FELDA naikkan harga gula sebaik saja ambil alih perniagaan komoditi itu
PENAMPANG, 18 Jan 2010: Harga gula di seluruh negara naik mendadak sebaik
saja FELDA (Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan) membeli semua
kepentingan pengusaha komoditi itu daripada Kuok Brothers baru-baru ini.
Keadaan sedemikian sangat mendukacitakan lebih-lebih lagi kerana FELDA
merupakan agensi Kerajaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun.
"Kuok Brothers pernah memberi jaminan tidak akan naikkan harga gula dan
mereka menepati jaminan itu bertahun-tahun lamanya tetapi FELDA sebuah
agensi Persekutuan selang beberapa hari saja sudah naikkan harga barang
keperluan itu," katanya.
Eric selaku Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berucap pada majlis
perasmian empat cawangan baru SAPP ¨C Pogunon dan Kimoligan - semuanya
berada dalam kawasan Parlimen Penampang.
Presiden SAPP yang juga bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Yong
Teck Lee menyempurnakan majlis itu.
Hadir sama Timbalan Presiden SAPP Datuk Liew Teck Chan selaku Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Likas, Setiausaha Agung Datuk Richard Yong, Ketua
Pemuda Edward Dagul, Ketua Penerangan Chong Pit Fah, Naib Presiden Don
Chin Hon Kiong, Pembantu Setiausaha Agung Foo Fook Ming dan beberapa
pemimpin parti.
Gula di sekitar Kota Kinabalu diniagakan pada harga RM1.70 sekilogram.
Sebelum ini gula dijual pada harga RM1.55 sekilogram di Ibu Negeri.
Teck Lee berkata, kenaikan harga barang sudah pasti menambah beban rakyat
Sabah yang merupakan termiskin di negara ini.
"Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal diperkenalkan Kerajaan
Persekutuan akan menjadikan harga barangan di Sabah jauh lebih mahal. Pada
masa ini harga barangan di Sabah lebih mahal berbanding di Semenanjung dan
pengenalan GST itu bakal menyebabkan harga barangan di negeri ini
bertambah mahal lagi," katanya.
Katanya, pengenalan GST itu adalah satu musibah bagi rakyat Sabah kerana
dalam keadaan kemiskinan terpaksa membayar harga barangan jauh lebih
tinggi berbanding dengan penduduk di Semenanjung.
Katanya, sebungkus Milo seberat 1kg di Sabah dijual pada harga RM14.49
manakala di Semenanjung harga minuman itu hanya RM12.58 saja.
"Susu kanak-kanak Dutch Lady seberat satu kilogram berharga RM23.79 di
Sabah tetapi hanya berharga RM17.88 di Semenanjung. Ayam diproses jenama
Ayamas di Sabah berharga RM12.99 setiap kilogram tetapi berharga RM7.98 di
Semenanjung.
"Sabun pencuci jenama Ekonomi Handalan seberat 2.5 kilogram di Sabah
berharga RM10.59 tetapi hanya berharga RM7.50 di Semenanjung. Sekotak
(5x80g) mi segera jenama Mamee berharga RM4.19 di Sabah dan hanya berharga
RM3.28 di Semenanjung.
"Tayar kereta jenama Silverstone berharga RM259 sebiji di Sabah tetapi
hanya berharga RM247 di Semenanjung manakala tayar lori jenama Silverstone
berharga RM465 sebiji di Sabah berbanding di Semenanjung hanya RM435
sebiji," katanya.
Katanya, perbandingan harga itu direkodkan oleh Don Chin Hon Kiong.
Beliau seterusnya berkata, harga barangan itu dan banyak lagi barangan
lain di seluruh Sabah akan naik sebanyak 4 peratus lagi apabila GST
dilaksanakan.
"GST bermakna rakyat Sabah sudahlah termiskin di negara ini tapi terpaksa
membayar harga barangan bukan kawalan jauh lebih tinggi dari harga semasa
yang sudahpun mahal berbanding Semenanjung," katanya.
Katanya, harga barangan di Sabah mahal kerana Kerajaan Persekutuan tidak
benarkan kapal dari luar negara berlabuh di pelabuhan-pelabuhan sekitar
Negeri ini.
Beliau berkata, kapal dari luar negara dimestikan berlabuh dan menurunkan
barangan di Pelabuhan Klang dan barangan itu kemudianya diangkut kapal
tempatan ke pelabuhan-pelabuhan di Sabah.
¡¡ |