SPRM siasat pengubahan
wang haram di Sabah
Jun 19, 2010: Sumber-sumber
berkata seorang peguam terkemuka di Kota Kinabalu telah ditahan oleh pegawai
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Putrajaya.
SPRM difahamkan sedang melancarkan operasi untuk mengesan skim pengubahan
wang haram yang berjumlah jutaan ringgit yang membabitkan membabitkan tokoh
politik-perniagaan di Sabah.
Sumber-sumber yang mengetahui mengesahkan bahawa seorang peguam kanan di
Kota Kinabalu ditahan empat hari lalu oleh pegawai SPRM dari Putrajaya.
Pada malam khamis pula, menurut sumber-sumber lain, lima orang lagi ditahan
di Kota Kinabalu.
Mereka termasuk dua akauntan, seorang daripadanya wanita muda.
Kelima-limanya - dari dua firma yang ada urusan dengan peguam kanan
berkenaan - telah dibawa ke Putrajaya untuk disoalsiasat.
Menurut sumber-sumber, peguam kanan itu berada di Australia dan Singapura
dan kembali ke Kota Kinabalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA) tanpa disedari pegawai SPRM yang mencarinya di lapangan
terbang tersebut.
Berikutan itu, SPRM bergegas ke Sabah untuk menjejakinya. Sumber-sumber SPRM
di Kota Kinabalu, bagaimanapun, membisu tentang peguam kanan tersebut, yang
dilaporkan mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan negeri dan Umno Sabah.
Satu sumber di firmanya, selepas ditanya mengenai peguam kanan tersebut,
cuba menghubunginya melalui telefon, dan kemudiannya mengesahkan yang beliau
"sedang berada di luar kawasan".
Sumber tersebut tidak dapat menyatakan bila peguam kanan itu akan pulang.
Menurutnya, peguam tersebut tidak datang ke pejabat sejak hari Selasa.
Sumber itu bagaimanapun mengesahkan bahawa beberapa orang yang berpakaian
berseragam mengunjungi pejabatnya pada hari Selasa, tapi dia tidak tahu
apakah mereka dari SPRM.
Menurutnya lagi, dia tidak boleh menyatakan berapa lama mereka berada di
situ dan sama ada mereka mengambil apa-apa bahan dari pejabat tersebut.
Sementara itu, setiausaha peguam tersebut mendakwa dia bercuti pada hari
Selasa. Katanya, dia akan tahu sekiranya SPRM datang ke pejabatnya.
Dia juga tidak tahu apa-apa tentang fail yang diambil dari pejabatnya oleh
SPRM. Katanya, semua failnya masih berada dengannya.
Setiausaha itu juga tidak dapat menyatakan bila bosnya akan balik bertugas
dan enggan mendedahkan di mana peguam itu berada.
Sementara itu, sumber-sumber yang mengetahui di Kota Kinabalu, melaporkan
bahawa SPRM turut menahan dua orang kontraktor balak di Sandakan pada hari
Selasa dan membawa mereka dari Kota Kinabalu ke ke Putrajaya.
Dengan itu, enam orang - tidak termasuk peguam kanan tersebut - ditahan oleh
SPRM Putrajaya.
Empat orang ditahan sekitar pertengahan bulan lalu dan turut dibawa ke
Putrajaya.
Sumber-sumber mendakwa, sekurang-kurangnya dua daripada mereka telah dibawa
ke Hong Kong berkaitan kes pengubahan wang haram di sana dan dijadualkan
didengar sekitar bulan depan selepas banyak kali tertunda.
oleh: Joe Fernandez |