Projek rumah rakyat tiada air, letrik dan kemudahan lain
LAHAD DATU, 11 Dis 2009: Projek menempatkan semula masyarakat miskin di
Silam, dekat sini, menelan belanja berjuta-juta Ringgit tetapi hanya 13
buah rumah kos rendah saja kelihatan dibangunkan.
Rumah satu tingkat tanpa tiang itu tidak mempunyai bekalan air bersih,
letrik dan kemudahan asas lain manakala jalan raya pula tidak berturap.
Projek itu dirasmikan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Timbalana Perdana
Menteri pada 2006 tetapi sehingga kini seolah-olah tidak disempurnakan.
Pengerusi Jawatankuasa Pusat Perhubungan (CLC) Tungku Parti Maju Sabah
(SAPP), Suaib Mutalib berkata, projek itu merupakan satu Projek
Pembangunan Persekutuan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS).
Katanya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) membiayai projek itu
yang dikenali Cadangan Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) dan
Kerja-Kerja Yang Berkaitan untuk Kawasan Parlimen Silam.
Peranan JPPS kini diambil alih Jabatan Pembangunan Sabah (SDO).
Suaib berkata, beliau dapati semua 13 unit rumah itu ada penghuni tetapi
mereka mendapatkan bekalan air dari sumber tidak menentu seperti air hujan
atau dari kawasan lain.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah perlu memberi penjelasan mengapa
projek itu berakhir dalam keadaan sedemikian walaupun menelan belanja
jutaan Ringgit," katanya, dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Haji
Maslan baru-baru ini berkata FELDA memberi peruntukan kira-kira RM120 juta
kepada SDO bagi membasmi kemiskinan di Sabah .
Suaib berkata, projek di Silam itu merupakan salah satu daripada beberapa
projek membasmi kemiskinan biayaan FELDA melalui SDO di seluruh Sabah .
Katanya, projek lain biayaan FELDA di Sabah, antaranya ialah projek
membaikpulih rumah di Kalabakan dan Beaufort telah menelan belanja
sebanyak RM7.86 juta.
"Ini bermakna ada baki sebanyak RM112 juta dan projek lain yang ada hanya
dua saja iaitu projek penempatan di Silam ini dan projek memelihara rumpai
laut di Semporna.
"Mustahil sebahagian besar dari RM112 juta itu habis digunakan untuk
membiayai 13 unit rumah PPMS di Silam ini kerana semua rumah itu tidak ada
bekalan air bersih, letrik dan kemudahan asas lain," katanya.
Suaib berkata, tidak mungkin juga projek itu masih belum siap kerana
kesemua 13 buah rumah itu sudah ada penghuni.
|