Angin Perubahan menjurus kearah SAPP
PENAMPANG, 6 April 2010: Parti Maju Sabah (SAPP) berupaya tumbangkan
Kerajaan Barisan Nasional (BN)pada pilihanraya akan datang berdasarkan
semangat angin perubahan yang ketara dikalangan rakyat pada masa ini.
Angin perubahan itu semakin jelas sejak kebelakangan ini sama seperti pada
tahun 1976 apabila parti Berjaya kalahkan USNO, kata bekas Menteri
Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansor.
"Pada masa itu, iaitu tahun 1976, parti USNO pimpinan Tun Datu Mustapha
Datu Harun dianggap terlalu kuat dan mustahil boleh dikalahkan.
"Bagaimanapun, rakyat pada ketika itu inginkan perubahan dan apabila
pilihanraya diadakan USNO tumbang dan Berjaya menjadi kerajaan baru di
negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian parti SAPP
cawangan Kampung Koidupan, dekat sini malam tadi.
Cawangan Kampung Koidupan terletak dalam Jawatankuasa Pusat Kawasan (CLC)
Kepayan dimana Kepayan merupakan salah satu daripada 60 kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
Mohd Noor adalah Menteri Kewangan Sabah ketika zaman pemerintahan Kerajaan
Berjaya. Parti Berjaya memerintah Sabah dari 1976 hingga 1985.
Hadir sama Setiausaha Agung SAPP Datuk Richard Yong, Ketua Penerangan SAPP
Chong Pit Fah selaku Pengerusi CLC Kepayan, Naib Presiden SAPP Don Chin
dan para pemimpin lain SAPP.
"Saya lihat angin perubahan pada tahun 1976 itu sudah ada dikalangan
rakyat Sabah pada hari ini. Oleh itu saya ingin menyeru rakyat Sabah
berganding bahu lontarkan sokongan kepada SAPP.
"SAPP merupakan satu-satunya parti politik berbilang kaum berasal dari
Sabah yang memperjuangkan hak rakyat di negeri ini dan hak itu hanya dapat
dikembalikan melalui perubahan politik yang sedang diperjuangkan SAPP,"
katanya.
Mohd Noor berkata, rakyat kehilangan hak mereka manakala para peminpin BN
Sabah juga hilang taring kerana sudah tidak ada kuasa otonomi yang
membolehkan mereka membuat keputusan tanpa merujuk atau gangguan daripada
Kuala Lumpur .
Katanya, barisan pemimpin BN Sabah pada hari ini boleh diibaratkan seperti
patung kerana takut bersuara dan hanya ingin menjaga jawatan masing-masing
dari Ketua Menteri hingga kepada calon pilihanraya.
"Ketua Menteri dipilih Kuala Lumpur , calon pilihanraya Kuala Lumpur pilih
dan saya risau satu hari nanti jawatan Ketua Kampung pula akan dipilih
Kuala Lumpur ," katanya.
Katanya, jawatan dalam jabatan dan agensi Persekutuan di negeri ini turut
dikuasai rakyat dari luar Sabah manakala di Labuan lebih parah lagi
apabila jawatan kerani diberi kepada rakyat dari Kuala Lumpur .
Beliau berkata, ketika Malaysia dibentuk pada tahun 1963, Perjanjian
Borneosasi (Borneonization) jelas memperkatakan bahawa rakyat Sabah akan
menguasai jawatan dalam jaba tan dan agensi Persekutuan di negeri ini.
Katanya, perjanjian seperti itu juga ada apabila Labuan diserahkan kepada
Kuala Lumpur untuk dijadikan sebagai salah satu Wilayah Persekutuan.
"Malangnya perjanjian itu tidak dihormati Kuala Lumpur ," katanya sambil
menambah kontrak kecil-kecilan seperti memotong rumput di Labuan juga
diberikan kepada kontraktor dari Kuala Lumpur . |