Ribuan rakyat Sabah merempat di KL
PAPAR, 22 Mac 2010: Ribuan rakyat Sabah terutamanya golongan muda merempat
di Kuala Lumpur kerana gagal mendapat pekerjaan.
Bekas Ketua Menteri
Sabah Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, jumlah rakyat Sabah yang
merempat di Semenanjung mencecah ribuan kerana terlalu ramai rakyat dari
negeri ini sudah berhijrah ke sebelah sana sejak beberapa tahun lalu.
"Jumlah rakyat Sabah yang merengkok dalam penjara di Semenanjung juga
ramai. Mereka disumbat ke dalam penjara kerana melakukan pelbagai
kesalahan jenayah akibat tidak dapat mencari pekerjaan di Semenanjung.
Beberapa tahun lalu, saya ke Semenanjung menghulurkan bantuan terhadap
seorang remaja dari Sabah yang ditahan dalam penjara di sana kerana
didakwa melakukan jenayah. Bentuk bantuan yang saya dapat berikan ialah
mendapatkan peguambela agar hak pemuda itu dari segi undang-undang terbela,"
kata, Teck Lee selaku Presiden Parti Maju Sabah (SAPP).
Beliau berucap merasmikan pembukaan cawangan Kampung Laut, sebuah
cawangan baru dalam Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) SAPP Pantai
Manis di kediaman Pengerusi penaja cawangan Ramlan Roslan di kampung itu,
dekat sini, semalam.
Hadir sama bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Haji Mohd Noor Mansor,
Timbalan Presiden SAPP merangkap Ahli Parliment Sepanggar Datuk Eric
Majimbun, Naib Presiden SAPP Datuk Rashid Gador dan Ketua Pemuda SAPP
merangkap Pengerusi CLC Pantai Manis Edward Dagul.
Teck Lee berkata, kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman
bahawa hanya 20 rakyat Sabah merempat di Semenanjung adalah salah dan jauh
tersasar.
"Musa hanya duduk di kerusi empuk dalam pejabat berhawa dingin di Wisma
Innoprise tanpa turun ke padang melihat keadaan sebenar dan seterusnya
mengatakan hanya 20 rakyat Sabah merempat di Kuala Lumpur," kata, Teck
Lee.
Teck Lee berkata, ramai rakyat Sabah bekerja sebagai pengawal keselamatan,
pencuci kereta dan atendan letak kereta serta pelbagai jenis pekerjaan
yang dipandang rendah masyarakat di Kuala Lumpur .
Katanya, mereka melakukan pekerjaan itu kerana sukar mendapat kerja di
Semenanjung malah lebih susah lagi ketika berada di Sabah .
Beliau berkata bahawa peluang pekerjaan jawatan kanan dalam Jabatan
Persekutuan di negeri ini juga dibolot pegawai dari luar Sabah . Ini
bercanggah dengan Borneosasi seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Katanya, dalam Perjanjian penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 ada
menyatakan bahawa rakyat Sabah diberi keutamaan memegang jawatan dalam
kerajaan di negeri ini.
"Lebih menyedihkan lagi apabila jawatan kerani di Jabatan Persekutuan
di Labuan di sandang rakyat bukan tempatan manakala peluang pekerjaan
penduduk pulau itu diketepikan," katanya. |