Reformasi Mahkamah Anak Negeri jaga tanah adat serta adat resam Bumiputera
KUDAT 11 Mei 2010: Parti Maju Sabah (SAPP) akan mereformasi Mahkamah Anak
Negeri agar hak kaum Bumiputera terhadap tanah dari segi Hak Adat
(Customary Rights) terjaga.
Timbalan Presiden SAPP selaku Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Eric Majimbun
berkata, reformasi itu juga akan memastikan agar adat resam masyarakat
Bumiputera yang terdiri daripada pelbagai suku kaum turut dijaga.
Katanya, reformasi itu akan dilakukan apabila SAPP menerajui tampuk
pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah nanti.
Beliau berkata, Mahkamah Anak Negeri di Sabah pada masa ini dilihat tidak
menjaga kepentingan dan hak masyarakat Bumiputera.
Katanya, SAPP risau satu hari nanti masyarakat Bumiputera di negeri ini
akan kehilangan hak terhadap tanah masing-masing walaupun dari segi
undang-undang mereka dilindungi melalui Hak Adat.
“Selain itu, Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri dan
Ketua Kampung pada hari ini turut gagal menjaga hak dan kepentingan Tanah
Anak Negeri termasuk tanah simpanan perkampungan, perkuburan, perhutanan
anak negeri serta adat resam masyarakat Bumiputera di Sabah.
“Mereka lebih banyak berpolitik daripada membantu rakyat di kawasan
masing-masing kerana mereka mendapat jawatan itu atas lantikan politik ,”
katanya, pada Pesta Kaamatan di Kampung Tiga Papan dekat sini.
Acara itu dianjur Jawatankuasa Pusat Kawasan (CLC) SAPP Tanjung Kapor.
Majlis itu dirasmikan Persiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.
Turut hadir, Timbalan Presiden selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan.
Hadir sama, Bendahari Agung SAPP selaku Pengerusi CLC Tanjung Kapor Datuk
Wong Yit Ming dan dua Ahli Majlis Tertinggi SAPP Jaafar Ismail serta Agnes
Moifun Liewpin.
Dalam ucapannya, Teck Lee berkata, SAPP akan siasat dengan teliti laporan
bahawa hak pemilikan tanah Kampung Loro Kecil dekat sini telah diberikan
kepada syarikat swasta.
Katanya, siasatan itu dilakukan untuk memastikan kedudukan sebenar laporan
itu sebelum tindakan susulan dibuat.
Beliau berkata, sebuah kampung di Tawau iaitu Kampung Surudum yang telah
didiami kaum Murut sejak tiga generasi lalu telah menjadi milik sebuah
syarikat perladangan kelapa sawit.
Katanya, perkara itu berlaku apabila geran pemilikan tahan kampung itu
diberi kepada sebuah syarikat tempatan yang kemudiannya menjual tanah itu
kepada syarikat perladangan itu.
Beliau berkata, kes di Tawau itu menunjukkan terdapat penyelewengan di
pihak pegawai awam di negeri ini.
Katanya, kes itu turut mendedahkan kelemahan sistem pentadbiran Kerajaan
Negeri Barisan Nasional pada hari ini.
Ends.
Pix...
3426...Kanak-kanak dari suku kaum Rungus mempersembahkan tarian tradisi
kaum itu pada pesta itu.
|