RELA sasar 1 juta ahli
KOTA KINABALU, 30 Dis 2009: Ikatan Relawan Rakyat (RELA) mensasar seramai
1 juta ahli di seluruh negara menjelang akhir tahun hadapan.
Pengarah RELA Sabah Brigedier Jeneral Samasuddin Lawe berkata, rancangan
itu boleh dicapai melalui program penambahan ahli yang sedang rancak
dijalankan.
"Kita bercadang menubuhkan RELA disetiap kawasan perumahan untuk menjaga
keselamatan kawasan tersebut.
"Penubuhan itu sekaligus akan menambah jumlah ahli dan oleh itu sasaran
seramai 1 juta ahli pasti dapat dicapai," katanya.
Beliau berucap pada majlis ulang tahun ke-enam RELA kawasan Dah Yeh Villa,
mukim Luyang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Likas Datuk Liew Teck Chan, Mejar
Mohd Salleh Daud Pegawai RELA Bandaraya Kota Kinabalu, Mejar Lesziana
Telling Du Penolong Pegawai RELA Bandaraya Kota Kinabalu dan Kapten
Kapitan David Liew Yun Min.
Samasuddin berkata, para ahli RELA juga dapat merapatkan hubungan
kejiranan selain menjaga keselamatan kawasan mereka.
Teck Chan berkata, RELA mukim Luyang telah berjaya menjadi salah satu
badan pertubuhan yang aktif dan dihormati diseluruh Sabah .
Katanya, RELA mukim Luyang bermula dari satu platun yang diketuai Kapten
Kapitan David Liew Yun Min dan kini berkembang hingga 17 platun.
"Diantara aktiviti RELA mukim Luyang ialah membantu pihak berkuasa dalam
membanteras pendatang asing tanpa izin, jenayah, cetak rompak, mengadakan
kawalan trafik dalam pelbagai upacara dan lain-lain lagi," katanya.
Katanya, RELA mukim Luyang juga telah mengadakan pelbagai khidmat sosial
seperti gotong royong, menderma darah dan membantu masyarakat setempat.
Beliau berkata, penglibatan RELA dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan
secara tidak langsung telah membolehkan pertubuhan itu dihormati dan
disanjung tinggi disamping berjaya menarik lebih ramai sukarelawan
menyertainya.
|