SAPP gesa kerajaan fikir semula projek empangan di Sungai
Kadamaian
KOTA BELUD, 28 Jan 2010: Parti Maju Sabah (SAPP) kawasan Kadamaian
menggesa kerajaan memikir semula cadangan membina empangan di Kg.
Tambatuon di Sungai Kadamaian, dekat sini.
Ahli Majlis Tertinggi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Kawasan
(CLC) Kadamaian, Agnes alias Moifun Liewpin, berkata para penduduk juga
berharap kerajaan tidak meneruskan projek itu.
Para penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian terutama
sekali di Kg. Tambatuon membantah pembinaan empangan itu kerana bimbang
keselamatan mereka terancam.
Beberapa Ketua Kampung telah menghantar surat kepada pihak berwajib
termasuk pihak polis dan perunding projek itu memberitahu bahawa mereka
tidak setuju dengan projek itu.
Ketua-ketua Kampung itu juga memberitahu bahawa ada kemungkinan para
penduduk kampung bertindak membantah projek itu.
Seramai 193 penduduk Kg. Tambatuon, tempat terletaknya empangan yang
dicadangkan itu, telah menurunkan tandatangan menggesa kerajaan
membatalkan projek itu.
Setakat hari ini, tidak ada sebarang berita dari kerajaan samada projek
itu akan dibatalkan atau sebaliknya.
Salah seorang Ketua Kampung pada akhir tahun lalu telah menerima beberapa
panggilan dari seorang wakil perunding projek itu mengatakan projek itu
telah diluluskan dan kerja-kerja pembinaan akan dimulakan tidak lama lagi.
Agnes berkata, empangan itu jika dibina akan menjejaskan 20 buah kampung
di Kadamaian.
"Lebih dari 1,000 penduduk akan terjejas dan kehilangan tempat tinggal.
Kehidupan sosial dan ekonomi mereka akan berubah apabila mereka
dikeluarkan dari tanah yang telah lama diduduki iaitu sejak nenek moyang
mereka,Ħħ katanya, dalam satu kenyataan di sini pada hari ini.
Para penduduk Kg. Tambatuon dan beberapa kampung berhampiran sejak dulu
lagi telah mengusahakan tanaman seperti getah, buah-buahan dan padi bukit
yang memberi hasil lumayan.
Agnes berkata, Kg. Tambatuon merupakan sebuah kampung yang dikurniakan
dengan keindahan alam semulajadi manakala Sungai Tambatuon kaya dengan
ikan bernilai tinggi.
Agnes seterusnya berkata, Tagal (menuai ikan di sungai setahun sekali)
adalah satu budaya unik yang diamalkan para penduduk sepanjang sungai itu
sejak dulu lagi dan kini menjadi produk pelancungan baru serta dapat
menarik ramai pelancung.
Beberapa inap-desa juga terdapat di kawasan itu.
Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek empangan itu dan salah
seorang Menteri Pusat telah mengumumkannya ketika melawat Sabah pada tahun
lalu.
ĦĦ |