Pertahan isu 20 perkara sebagai asas penyertaan Sabah dalam Malaysia
Kota Kinabalu, Dis 7, 2009: MENYOROT KEMBALI ketidak
selesaan rakyat Sabah terhadap kerajaan pusat sejak kebelakangan ini yang
sama situasinya di era 1960an dimana selain kerancakan dan keghairahan
rakyat Sabah untuk menyertai gagasan Malaysia, tetapi tidak kurang juga
persoalan rakyat ketika itu tentang nasib masa depan mereka apabila sudah
berada didalam Malaysia.
MALAHAN rakyat Sabah telah mula sedar bahawa banyak perubahan ketara
ketika berada didalam gagasan Malaysia berbanding ketika Sabah masih
dibelenggu penjajahan British. Namun persoalan disini, apakah masalah
tegar disebalik kewujudan keretakkan hubungan intim yang telah terujud
lebih 40 tahun lalu dengan kerajaan pusat?
Wartawan Sabahkini.net mengambil kesempatan untuk menemubual seorang
pemimpin generasi muda yang baru dilahirkan ketika Sabah menyertai Gagasan
Malysia sekitar tahun 1963 iaitu Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP)
Jimmy Jawatah.
Beliau (Jimmy) mengakui tidak tahu menahu kisah sebenar pemeteraian
perjanjian atau syarat penyertaan Sabah dalam gagasan Malaysia, namun
beliau mengakui telah banyak membaca dan menyelami kisah tersebut menerusi
buku buku sejarah termasuk buku buku politik.
Soalan: Apakah pendapat anda berhubung ketidak serasian hubungan antara
Sabah dengan Persekutuan didalam pelbagai isu khususnya isu pembangunan
dan hak rakyat Sabah, dan apakah mungkin keadaan tersebut boleh
diselesaikan dengan cara baik oleh kedua dua pihak?
Jimmy Jawatah (JJ): Ya! Sudah tentu ada penyelesaiannya dan yang harus
memulakan penyelesaiannya ialah dipihak kerajaan pusat iaitu kerajaan BN.
Pemimpin pemimpin kerajaan pusat harus melihat secara positif kehendak
rakyat negeri ini selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan
didalam 20 Perkara. Sekiranya semua ini dapat ditangani dengan baik..saya
tidak fikir ia akan ada masalah lagi. Disebabkan masalah ini…maka
terjadilah kerenggangan hubungan politik kedua dua pihak.
Soalan: Bagaimana anda dapat meyakinkan diri anda tentang sejarah
penyertaan Sabah dalam Malaysia dan pencabulan hak asasi rakyat Sabah
seperti yang terkandung didalam 20 Perkara, sedangkan anda ketika itu
(1963) baru dilahirkan?
J.J: Meskipun saya pada ketika itu baru dilahirkan, namun setelah
meningkat dewasa saya membaca dan menyelami sejarah ini secara serius
kerana kita amat cintakan Negara kita Malaysia, maka sudah tentu kita
ingin mengetahui lebih mendalam tentang sejarah kita. Kita bukan sahaja
mempelajari sejarah sejarah silam yang terkemuka di dunia seperti Napoleon
Bonaparte, Nehru, George Washington, Joz Rizal, Kung Fu Tze atau kewujudan
The Great Wall of China…tetapi juga kita kena menyelami sejarah dinegara
sendiri di Malaysia terutamanya perjuangan Almarhum Tunku Abdul Rahman,
Dato’ Onn Jaafar, Tun Mustapha, Tun Fuad Stepehen dan Datuk G.S Sundang.
Soalan: Baiklah?…jadi bagaimanakah pandangan anda atau pendapat anda,
kaedah terbaik untuk menyelesaikan mahupun meredakan kemelut isu 20
Perkara yang menjadi ibu kepada segala ketidak serasian pendapat antara KL
dengan Sabah?
J.J: Seperti yang saya katakan diperingkat awal tadi bahawa semuanya
hendaklah bermula daripada pihak KL dahulu, dimana agenda ini KL harus
menfokuskan kepada usaha usaha membetulkan ketidak telusan mereka sebelum
ini, dengan ertikata sebenar bahawa segala tindakan mereka harus selari
dengan apa yang terkandung didalam Perlembagaan Malaysia yang berkonsepkan
“gabungan samarata dengan Semenanjong” iaitu melaksanakan Persekutuan
Malaysia yang betul dan tulen.
Contohnya, Penyertaan yang lebih besar didalam Perkhidmatan Diplomatik di
luar Negara…ini merupakan satu lagi bidang yang perlu dikaji untuk
memastikan negeri negeri Borneo benar benar turut serta didalam hal ehwal
kebangsaan Malaysia. Malaysia telah membuka 78 kedutaan luar Negara, namun
langsung tidak ada rakyat Malaysia dari Sabah berkhidmat sebagai Duta atau
Pesuruhjaya Tinggi.
Soalan: Apakah rombakan kabinet baru baru ini ketika Datuk Seri Najib
dilantik Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, dimana Sabah telah dilantik 4
Menteri penuh dan 4 Timbalan Menteri masih tidak dapat memuaskan hati
rakyat Sabah?
J.J: Tindakan kerajaan pusat melantik pemimpin Sabah dengan sejumlah besar
itu sudah terlambat kerana perasaan ketidak serasian itu sudah berputik
sejak sebelum PRU12 lagi, dimana ketika itu rakyat Sabah telah banyak
memihak kepada pembangkang meskipun tidak ada yang menang, namun perolehan
undi disetiap kawasan Parlimen ataupun Dun nampak melonjak malah ada yang
hampir hampir menang. Trend seumpama itu memperlihatkan rakyat Sabah
khususnya para pengundi sudah memberi isyarat kepada kerajaan BN bahawa
suatu hari nanti mereka (pengundi) akan memberi mandat kepada pembangkang.
Buktinya di Semenanjong dimana lima negeri telah dikuasai pembangkang yang
memaksa kerajaan BN lumpuh kerana gagal mengekalkan majoriti kerusi 2/3 di
Parlimen.
Soalan: Setujukah anda bahawa dokumen 20 Perkara mahupun Perlembagaan
Malaysia diklasifikasikan sebagai ‘Sulit’ dan tidak boleh didedahkan
kepada umum?
J.J: Saya tidak bersetuju…adalah kerana dokumen dokumen ini amat penting
diketahui dan didedahkan kepada umum khususnya generasi muda yang tidak
tahu menahu asal usul kewujudan Malaysia, malah saya mencadangkan agar
dokumen ini seperti 20 Perkara dan Perlembagaan Malaysia harus dimasukkan
didalam mata pelajaran sekolah supaya pelajar pelajar tidak harus
dibutakan tentang sejarah kewujudan Malaysia dan syarat syarat penyertaan
Sabah dalam Malaysia.
Soalan: Adakah benar isu 20 Perkara ini tidak boleh dibincangkan secara
terbuka kerana kononnya ia merupakan perkara sensitif kepada kestabilan
Negara?
J.J: Saya tidak melihat isu 20 Perkara ia suatu perkara yang sensitif dan
tidak boleh dibincang secara terbuka…kerana sebelum ini pun buku 20
Perkara dan Perlembagaan Persekutuan sudah pun berlambak dijual dipasaran
terbuka. Jadi…saya beri satu contoh, kalau kita mahu melihat surat nikah
kahwin ibu bapa kita dan dipamerkan dirumah kita…adakah ini salah dan
sensitif? Buku 20 Perkara atau Perlembagaan Persekutuan satu satunya
dokumen harus dilihat dan dibaca oleh rakyat jelata tak kira bangsa dan
agama, kerana ia adalah merupakan dokumen bersejarah kepada kita.
Soalan: Saya mengakhiri pertanyaan kepada anda bahawa apakah harapan anda
sebagai pemimpin SAPP terhadap penyelesaian kemelut isu ketidak serasian
rakyat Sabah dengan kelibat kepimpinan pusat yang seolah olah
menganaktirikan Sabah?
J.J: Formula yang paling berkesan didalam memulihkan ketegangan hubungan
politik ini, ialah kesediaan pemimpin pemimpin KL untuk mendengar,
mengkaji dan menghormati cetusan rasa rakyat Sabah yang telah terguris
kerana pencabulan hak asasi sepertimana yang terkandung didalam 20 Perkara.
Kedua, ketelusan, keadilan dan kesaksamaan kepimpinan pusat terhadap
negeri negeri wilayahnya khususnya negeri Sabah dalam aspek pemberian
pembangunan, pengagihan kekayaan sumber galian khususnya royalti minyak
dan mengembalikan kuasa autonomi pentadbiran dan politik kepada Sabah.
|