengenai krisis itu. Rakyat kini sedar bahawa Kerajaan BN tidak
menunaikan janji. kami terlalu kecewa," kata Melanie.
Bajet 2010 memperuntukkan RM14.8 bilion kepada Kementerian Kesihatan
untuk kerja-kerja pembinaan dan menaiktaraf hospital di Bera (Pahang),
Alor Gajah (Melaka), Shah Alam (Selangor), Kluang dan Tampoi (keduanya
di Johor).
Katanya, SAPP risau perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perubatan
di sini akan bertambah teruk dan memburukkan lagi kesesakan semasa
serta giliran menunggu bagi khidmat pembedahan.
"Masalah fizikal itu akan memburukkan lagi suasana sosial dan
menambah stres pesakit dan ahli keluarga mereka serta kakitangan
perubatan. Ini tidak boleh diterima. Rakyat Sabah sepatutnya diberi
perkhidmatan penjagaan kesihata dan perubatan yang baik kerana kami
adalah sebahagian dari Malaysia ," katanya.
Ketua Penerangan SAPP Chong Pit Fah baru-baru ini berkata,
barangkali Najib tidak diberi penerangan tentang keperluan mendesak
supaya masalah itu diselesaikan segera.
Katanya, Kementerian Kesihatan bertanggungjawab memberi input kepada
Najib yang juga Menteri Kewangan supaya beliau dapat menyediakan
Bajet 2010 meliputi semua aspek keperluan rakyat seluruh negara.
Beliau turut berkata bahawa, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah
Abdul Rashid Shirlin, seorang wakil rakyat berasal dari Sabah
sepatutnya sedia maklum krisis QEH itu tetapi malangnya tidak
mempastikan kerja-kerja membina semula dan pembesaran hospital itu
disenarai dalam Bajet 2010 itu.
Chia berkata, Bajet 2010 juga tidak menyenaraikan hospital daerah
Nabawan seperti yang telah lama dijanjikan BN.
Katanya, BN gagal memenuhi janji yang dibuat pada kempen pilihanraya
umum 2004 dan gagal lagi mengotakan janji itu pada kempen
pilihanraya 2008.
"Ini adalah ketidakseimbangan yang SAPP perkatakan. Walaupun janji
dibuat tetapi dimungkiri. Bagaimana rakyat Sabah boleh mengharapkan
ketidakseimbangan sosio-ekonomi lain dapat ditangani," katanya.
|