SAPP gentlemen dan berani suarakan masalah rakyat
KOTA KINABALU, 15 Dis 2009: Tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan
Barisan Nasional (BN) ketika gabungan itu masih memerintah adalah
gentlemen dan memenuhi keinginan rakyat.
Ketua Pemuda SAPP Edward Dagul berkata, SAPP menyuarakan masalah rakyat
apabila sudah tidak lagi bersama-sama dengan BN kerana ketika masih
bersama gabungan itu kerajaan didapati tidak mengendahkan keperluan rakyat
walaupun berkali-kali disuarakan.
Katanya, tindakan SAPP meninggalkan BN itu adalah gentlemen kerana sanggup
mengorbankan jawatan semata-mata memperjuangkan hak rakyat Sabah .
"Sesebuah parti politik itu boleh dianggap tidak gentlemen apabila
keluar daripada sesuatu gabungan dan menyertai gabungan kerajaan. Ini
adalah kerana parti itu hanya mengejar jawatan dan kepentingan diri para
pemimpin.
"Tetapi berlainan pula apabila parti itu meninggalkan gabungan kerajaan
yang memerintah pada ketika itu lebih-lebih lagi apabila gabungan itu baru
saja memenangi pilihanraya umum.
"Oleh itu tindakan SAPP keluar daripada BN dan seterusnya memperjuangkan
hak rakyat Sabah seperti mengetengahkan masalah kemiskinan akibat
pembangunan tidak seimbang yang diamalkan Kerajaan Persekutuan sememangnya
gentlemen," katanya, di sini pada hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pembantu Menteri
Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Pembantu Menteri
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Bolkiah Ismail, baru-baru
ini.
Dagul berkata, SAPP menyuarakan masalah rakyat apabila sudah tidak lagi
bersama-sama dengan BN kerana dihalang berbuat demikian apabila masih
bersama gabungan itu.
Katanya, masalah rakyat yang diutarakan SAPP seperti kadar kemiskinan
tinggi adalah benar kerana fakta dikeluarkan dan diperakui kerajaan BN.
Beliau berkata, SAPP tidak akan mengeluarkan kenyataan tanpa menyertakan
fakta sahih.
Katanya, SAPP menunding jari terus kearah Kerajaan Persekutuan sebagai
penyebab kemiskinan itu kerana mengamalkan dasar pembangunan tidak
seimbang.
Dagul berkata, faktor geografi dan keluasan negeri ini berbanding dengan
negeri-negeri lain di Semenanjung tidak boleh dijadikan alasan kerana
Sarawak lebih besar daripada Sabah tetapi menikmati pembangunan memuaskan
dan kadar kemiskinan lebih rendah walaupun sumber negeri jiran itu tidak
sebanyak negeri ini.
Katanya, masalah keadaan penempatan penduduk bertaburan di merata tempat
dan terpencil serta tidak tertumpu kepada satu-satu tempat juga tidak
boleh dijadikan alasan mengapa Sabah sukar menikmati kemajuan kerana
Sarawak dan Pahang serta Johor juga mempunyai taburan penduduk seperti itu.
Katanya, semua masalah di Sabah seperti kemiskinan, kekurangan bekalan
tenaga letrik, air bersih, kesihatan dan yang penting sekali kehadiran
terlalu ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat diselesaikan jika
Kerajaan Persekutuan benar-benar jujur dan ikhlas.
|