SAPP: UMNO pecahkan kerusi lebihkan peluang
Kota Kinabalu, Nov 29, 2009: Parti Maju Sabah (SAPP) percaya bahawa
Barisan Nasional (BN) akan gunakan taktik kotor dengan memanipulasi
sempadan kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah supaya peluang pada
pilihanraya umum akan datang bertambah cerah.
Presidennya Datuk Sri Panglima Yong Teck Lee berkata, Kerajaan Sabah tidak
mungkin akan mencadangkan negeri ini diberi kerusi tambahan kerana faktor
kos.
"Kerana tidak ada keperluan. Apa yang akan berlaku ialah BN dan Umno akan
cuba tingkatkan peluang mereka dengan cara kotor itu.
"Mengkotak-katikan sempadan itu seperti membahagi-bahagikan kerusi UMNO
kepada dua atau lebih dan mengecilkan kerusi parti komponen bukan UMNO
dari beberapa kerusi kepada satu seperti mereka telah lakukan sekitar
tahun 1990an," katanya, selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan SAPP
zon KK di Sabah Trade Centre, di sini.
Mengenai kerusi parlimen, katanya, BN perlu menggubal Perlembagaan
Persekutuan jika berhasrat mewujudkan beberapa kerusi baru, tetapi perkara
itu adalah mustahil kerana mereka tidak mempunyai majoriti dua-pertiga di
Parlimen.
"Mereka boleh ubah sempadan tetapi mereka tidak boleh menambah jumlah
kerusi" katanya sambil menambah Kerajaan Sabah juga boleh mencapai tujuan
sama untuk memperbaiki peluang UMNO dengan mengubah sempadan kawasan
pilihanraya Dewan Undangan Negeri Sabah "kiri, kanan dan tengah".
Persempadanan semula kawasan pilihanraya telah dilakukan oleh Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) sebelum pilihanraya umum 2004 apabila kerusi DUN Sabah
ditambah dari 48 kepada 60 dan lima kerusi baru Parlimen diperkenalkan
menjadikan kerusi Parlimen di Sabah bertambah kepada 25 kerusi.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman selaku Pengerusi BN Sabah telah berkata
bahawa kerja-kerja sedang dilakukan
untuk mengkaji semula sempadan DUN Sabah.
Sebelum itu, Teck Lee berkata, SAPP mensasar bertanding di 40 kerusi DUN
pada pilihanraya akan datang kerana parti itu ingin mendapat majoriti
supaya boleh menubuhkan sebuah Kerajaan Negeri berautonomi.
"Mengapa kita kata 40 (kerusi) saya telah memberitahu rakan-rakan di
Pakatan Rakyat bahawa bukan saja kita kata kita kuat atau popular. Ia
adalah kerana kita memegang kepada prinsip autonomi.
"Kita tidak boleh ada parti yang menang kurang daripada majoriti
dua-pertiga kerusi-kerusi DUN itu kerana jika parti-parti komponen Pakatan
Rakyat dan SAPP menang kurang dari majoriti itu bermakna semua terpaksa
menyerahkan kepada Kuala Lumpur untuk melantik atau menamakan Ketua
Menteri dan barisan Kabinet Sabah.
"Ini menyebabkan kita hilang autonomi jadi berdasarkan kepada prinsip
autonomi kita mensasar lebih kurang 40 kerusi DUN tetapi kita gunakan
angka 40 ini sebagai kayu pengukur," katanya.
Teck Lee berkata, SAPP sedar bahawa untuk menang 40 kerusi bukannya mudah
dan "sebab itu kita banyak kerja, latihan dan persediaan yang perlu untuk
para pemimpin parti.
"Bukan saja calon-calon tetapi para pemimpin di semua peringkat agar
sempat menghadapi pilihanraya akan datang," katanya.
................................
Oleh John Tambanan – Utusan Borneo 28/11/09
SAPP buat persiapan awal hadapi pilihanraya umum
KOTA KINABALU – Parti Maju Sabah (SAPP) telah melakukan persediaan awal
sama ada diperingkat negeri mahupun diperingkat nasional untuk menghadapi
pilihan raya umum akan datang.
Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, berkata parti pemerintah
Barisan Nasional (BN) menyedari perubahan politik ketika ini, dan akan
mengambil langkah dan strategi untuk mengekalkan kuasa.
"BN menyedari apa sahaja boleh berlaku, maka mereka sudah mula untuk
mendapatkan sumber dan menyediakan taktik untuk menang. Maka adalah
penting bagi kita SAPP untuk bersiap sedia." Katanya ketika menyampaikan
amanat dan merasmikan mesyuarat agung cawangan-cawangan SAPP Zon Kota
Kinabalu 2009 di Pusat Dagangan Sabah, di sini kelmarin.
Yong bagaimanapun mengakui bahawa untukmenjatuhkan kerajaan pemerintah
bukan mudah, tetapi percaya ia boleh dilakukan jika SAPP memulakan
pelannya lebih awal.
Katanya, sebagai permulaan, SAPP akan menganjurkan lima kursus latihan
kepada para pemimpin bahagian parti di mana dua daripadanya akan diadakan
di Kota Kinabalu dan selebihnya diadakan di lain-lain daerah.
"Sesi latihan ini amat bermakna sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.
Mereka perlu memahami bahawa ia bukan sahaja tentang kemenangan tetapi
juga bagaimana mentadbir kerajaan jika menang." katanya.
Yong berkata SAPP mensasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi
pada pilihan raya umum akan datang.
"40 kerusi ini hanya campur dan tolak, ia hanay kayu pengukur kepada kita,
tetapi kita percaya jika ini dapat dicapai, kita akan dapat mempraktikkan
autonomi negeri, dimana kita kita perlu bergantung kepada Kuala Lumpur
untuk membuat keputusan kepada kita. Kita boleh melantik melantik Ketua
Menteri dan Menteri Kabinet tanpa campur tangan Kuala Lumpur. Inilah yang
kita perjuangkan." katanya.
Katanya prinsip autonomi menyediakan kepada rakyat kuasa untuk memilih
pemimpin sendiri , dan perkara itu telah diperjelaskannya kepada para
pemimpin Pakatan rakyat, tetapi sehingga hari ini mereka belum memebri
respon terhadap pelan SAPP.
Ditanya sama ada parti itu akan menyertai Pakatan Rakyat, Yong berkata: "Saya
telah berjumpa dengan mereka tahun lepass dan dan telah menjelaskan kepada
penasihat parti itu, Datuk Seri Anwaar Ibrahim bahawa kami tidak akan
menyertai Pakatan Rakyat."
------------------------
Oleh: John Tambanan – Utusan Borneo 28/11/09
Kerajaan tidak akan tambah kerusi : Yong
KOTA KINABALU – Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Yong Teck
Lee menyatakan kepastiannya bahawa kerajaan negeri tidak akan menambah
kawasan pilihan raya baru di Sabah.
"Menambah kerusi baru bermakna satu lagi belanjawan untuk negeri ini,"
katanya ketika ditanya mengenai cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
untuk mengkaji kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen baru-baru
ini.
Presiden parti Maju Sabah (SAPP) itu bagaimanapun percaya bahawa kerajaan
mempunyai cara tersendiri dalam menentukan kerusi sedia ada.
Mengenai isu persempadanan semula kerusi Parlimen, Yong berkata "tidak
mungkin" kerana kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.
"Bagi mereka untuk menambah kerusi baru, mereka perlu meminda Perlembagaan
Persekutuan. Tetapi mereka tidak mempunyai majoriti di Parlimen, jadi
tidak mungkin untuk membuat perubahan." katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat
Agung cawangan-cawangan Zon Kota Kinabalu di Pusat Perdagangan Sabah
kelmarin.
Ketau Menetri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman yang juga pengerusi
Barisan Nasional (BN) Sabah baru-baru ini berkata, terdapat kajian
spesifik mengenai perkara itu bagi membincangkan samadapersempadanan semua
diperlukan.
|