ADUN LUYANG DESAK BATALKAN LOJI ARANG BATU
Kota Kinabalu, Nov 19, 2009:
Saya, Melanie Chia Chui Ket, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan N16
Luyang, ingin mohon merujuk Peraturan Tetap 23 (1) untuk membincangkan
perkara bersabit dengan 'MEMBATALKAN RANCANGAN MEMBINA LOJI JANAKUASA
ARANG BATU DI SABAH'
Isu ini penting kerana pembinaan loji janakuasa arang batu di Kg. Sinakut,
FELDA Sahabat, dekat Lahad Datu, seperti yang diumumkan Perdana Menteri
YAB Dato' Seri Najib Tun Razak pada September 2009 bakal membawa impak
negatif kepada alam sekitar dan biodiversiti serta ekosistem di negeri ini
selain membahayakan kesihatan rakyat terutamanya mereka yang tinggal di
kawasan berdekatan.
Perdana Menteri pada Oktober 2009 telah mengumumkan bahawa Kerajaan
Malaysia memberi keutamaan terhadap pembangunan Tenaga Hijau.
Sebagai salah satu inisiatif perkara itu, Perdana Menteri sendiri
mengetuai Majlis Teknologi Hijau Negara yang akan melaksanakan Dasar
Teknologi Hijau Negara.
Perdana Menteri sebagai pelopor Teknologi Hijau diperingkat antarabangsa
dan kebangsaan didapati tidak selari apabila merancang membina loji
janakuasa arangbatu di Lahad Datu.
Negara-negara maju telah menggantikan loji janakuasa arang batu tetapi
kenapa kita di Sabah Malaysia harus mengikut jejak yang telah ditinggalkan!
Teknologi bakal digunakan itu adalah tidak konsisten dengan dasar kerajaan
yang mempromosi teknologi hijau serta mesra alam.
Mengapa setelah ditolak untuk dibina di Silam, Lahad Datu oleh Ketua
Menteri Dato' Seri Musa Aman pada April 2008 dan seterusnya ditolak
apabila ingin dibina di Seguntor, Sandakan, tetapi diluluskan apabila
dipindahkan semula di Lahad Datu di kawasan Kg. Sinakut, FELDA Sahabat.
Rakyat di Silam, Lahad Datu dan Seguntor, Sandakan telah menolak loji
janakuasa arang batu itu dan kini majoriti rakyat Sabah juga turut serta
menolak loji itu.
Slogan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan seolah-olah
telah berubah kepada Rakyat Dikemudiankan, Projek Diutamakan.
Adalah menjadi harapan agar suara rakyat melalui Dewan yang mulia ini
dapat dibawa keperhatian Kerajaan Persekutuan supaya keputusan tegas untuk
membatalkan projek itu dapat dibuat dengan segera.
Justeru itu, perkara ini adalah kepentingan awam, spesifik dan perlu
disegerakan untuk dibincangkan dalam persidangan Dewan yang mulia ini.
Saya mohon pertimbangan Yang Berhormat Speaker.
Sekian dan terima kasih. |