Kelajuan pump bot sukar diatasi polis marin
KOTA KINABALU, 4 Mac 2010: Polis Marin sukar menangani jenayah
penyeludupan di kawasan perairan Pantai Barat Sabah kerana kaedah
pengangkutan yang digunakan penjenayah lebih laju berbanding dengan bot
milik pasukan keselamatan itu.
Pegawai Memerintah Polis Marin Kota Kinabalu ASP Mohammad Aris Jambul
berkata, penyeludup sering menggunakan Pump Boat satu jenis pengangkutan
air yang laju dan sukar diatasi.
Katanya, pihak polis mendapati Pump Boat menjadi alat untuk mengangkut
barang seludup yang sering digunakan penjenayah yang terdiri daripada
Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Beliau berkata demikian dalam satu sesi dailog bersama dengan Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Liew Teck Chan dan kakitangan pejabat
wakil rakyat itu di Inanam, dekat sini.
"Oleh itu kita berharap kerajaan dapat meluluskan satu akta agar
penggunaan pump boat ini diharamkan di negeri ini secara menyeluruh,"
katanya.
Mohammad Aris seterusnya berkata, jenayah bermaksud pengedaran dadah
seperti Syabu, penyeludupan, curi, gaduh, menangkap ikan menggunakan bajan
terlarang seperti bom.
Katanya, pasukan beliau bertanggungjawab menjaga perairan dipesisir pantai
dari Teringai dalam daerah Kudat hingga ke Kuala Penyu yang melibatkan
enam daerah.
Mohammad Aris juga meminta kerjasama ADUN Likas serta masyarakat setempat
dikawasan itu agar bersama sama menangani serta membenteras jenayah demi
keselamatan bersama.
Teck Chan berkata, beliau dan kakitanganya sedia memberi kerjasama dengan
pihak polis dalam membanteras jenayah untuk kebaikan bersama.
Turut hadir bersama Polis Marin Kota Kinabalu ialah Suaib Mutalib, David
Liew, Tan Ek Piew, Simon Liew, Helen Baikan, Rose Ng, Etor Masambal,
Dzulkifli Chin, Alfred Lim, Tuan Hj Bantilan Bin Alkis, Matlan Bin Marasin,
Ag. Talip Ag. Bagul. |