Melanie Chia: Bekalan
Tenaga Sabah
Ucapan dalam Persidangan
Dewan Undangan Negeri Sabah
Kota Kinabalu, 21 April 2010: "Terima kasih kerana memberi peluang kepada
saya mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas Ucapan Dasar Kerajaan
yang telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri pada
15hb April 2010.
"Terlebih dahulu izinkan saya ucapan terima kasih kepada Tuan Yang
Terutama Yang di-Pertua Negeri kerana sudi menyampaikan dasar Kerajaan
pada hari perasmian sidang Dewan yang mulia ini.
"Sebagai permulaan, saya ingin memetik perenggan 49 di muka surat 32 teks
ucapan Dasar Kerajaan yang berbunyi "Seleras dengan aspirasi Negara,
pelaburan dan penggunaan sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan
teknologi-teknologi bersih akan digalakkan. Peningkatan dalam aplikasi
kecekapan tenaga juga akan dipromosikan. Bangunan-bangunan industri dan
kediaman adalah disarankan untuk menggunakan teknologi yang bersih dan
mesra alam untuk kebaikan rakyat dalam jangka masa panjang".
'Renewable Energy'
Apabila diperhatikan, Dasar Kerajaan kini
menghala kepada bekalan tenaga dari sumber yang boleh diperbaharui serta
teknologi bersih. Sumber tenaga yang boleh diperbaharui atau dalam Bahasa
Inggeris dipanggil ‘Renewable Energy’ boleh diperolehi dari sumber asli
seperti cahaya matahari, angin, air dan biofuel melalui proses tertentu.
Saya telah kemukakan bantahan penggunaan arang batu sebagai sumber tenaga
letrik di Sabah pada persidangan yang lalu dan saya telah memberi
alasan-alasan dan sebab-sebab mengapakah kita tidak bersetuju dengan
projek pembinaan arang batu yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan
pusat. Saya tidak perlu mengulanginya lagi.
Dengan pendekatan kerajaan pada hari ini untuk menggalakan penggunaan
sumber sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan technologi-technologi
bersih, saya berharap rancangan pembinaan tenaga letrik arang batu yang
diluluskan pembinaannya di Lahad Datu harus dibatalkan.
Gangguan bekalan letrik
Dalam perenggan yang sama, juga menyentuh tentang peningkatan dalam
aplikasi kecekapan tenaga juga akan dipromosikan.
Kita sedia maklum bahawa ganguan tenaga letrik di Sabah adalah satu
masalah yang belum selesai sejak sekian lama.
Kekerapan gangguan bekalan letrik telah menimbulkan berbagai masalah
khusunya kepada industri-industri pemprosesan, industri makanan dan
industri pembuatan lain serta berbagai perniagaan termasuk kepada semua
pengguna.
Adalah tidak adil apabila pengguna terlambat membayar bil letrik pihak
SESB dengan serta merta memotong bekalan tenaga pihak pengguna itu.
Tetapi SESB yang telah menyusahkan pengguna dengan memberi bekalan letrik
terputus-putus yang kerap sepanjang masa tidak pula membayar pampasan
kepada pengguna.
Kerugian yang dialami oleh pihak industri itu dan ketidak selesaan
pengguna seharusnya di beri pampasan dan ganti rugi oleh pihak pembekal
samada pihak IPP mahu pun pihak SESB.
Tidak apa attitut oleh TNB
Pendedahan oleh laporan akbar dan Ahli Parlimen Kalabakan bahawa SESB
tidak dapat memulihkan keadaan ganguan bekalan letrik khususnya di Tawau
disebabkan SESB telah dibekalkan oleh TNB set-set janakuasa terpakai
daripada syarikat Sime Darby yang tidak boleh beroperasi sepenuhnya adalah
amat memalukan.
Ini menunjukkan seolah-olah rakyat Sabah dianggap sebagai rakyat Malaysia
bertaraf kelas kambing, boleh di persendakan dengan "tidak apa attitiut"
oleh TNB.
Saya ingin bertanya apakah tindakan pihak kerajaan negeri dalam perkara
ini. Sudah sampai masanya bahawa SESB dikembalikan kepada Kerajaan Sabah
jika sekiranya TNB tidak mampu meneruskan perkhidmatan yang memuaskan dan
sempurna.
Sarawak menguruskan sumber tenaga bekalan lerik sendiri melalui Sarawak
Electricity Supply Corporation atau SESCO. Dan Sarawak telah berjaya
mengurus bekalan letrik yang mencukupi tanpa sebarang masalah. Sarawak
juga pernah menyatakan kesediaannya untuk membekalkan tenaga letrik ke
Sabah.
Kenapa bekalan letrik tidak ke Sabah?
Saya amat terkilan apabila mendengar jawapan lisan daripada Menteri
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Parlimen bahawa bekalan letrik Bakun
boleh di salurkan ke Semenanjung Malaysia dan Indonesia melalui dasar laut
tetapi tidak dapat disalurkan ke Sabah disebabkan cerun-cerun dan bukit
bukau yang sukar untuk menyambung talian bekalan letrik melalui hutan
rimba dan kos penyambungannya sangat mahal.
Disebaliknya gas daripada Sabah boleh di salurkan ke Bintulu. Paip-paip
saluran gas juga merentasi hutan rimba, cerun-cerun dan bukit bukau yang
sama, kalau gas Sabah boleh ke Sarawak kenapa pula bekalan letrik hydro
Sarawak tidak boleh ke Sabah? Apakah kita di Sabah hanya mengikut telunjuk
dan arahan Kuala Lumpur? Saya ingin tanya sekali lagi apakah tindakan
Kerajaan Negeri dalam perkara ini?
SAIDI
Uutuk makluman di Dewan yang mulia ini, secara keseluruhan terdapat
peningkatan produktiviti dan kecekapan dalam perkhidmatan pembekalan
elektrik, TNB dan SESCO mencatatkan peningkatan prestasi dari segi unit
dijual bagi setiap pekerja dan pengurangan bilangan kekerapan gangguan
elektrik. (Lapor di dalam Rancangan Malaysia Ke-9). SAIDI TNB dari 351
minit/pelanggan/tahun pada tahun 2000 turun ke 147 minit pada 2005; SAIDI
SESCO dari 860 minit/pelanggan/tahun pada 2000 turun ke 310 minit pada
2005; tetapi SAIDI SESB pada tahun 2000 ialah 2,791 minit dan pada tahun
2005, ia lah 4,109. Di fahamkan sasaran SAIDI telah ditetapkan ke 700
minit pada tahun ini. Saya juga berdoa supaya SESB boleh mencapai sasaran
ini.
Gas Sabah ke Bintulu
Sabah mempunyai sumber asli gas yang banyak. Petronas telah memulakan
projek pemasangan paip untuk menghantar gas ke Bintulu Sarawak dengan kos
dianggarkan sebanyak RM5.5 bilion dan projek ini akan membekalkan gas
sebanyak 500 juta kaki padu sehari dan disalurkan ke Bintulu untuk
diproses dan dieksport ke Jepun dan Negara luar lain. Petronas akan
mengaut keuntungan beratus juta ringgit mungkin berbilion bilion ringgit
dari negeri Sabah.
Saya pernah sarankan bahawa Sabah perlu bukan sahaja menggunakan gas yang
ada untuk digunakan menjana tenaga letrik untuk menampung kegunaan di
Sabah yang lebih mesra alam tetapi juga perlu memulakan industri hiliran
sumber gas asli untuk jangka masa panjang ekonomi negeri sabah. Dengan
adanya industri hiliran dan terminal janakuasa tenaga letrik menggunakan
gas sudah pasti akan memberi peluang pekerjaan kepada belia-belia kita
seterusnya mengundang peluang peluang perniagaan kepada anak tempatan
daripada kesan sampingan atau dengan izin, spill over effect di industri
berkenaan.
Royalti minyak
Saya masih mahu mengulangi bahawa royalti minyak 5% yang diberikan oleh
Petronas kepada Sabah harus dikaji semula atau dengan izin review. Saya
sering kali dengar penjelasan dari pihak kerajaan pusat dan kerajaan
negeri bahawa tidak perlu kaji semula atau review royalti minyak kerana
kerajaan pusat memberi peruntukan tambahan banyak kepada Sabah,
berbilion-bilion.
Saya ingin membawa perhatian dewan yang mulia ini bahawa hasil minyak
adalah hasil daripada sumber alam kita yakni itu adalah hak kita.
Peruntukan kewangan melalui bajet persekutuan dan peruntukan tambahan
adalah "peruntukan politik" dan tidak semestinya ditunaikan kecuali
pemberian peruntukan yang terkandungan dalam perlembagaan. Maka sebab itu
adalah menjadi tanggung jawab kita memastikan bahawa permintaan kenaikan
royalti minyak daripada 5% kepada 20% atau angka yang munasabah sebenarnya
adalah kita perolehi daripada hak dan hasil sumber bumi kita bukan kita
minta daripada hak negeri lain.
Hasil royalti minyak setelah ditetapkan maka pihak Petronas harus tunaikan
mengikut perjanjian dan hasil ini menjadi hasil negeri dan kerajaan negeri
sendiri boleh menggunakan kewangan tersebut melalui bajet negeri yang
diluluskan dalam dewan undangan negeri.
Manakala peruntukan persekutuan adalah dikendalikan oleh kementerian
kewangan Malaysia dan di tentukan oleh Kementerian-kementerian Persekutuan.
Itu adalah sebagai wang "ehsan" kerajaan Persekutuan, ia kadangkalah boleh
beri banyak ia juga boleh dipotong dan dikurangkan pada bila-bila masa.
Pendek kata peruntukan sedemikian memerlukan lobi melobi dan kalau dengar
cakap KL boleh dapat banyak sedikit kalau tidak dengar cakap KL sukar mahu
dapat peruntukan.
Ini adalah kenyataan, maka jangan lah sampai kita menggadai hak dan
kepenting rakyat semata-mata mahu mempertahankan kepentingan politik dan
kepentingan peribadi.
Pembayaran sewa
Berdasarkan kepada Perjanjian diantara Kerajaan Sabah dan Petronas yang
ditandatangani pada 1976, perkara berkenaan sewa ada disentuh, dimana
Petronas dimestikan membayar sewa kepada Kerajaan Sabah berhubung dengan
operasi perlombongan, penyediaan kuarters tempat tinggal dan bangunan
pejabat serta Apa-Apa Juga Jenis Binaan yang dibina di atas tanah Negeri
Sabah.
Sewa itu perlu dibayar secara berterusan kepada Negeri Sabah oleh Petronas
atau agennya atau kontraktor pada kadar yang dipersetujui semua pihak.
Memandangkan saluran paip dari Kimanis ke Bintulu Sarawak yang berukuran
ratusan kilometer panjang dibina di atas tanah Negeri Sabah, maka saluran
paip itu adalah salah satu daripada Apa-Apa Juga Jenis Binaan seperti yang
terkandung dalam perjanjian itu.
Ini bermaksud Petronas atau agennya atau kontraktor perlu membayar sewa
kepada Kerajaan Sabah bagi struktur saluran paip itu.
Saya ingin meminta penjelasan Kerajaan Sabah adakah kadar sewa bagi
saluran paip itu telah dipersetujui dan berapakah kadar sewa itu?
Satu perkara lagi yang ingin saya sentuh di sini ialah berkenaan dengan
Majlis Penasihat Petroleum Negara yang ditubuhkan mengikut Akta Kemajuan
Petroleum 1974.
Mengikut Akta Petroleum 1974 seorang dilantik dari negeri pengeluar minyak
menduduki dalam Majlis Penasihat Petroleum Negara, namuan malang sekali
tiada seorang pun dari Sabah di lantik ke jawatan berkenaan sejak
perjanjian di mertai dengan Petronas pada tahun 1976 sehingga sekarang.
Kerajaan Negeri harus memastikan apa yang terkandung dalam Akta Petroleum
1974 itu harus patuhi dan dilaksanakan senpenuhnya.
Model Ekonomi Baru
Proses peringkat pertama rangka kerja Model Ekonomi Baru atau
ringkasannya MEB telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak bertujuan mencapai tiga teras iaitu ekonomi berpendapatan
tinggi, kondusif dan mapan.
Saya ingin memetik satu petikan dari MEB:
"NEAC melihat bahawa langkah-langkah pembaharuan yang berani ini akan
melancarkan pelaburan, meningkatkan produktiviti buruh dan menambah
kecekapan, melonjak purata kadar perkembangan sebenar kepada 6.5% setahun
dari 2011-2020. Pendapatan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
akan naik kepada kira-kira US17,700 menjelang 2020."
Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita (KDNK) Malaysia pada masa ini ialah
kira-kira US7,000 atau RM23,000.00 manakala KDNK per kapita Sabah bagi
tahun 2007 ialah kira-kira RM13,000.00 saja.
Jika pendapatan per kapita KDNK Malaysia ingin ditingkatkan dari US7,000 (kira-kira
RM23,000.00) kepada US17,700 (kira-kira RM57,000) seperti yang ditunjukkan
dalam MEB itu maka negara Malaysia memerlukan perkembangan sebenar pada
kadar 6.5% setiap tahun. Tetapi Sabah perlu perkembangan sebenar pada
kadar lebih 10% setiap tahun dari sekarang hingga tahun 2020 agar tidak
ketinggalan dengan negeri-negeri lain.
Saya ingin bertanya Kerajaan Negeri Sabah yang menyokong MEB itu, apakah
program-program dan model-model pembangunan ekonomi yang diperlukan untuk
meletakkan kita sama-sama berada pada landasan perkembangan itu?
Adakah kita di Sabah akan terus ketinggalan jauh dari negeri-negeri lain
seperti sekarang ini?
Negeri yang termundur dan termiskin di Malaysia
Berbagai-bagai slogan dan istilah kita dengar seperti 1 Malaysia – Rakyat
didahulukan, Pencapaian diutamakan, Model Ekonomi Baru (MEB), Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kayu Pengukur Pencapaian Utama (KPI),
dan berbilion-bilion peruntukan untuk Sabah. Saya harap kesemuanya ini
boleh mendatangkan hasil kepada rakyat Sabah sampai ke akar umbi. Adalah
menjadi malapetaka jika kita masih menjadi negeri yang termundur dan
termiskin di Malaysia 5 tahun akan datang nanti.
Saya juga ambil kesempatan di sini untuk mengucapakan Kotobian Tadau
Tagayo Do Kaamatan ke semua di Dewan yang mulia ini.
Sekian dan terima kasih.
oleh Melanie Chia |