Kaji semula Perjanjian 20 Perkara
KUNDASANG 25 April 2010: Semua 20 Perkara yang termaktub dalam Perjanjian
penubuhan Malaysia 1963 perlu dikaji semula kerana Kuala Lumpur telah
engkar.
Bekas Menteri Kewangan Datuk Mohd Noor Mansoor berkata, Kuala Lumpur tidak
patuh banyak perkara dan yang paling jelas di kaca mata rakyat ialah
Borneosasi, Imigresen dan Otonomi.
"Tun Fuad Stephens adalah pemimpin pertama meminta Kuala Lumpur mengkaji
semula Perjanjian 20 Perkara itu tetapi apa yang berlaku ialah beliau
dihantar ke Australia menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia.
"Jawatan Ketua Menteri diberi kepada Datuk Peter Lo manakala Tun Datu
Mustapha Datu Harun dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Khas Sabah,"
katanya.
Mohd Noor adalah bekas Menteri Kewangan Sabah pada zaman pemerintahan
parti Berjaya dari 1976 hingga 1985, berucap pada ceramah umum bertajuk
isu-isu semasa dan Pilihan Raya Umum ke-13 penentu masa depan Sabah, di
sebuah hotel di sini, hari ini.
Pada majlis itu sebanyak enam cawangan baru SAPP dirasmikan iaitu Pekan
Kundasang, Kampung Patau, Kampung Giring, Kampung Tanid, Kampung
Sumbilingon dan Kampung Mokodou yang kesemuanya berada dalam kerusi Dewan
Undangan Negeri kawasan Kundasang.
Cawangan Kampung Mokodou diketuai Melubin Sinduman manakala cawangan
Kampung Giring diketuai Midi Huis. Kedua-dua mereka bekas pemimpin Parti
Bersatu Sabah (PBS).
Cawangan Kampung Tanid diketuai Laipan Mosikol manakala cawangan Kampung
Patau diketuai Lajumin Sagambat. Kedua-dua mereka bekas pemimpin UMNO.
Dua cawangan iaitu Kampung Sumbilingon diketuai Jamdin Jeperi dan Pekan
Kundasang diketuai Japiril Suhaimin.
Kira-kira 200 ahli baru SAPP serta beberapa ahli UMNO dan memenuhi dewan
hotel itu.
Hadir, antaranya, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima
Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri, Timbalan Presiden SAPP selaku
Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun, Penasihat SAPP Datuk Paul
Wong, Ahli Majlis Tertinggi SAPP Jaafar Ismail, Ahli Majlis Tertinggi SAPP
Agnes Moifun dan Japiril.
Mohd Noor berkata, kajian semula itu bukan bermaksud hendak membawa Sabah
keluar dari gagasan Malaysia.
Katanya, kajian semula itu bermaksud memperbetulkan ketidakseimbangan
hubungan diantara Sabah dengan Kuala Lumpur sehingga menyebabkan Negeri
ini walaupun kaya dengan sumber alam tetapi menjadi Negeri termiskin di
Malaysia.
"Borneosasi bermaksud peluang kerja dalam jabatan dan agensi Persekutuan
di Negeri ini harus diberi kepada orang tempatan tetapi malangnya apa yang
kita lihat pada hari ini ialah rakyat Malaysia dari luar Sabah menguasai
jawatan-jawatan itu.
"Kuasa Imigresen pula di kawal Kuala Lumpur kerana Pengarah Jabatan
Imigresen adalah orang luar yang mereka lantik.
"Otonomi rakyat dan Kerajaan Negeri Sabah sudah hilang kerana jawatan
Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet Sabah dilantik berdasarkan restu
dari Kuala Lumpur," katanya.
Mohd Noor seterusnya berkata, ada jawatan pengarah di sesetangah Jabatan
Persekutuan di Sabah disandang orang tempatan seperti Jabatan Pelajaran
tetapi kuasa masih berada dalam tangan Kuala Lumpur.
Beliau berkata, sebagai contoh ialah apabila seorang pelajar dari daerah
ini yang perlu mendapat pertimbangan dari Kuala Lumpur untuk memasuki
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) walaupun mendapat 8A dalam peperiksaan
UPSR.
Katanya, kuasa Imigresen terhakis apabila terdapat kes dimana seseorang
itu dikehendaki pergi ke Putra Jaya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
untuk urusan berkaitan permohonan kad pengenalan MyKad.
Menurut beliau, Sabah boleh membangun semula dan seterusnya menjadi negeri
paling makmur di negara ini jika Perjanjian 20 Perkara itu dikaji semula
sekaligus segala ketidakseimbangan diperbetulkan.
Katanya, rakyat Sabah selama ini bersikap lebih keMalaysiaan berbanding
dengan Kuala Lumpur kerana sudah lama mengamalkan hidup bersatu padu tanpa
mengira bangsa atau agama.
Mohd Noor berkata, contoh terbaik ialah perkahwinan campur dikalangan
masyarakat berbilang kaum di negeri ini yang menjadi resipi utama
keharmonian itu.
Katanya, konsep 1Malaysia, Rakyat diDahulukan Pencapaian diUtamakan hanya
retorik Kuala Lumpur untuk mengalih pandangan rakyat di Semenanjung
daripada kemelut politik yang melanda mereka. |