PBRS Jangan putarbelitkan isu kegagalan BN bina hospital
baru Nabawan
Nov
14, 2009:
KENINGAU: Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Jimmy Jawatah meminta
Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan Vincent Lee memeriksa fakta
yang sebenar kelalaian dan kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN)
sebelum menyalahkan pihak pembangkang bila mereka (BN) ditegur terhadap
sesuatu perkara yang bersifat pembohongan kepada rakyat.
Katanya, malangnya setiap kali pembangkang menegur kerajaan BN kerana
sikap 'sambil lewa' mereka sehingga terabai janji pembangunan yang
dijanjikannya pada rakyat khususnya kelewatan pembinaan hospital baru
disini, sebaliknya mereka menuduh pembangkang menjadikan isu tersebut
sebagai meraih simpati rakyat.
"Pembangkang tidak menjadikan isu hospital sebagai modal politik tetapi
adalah kenyataan yang sepatutnya pemimpin PBRS mengambil perhatian serius.
Sebagai bukti…mereka boleh turun padang dan tanya rakyat itu sendiri,
apakah perasaan mereka sekarang apabila BN gagal menunaikan janji membina
hospital baru itu, yang mereka telah janjikan sejak tahun 1994," kata
beliau dalam satu kenyataan disini pada Sabtu.
Beliau berkata, lawatan Kurup ke Pusat Kesihatan disitu sebelum ini, tidak
bererti masalah tersebut telah selesai sedangkan rakyat Pensiangan yang
kian membangun dengan populasi yang semakin meningkat, mereka memerlukan
sebuah hospital baru yang dilengkapi dengan peralatan canggih dan moden
sesuai dengan zaman sekarang.
"Cukup, cukup, cukup…kita tidak mahu mendengar lagi kata kata seribu janji
kosong…Kurup dan BN harus lakukannya demi rakyat…mana sudah slogan PM…Rakyat
didahulukan..pencapaian diutamakan," kata beliau lagi.
"Harus diingat bahawa sesiapa pun pemimpin dalam kerajaan tidak dapat lari
dari bertanggung jawab melaksanakan pembangunan kerana soal pembangunan
adalah tanggung jawabnya. Sebaliknya jika seandainya pembangkang mengambil
alih tampuk kerajaan dimasa akan datang…juga tidak terkecuali untuk
melaksanakan amanah daripada rakyat itu," tegasnya.
Jimmy yang juga Pengerusi CLC SAPP Nabawan dan Melalap seterusnya berkata,
pemimpin pemimpin BN tidak ada alasan lagi untuk berdalih dalam mendepani
isu kelewatan pembinaan hospital disini, kerana janji itu sudah lebih 10
tahun lalu, dan bukan masanya untuk mendebatkan isu itu dimedia, tetapi
kerajaan BN harus membuktikan janji janjinya direalisasikan sekurang
kurangnya tahun hadapan (2010).
Katanya lagi, rakyat tidak mahu mendengar apa apa alasan lagi selepas ini
atau dibebani dengan pelbagai khayalan bila hospital baru dibina, termasuk
alasan lain bahawa kos pembinaannya tidak termasuk didalam bajet 2010,
adalah membuang masa dan membosankan.
Dalam pada itu beliau turut menarik perhatian, bahawa baru baru ini
terdapat percanggahan kenyataan diantara Kurup dan Pegawainya Empir
Andingos, dimana dalam kenyataan itu Kurup berkata tapak pembinaan
hospital itu sudah dikenalpasti tetapi belum ada peruntukkan.
Manakala disuatu sudut lain, Andingos dalam kenyataannya mengatakan bahawa
pembinaan hospital tersebut sudah di 'Tender'. Jadi, berdasarkan kenyataan
mereka itu jelas berlaku percanggahan, dimana satu kenyataan yang betul
sama ada kenyataan Kurup atau Andingos, tanya Jimmy lagi.
"Kenyataan mereka menunjukkan seolah olah ada usaha untuk mengelirukan
rakyat sekali lagi…adalah kerana dapat dilihat dari segi fakta kenyataan
mereka yang berlaku percanggahan yang mungkin disebabkan isu pembinaan
hospital Nabawan tidak tersenarai dalam fokus utama pembangunan mereka di
Nabawan dan Pensiangan," kata beliau lagi.
|