UMNO dinasihat keluar dari Sabah
KUNDASANG 25 April 2010: Bekas Menteri Kewangan Datuk Mohd Noor Mansoor
nasihati UMNO tutup kedai di Sabah dan balik semula ke Semenanjung
Malaysia.
Katanya, UMNO hanya membawa pelbagai masalah kepada rakyat sejak
melebarkan sayap ke Negeri ini pada awal tahun 1990an.
"Lebih baik undur
diri dari Sabah. Rakyat hanya mendapat banyak masalah dan bukannya manfaat
sejak UMNO datang ke Negeri ini.
"Sabah adalah kaya dengan sumber alam tetapi menjadi Negeri termiskin
di negara ini sejak kehadiran UMNO.
"Rakyat diperbodoh dengan diberi bantuan berbentuk kewangan seperti
RM200 sebulan kepada nelayan dan RM300 sebulan kepada golongan memerlukan.
Bantuan kewangan ini sebenarnya adalah umpan supaya rakyat terus memberi
sokongan," katanya.
Mohd Noor adalah bekas Menteri Kewangan Sabah pada zaman pemerintahan
parti Berjaya dari 1976 hingga 1985, berucap pada ceramah umum bertajuk
isu-isu semasa dan Pilihan Raya Umum ke-13 penentu masa depan Sabah, di
sebuah hotel di sini, hari ini.
Pada majlis itu sebanyak enam cawangan baru SAPP dirasmikan iaitu Pekan
Kundasang, Kampung Patau, Kampung Giring, Kampung Tanid, Kampung
Sumbilingon dan Kampung Mokodou yang kesemuanya berada dalam kerusi Dewan
Undangan Negeri kawasan Kundasang.
Cawangan Kampung Mokodou diketuai Melubin Sinduman manakala cawangan
Kampung Giring diketuai Midi Huis. Kedua-dua mereka bekas pemimpin Parti
Bersatu Sabah (PBS).
Cawangan Kampung Tanid diketuai Laipan Mosikol manakala cawangan
Kampung Patau diketuai Lajumin Sagambat. Kedua-dua mereka bekas pemimpin
UMNO.
Dua cawangan iaitu Kampung Sumbilingon diketuai Jamdin Jeperi dan Pekan
Kundasang diketuai Japiril Suhaimin.
Kira-kira 200 ahli baru SAPP serta beberapa ahli UMNO dan PBS memenuhi
dewan hotel itu.
Hadir, antaranya, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima
Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri, Timbalan Presiden SAPP selaku
Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun, Penasihat SAPP Datuk Paul
Wong, Ahli Majlis Tertinggi SAPP Jaafar Ismail, Ahli Majlis Tertinggi SAPP
Agnes Moifun dan Japiril.
Katanya, rakyat Sabah harus sedar bahawa bantuan kewangan sekecil itu
sebenarnya datang dari negeri ini kerana wang itu merupakan sebahagian
daripada hasil minyak yang dikeluarkan dari bumi Sabah.
Mohd Noor berkata, perjuangan UMNO tidak relevan bagi Sabah kerana
mereka hanya berjuang untuk orang Melayu.
"Di Sabah tidak ada orang Melayu. Yang ada ialah Bajau, Kadazan, Dusun,
Murut, Berunai, Rungus, Sungai dan banyak lagi suku-suku lain.
"Melayu hanya terdapat di Semenanjung kerana orang yang beragama Islam
di sebelah sana dipanggil Melayu," katanya.
Katanya, konsep 1Malaysia, Rakyat diDahulukan Pencapaian diUtamakan
hanya retorik Kuala Lumpur untuk mengalih pandangan rakyat di Semenanjung
dari kemelut politik yang melanda mereka.
Beliau berkata, sebenarnya para pemimpin Barisan Nasional terutamanya UMNO
didahulukan bukannya rakyat.
Katanya, UMNO juga didapati menerapkan budaya UMNO putra dimana
projek-projek terutamanya projek mega diberi kepada kontraktor dari
Semenanjung melalui rundingan terus.
Mohd Noor berkata, malangnya projek-projek itu seperti Jalan
Sapulut-Kalabakan dilaksanakan dengan teruk kerana diturap nipis.
Katanya, projek jalan keretapi dari Tanjung Aru di Kota Kinabalu ke
Tenom tidak mendatangkan sebarang hasil kerana tidak ada lagi hasil
pertanian seperti getah yang perlu diangkut.
Beliau berkata, rakyat tidak gemar menggunakan perkhidmatan keretapi
penumpang kerana lebih mudah dan cepat bergerak apabila menggunakan
kenderaan melalui jalan raya. |