Mampukah Shafie memaku keranda politik Musa?
GEJOLAK politik Sabah semakin hangat berikutan penangkapan empat tokoh
yang diwar-warkan sebagai kroni Ketua Menteri Sabah iaitu Andrew Lim,
Freddy Lim, CL Tan dan Admond Looh yang disyaki terlibat dalam Skandal
Penggubahan Wang Haram dan Membiayai Keganasan; ekoran tertangkapnya
Michael Chia Thien Foh di Lapangan Terbang Hong Kong pada 14 Ogos 2008.
Sekalipun kesemua mereka dibebaskan semalam oleh Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum tamat tempoh tahanan reman selama lima hari,
namun 14 orang Pegawai Kanan SPRM Putrajaya yang menyerbu pejabat Andrew
dan Freddy Lim membawa lebih muatan semua fail penting yang dirampas
daripada pejabat tokoh berprofail tinggi berkenaan.
Dengan senarai 'predator' 20 orang lagi yang masih dirahsiakan, menjadikan
politik Sabah diambang kocakan larva politik yang mencari ruang untuk
meledak.
Ekoran daripada senario yang menggemparkan politik Sabah ini, Naib
Presiden UMNO Malaysia, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal dijangka akan
menggunakan kesempatan ini untuk menanam kembali pengaruh di Sabah setelah
dilempar ke Kedah sebagai Ketua Perhubungan UMNO Kedah.
Shafie sedar, walaupun beliau bukan Adun, namun beberapa formula boleh
dikemukakan kepada 'Big Brother'nya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
untuk melantak 'paku terakhir' ke 'keranda' politik Datuk Seri Panglima
Musa Haji Aman, kerana ramai pemimpin politik Sabah yang selama ini Pro-Musa
turut menggali 'liang lahad' untuk menyemadikan 'jenazah' politik Musa
yang dijangka dipancung mati pada bila-bila masa.
Ketua Bahagian UMNO Tuaran, Datuk Hajiji Haji Noor yang sebelum ini adalah
'rakan yang makan sepinggan dengan Musa' kini beralih 'minum segelas'
dengan Shafie yang selama ini hanya mempunyai seorang pengikut setia iaitu
Ketua Bahagian UMNO Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail.
Kerenggangan Hajiji-Musa dapat dilihat dengan begitu ketara kerana Hajiji
tidak lagi menjadi pengiring Musa dalam majlis rasmi kerana tempatnya
telah diambil alih oleh Penasihat Sains dan Teknologi, Datuk Seri Panglima
Mohd Salleh Tun Said yang sebelum ini merupakan 'kembar siam Shafie' yang
berjaya dipisahkan Musa dalam 'post mortem' sebaik sahaja Salleh dilantik
sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.
Perlembagaan Negeri Sabah yang masih mengamalkan 'Sistem British' memberi
kelebihan kepada Shafie untuk dilantik sebagai Ketua Menteri kerana
peruntukan Adun Lantikan masih digunapakai sekalipun kerusi DUN Sabah
ditambah daripada 48 kepada 60.
Kemungkinan formula ini tidak disukai Shafie kerana 'Adun Kelas Kambing' (Lantikan)
mungkin sukar diterima di zaman ini, maka Shafie terpaksa menggunakan
alternatif kedua iaitu memujuk Najib mengadakan pilihanraya kecil di
Semporna dan bertukar tempat dengan Datuk Nasir Tun Sakaran.
Sekalipun keputusan pilihanraya kecil Parlimen Sibu memihak kepada Pakatan
Rakyat hanya dengan majoriti 398 undi, namun mampu memulihkan imej BN
kerana Parlimen Semporna dan DUN Senallang adalah Kubu Kuat BN yang tidak
pernah terlepas kepada pembangkang.
Shafie boleh juga menggunakan saluran ketiga iaitu melantik 'Ketua Menteri
Dalam Transit' bagi mengimbangi kebimbangan Najib terutama ketiadaan tokoh
berwibawa untuk menggantikan Musa yang dilabelkan Shafie sebagai 'Liabiliti'
kepada UMNO.
Sekalipun mendapat jolokan 'Regu Double S' (Shafie-Salleh) sebelum ini,
namun kecenderungan Salleh memihak kepada Musa Aman menyebabkan Shafie
terpaksa 'berkerat rotan dan berpatah arang' dengan Salleh yang dilantik
sebagai Penasihat Sains dan Teknologi kepada Musa Aman; apatah lagi
slotnya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah diisii
Salleh setelah beliau dilemparkan ke Kedah.
Hanya seorang tokoh penting yang bersemadi di kepala Shafie, Datuk Abdul
Rahim Ismail yang selama ini begitu setia kepada Shafie serta mempunyai
daya tahan, daya juang yang tinggi dan terus patuh kepada arahan Shafie
sekalipun digugurkan Musa daripada Kabinet Negeri pada pilihanraya umum
lalu.
Dendam kesumat Rahim terhadap Musa Aman mungkin terbalas sekiranya dipilih
Shafie dan direstui Najib, apatah lagi dalam keadaan Datuk Hajiji Haji
Noor tidak mampu membela diri kerana mungkin dimanipulasikan oleh
seterunya berhubung beberapa skandal yang belum terdedah kepada umum.
Kepimpinan Rahim dalam politik sememangnya terserlah kerana beliau bukan
sahaja berwibawa tetapi juga masih mendapat tempat di hati para pengundi
yang berbilang kaum; terutama mengangkat semula martabat masyarakat
keturunan Brunei yang dipinggirkan Musa Aman sejak pilihanraya umum lalu.
Sebelum pilihanraya umum 2008, Rahim telah diwar-warkan sebagai salah
seorang tokoh paling layak menggantikan Musa Aman yang terjerat oleh
beberapa Skandal; namun berjaya dihidu Musa sehingga Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang Pro-Musa membatalkan 'niat jahat'
Shafie untuk menguasai Kerajaan Negeri Sabah melalui proksinya, Rahim
Ismail.
Dendam Musa terhadap Rahim begitu ketara kerana Datuk Karim Bujang juga
turut menjadi mangsa percaturan politik Musa Aman semata-mata kerana Karim
ipar Rahim Ismail; hanya ditawarkan jawatan Pembantu Menteri sekalipun
sudah empat penggal Karim diberi peranan berkenaan; menyebabkan Karim
mengambil keputusan untuk menolak perlantikan tersebut.
Rahim yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
yang baru, berkuat kuasa pada 2 Ogos 2008 merupakan mantan Menteri
Pertanian dan Industri Makanan Sabah selama dua penggal sebelum digugurkan
daripada Kabinet Musa pada 2008.
Persoalannya, mampukah Rahim mengumpul pengaruh dalam masa yang singkat
dan menonjolkan kewibawaannya menggelincirkan pengaruh politik Musa Aman
yang sudah berakar umbi di kalangan ADUN PPRT di dalam Dewan Undangan
Negeri Sabah kerana selama ini, mereka menjadi peminta sedekah daripada
Musa dan bukannya penyumbang utama kepada Kerajaan Negeri Sabah?
Jika Rahim gagal, maka Shafie terpaksa memilih untuk mewujudkan 'Kerajaan
Boneka' di Sabah mengulangi sejarah ketika Tun Sakaran Dandai menjadi
Ketua Menteri Sabah di bawah sistem 'Merry Go Round' yang ditamatkan
sebaik sahaja Musa Aman menjadi Ketua Menteri pada 1 April 2003.
Kerajaan Sakaran lemah kerana "terpaksa bertanya Kuala Lumpur sebelum
berkentut" (Kata Allahyarham Abdul Malek Chua) dan terpaksa ditadbir urus
di belakang tabir oleh Shafie Apdal dan ipar duainya, termasuk Jihek
Basanu yang kaya raya kerana menjadi 'Badut' Politik di Jabatan Ketua
Menteri.
Namun dalam keadaan masih terkesima dengan keputusan pilihanraya kecil
Sibu yang memihak kepada DAP, Najib mungkin menangguhkan hasrat Shafie
untuk memulakan 'Kudita' (Coup-de-tat) dalam masa yang singkat bagi
memulihkan kembali jentera BN; untuk menghadapi kemungkinan berlakunya
pilihanraya kecil di Sabah terutama di Libaran, Tempasuk dan Senallang;
sekalipun kesemua kawasan 'hot spot' ini merupakan kubu kuat BN Sabah.
Oleh: INTAN SURIANI MOHD AIDALA |