PBS, UPKO, PBRS dan LDP dicabar keluar BN
PAPAR, 24, Mac 2010: Bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansor
mencabar parti komponen Barisan Nasional berasal dari Sabah agar
tinggalkan gabungan itu kerana hak rakyat di negeri ini semakin terancam.
Katanya, semua parti komponen BN berasal dari Sabah perlu tinggalkan
kerajaan gabungan itu kerana kehadiran terlalu ramai pendatang asing tanpa
izin (PATI) mengancam hak rakyat di negeri ini.
"Saya dapati hak rakyat di Sabah semakin terancam oleh kebanjiran
pendatang asing tanpa izin ini. Saya khuatir generasi akan datang akan
tersisih oleh mereka," katanya.
Beliau berucap pada majlis perasmian cawangan baru Parti Maju Sabah (SAPP)
di Kampung Pengalat, dekat sini, pada hari ini.
Cawangan Kampung Pengalat berada dalam Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC)
Pantai Manis itu dirasmikan oleh Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong
Teck Lee.
Turut hadir tiga Naib Presiden SAPP Datuk Rashid Gador, Amde Sidik dan Don
Chin.
Hadir sama, Ketua Penerangan SAPP Chong Pit Fah, Ketua Pemuda merangkap
Pengerusi CLC Pantai Manis Edward Dagul dan tiga Ahli Majlis Tertinggi
Dullie Marie, Suaib Mutalib dan Jaafar Ismail.
Parti komponen BN berasal dari Sabah ialah Parti Bersatu Sabah (PBS),
Pertubuhan Pasok Momogun Bersatu (UPKO), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)
dan Parti Liberal Demokratik (LDP).
Mohd Noor memegang jawatan Menteri Kewangan Sabah di zaman pemerintahan
Kerajaan Berjaya. Pentadbiran Sabah diperintah Parti Berjaya dari 1976
hingga 1985.
Beliau seterusnya berkata, PBS, UPKO, PBRS dan LDP perlu mencontohi SAPP
kerana sanggup meninggalkan kerajaan gabungan BN dan berjuang menegakkan
hak rakyat Sabah .
Katanya, SAPP berbuat demikian apabila mendapati Kuala Lumpur tidak
melayan gesaan para pemimpin di negeri ini agar masalah seperti PATI di
selesaikan.
Menurut Mohd Noor, Kuala Lumpur sejak bertahun-tahun dulu lagi sentiasa
tidak melayan gesaan para pemimpin Sabah agar pelbagai masalah di negeri
ini di selesaikan.
"Mulut para pemimpin Sabah akan ditutup jika mereka bersuara. Perkara ini
bukan saja berlaku pada masa beliau menjadi Menteri Kewangan di masa dulu
tetapi masih berterusan sehingga kini. Para pemimpin Sabah pada masa ini
lagi takut menyuarakan masalah di negeri ini kerana jawatan mereka
ditentukan oleh Kuala Lumpur ," katanya.
Katanya, Sabah dihimpit pelbagai jenis masalah sehingga menyebabkan rakyat
menjadi miskin walaupun negeri ini kaya dengan sumber alam. |