Kaji Semula Hubungan Sabah-KL
KOTA KINABALU, 18 April 2010: Hubungan diantara Kerajaan Sabah dengan
Kerajaan Persekutuan perlu dikaji semula kerana Kuala Lumpur tidak hormati
perkara-perkara yang termaktub dalam perjanjian penubuhan Malaysia.
Kajian semula itu mustahak agar Kerajaan Sabah diberi semula kuasa
politik dalam erti kata sebenar dan bukannya digenggam Kuala Lumpur
seperti pada masa ini, kata bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor
Mansoor.
"Ini bukan bererti kita hendak keluar dari Malaysia. Bukan itu yang
kita mahu kerana tidak ada tempat yang boleh kita tujui.
"Kita mahu sebuah kerajaan negeri yang mempunyai kuasa otonomi supaya
segala keputusan yang memberi manfaat kepada rakyat dapat dibuat di sini,"
katanya.
Beliau berucap pada satu majlis mengenai Isu-Isu Semasa Malaysia dan
Masa Depan Negeri Sabah di sini malam semalam. Majlis itu dianjur oleh
Parti Maju Sabah (SAPP).
Hadir mendengar ucapan itu, antaranya, Presiden SAPP yang juga bekas
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, dua Penasihat SAPP,
Datuk Murshidi Nambi dan Datuk Paul Wong serta Pengerusi Kongres SAPP
Datuk Francis Yap.
Hadir sama, barisan pemimpin SAPP termasuk wakil rakyat Luyang, Melanie
Chia dan wakil rakyat Likas, Datuk Liew Teck Chan serta beberapa wakil
dari Graduan Kem Belia parti itu.
Mohd Noor memegang portfolio Menteri Kewangan Sabah ketika era parti
Berjaya yang memerintah negeri ini dari 1976 hingga 1985.
Beliau berkata, Canada dan Australia menjadi makmur kerana
masing-masing mempunyai kuasa otonomi.
"Jika Canada dan Australia boleh dapat kuasa otonomi mengapa tidak Sabah,"
katanya sambil menambah otonomi merupakan salah satu bentuk amalan
demokrasi tulen.
Katanya, demokrasi tulen tidak lagi ujud di Sabah kerana para pemimpin
Barisan Nasional Sabah pada ketika ini tunduk kepada telunjuk Kuala
Lumpur.
Katanya, contoh jelas ialah apabila jawatan Ketua Menteri Sabah dipilih
Kuala Lumpur.
"Para pemimpin Barisan Nasional Sabah pada hari ini adalah ‘Yes Man’
kepada Kuala Lumpur. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman
sentiasa menurut perintah Kerajaan Persekutuan.
"Baru-baru ini, Musa berkata Model Ekonomi Baru yang diumumkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah baik untuk Sabah sedangkan MEB
masih dalam peringkat perbincangan dan belum dikuatkuasakanlagi.
"Macamana seorang Ketua Menteri boleh memberi kenyataan seperti itu
kalau bukan hanya untuk mengampu Kuala Lumpur saja," katanya.
Mohd Noor seterusnya berkata, MEB sebenarnya satu retorik politik Kuala
Lumpur untuk memikat hati rakyat kerana Kerajaan Barisan Nasional
Persekutuan kini sedang berhadapan dengan kemelut politik ekoran
kebangkitan pembangkang di Semenanjung.
Katanya, konsep 1Malaysia juga satu retorik politik manakala program
Juara Rakyat merupakan permulaan kempen Barisan Nasional.
Beliau berkata, Barisan Nasional pimpinan UMNO boleh ditumbangkan
melalui sokongan rakyat kearah pembentukan sebuah kerajaan berkuasa
otonomi seperti di perjuangkan SAPP |