SAPP sokong lantik anak tempatan sebagai JUSA
Julai 6,
2010: Ahli
Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun mendesak agar pihak Kerajaan
Persekutuan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah yang sudah
berpengalaman dan berkelayakan untuk menjawat jawatan utama sektor awam (JUSA)
di mana-mana Jabatan Persekutuan di Sabah.
Menurutnya, sebagai rakyat di negeri ini, anak tempatan yang berpotensi
untuk menjawat jawatan tersebut lebih memahami budaya masyarakat di negeri
ini dan ini memberi kelebihan kepada mereka berurusan dengan rakyat di
negeri ini.
"Sampai bila Kerajaan Persekutuan mahu membuka peluang ini kepada anak
tempatan di negeri Sabah, sudah 47 tahun Sabah sebagai komponen penting di
Malaysia, malangnya anak tempatan sering dibelakangkan untuk menjawat
jawatan yang sepatutnya menjadi hak anak tempatan di negeri ini," ujar
Eric yang menyatakan Pengarah Jabatan Imigresen wajib diserahkan kepada
rakyat Sabah sebagaimana Jabatan Pendaftaran Negara yang penting untuk
menjaga kedaulatan negeri ini.
Tidak dinafikan, kata Eric, memang ada anak tempatan yang menjadi Ketua di
Jabatan Persekutuan di negeri ini pada ketika ini, tetapi jumlahnya hanya
tiga peratus sahaja terutama di jabatan yang tidak produktif dan jumlah
ini perlu dipertingkatkan.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi media mengulas kenyataan Bekas
Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Sulaiman Sabri yang disiarkan di
akhbar-akhbar tempatan baru-baru ini.
Tambah Eric lagi yang juga Timbalan Presiden Parti SAPP Sabah, apa yang
berlaku sekarang di negeri ini seolah-olah anak tempatan yang mempunyai
pengalaman dan berkelayakan tidak boleh bersaing dengan pegawai-pegawai
kerajaan dari Semenanjung.
Sedangkan jelas Eric, di negeri ini juga mempunyai sumber tenaga pakar
yang berkebolehan dan diiktiraf oleh negara luar.
"Kenapa anak-anak tempatan di negeri ini yang mempunyai kepakaran sanggup
berkerja luar dari negeri ini dan mereka sanggup bekerja di Amerika,
Singapura, Australia sebagai pakar. Ini disebabkan kerajaan Malaysia tidak
mengambil perhatian sepenuhnya terhadap kepakaran yang mereka miliki," katanya lagi.
Eric juga turut mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan memberi kuasa penuh
kepada Ketua-Ketua Jabatan di kalangan anak tempatan di Jabatan
Persekutuan bagi membolehkan mereka membuat keputusan tanpa merujuk pihak
atasan demi kebaikan penduduk di negeri ini.
Dalam kenyataan Sulaiman di akhbar tempatan baru-baru lalu, Sulaiman
mendakwa masih banyak Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Sabah disandang
pegawai dari Semenanjung sedangkan pada masa yang sama ramai dikalangan
anak tempatan di negeri ini yang sudah berpengalaman dan berkelayakan
mampu menunaikan tanggungjawab tersebut.
Menurut Sulaiman lagi, penyelesaian isu tersebut penting bagi mengubah
sentimen rakyat Sabah yang merasakan dianaktirikan dalam pembahagian
jawatan dalam Jabatan Persekutuan di negeri Sabah.
Kata Sulaiman lagi, sudah sampai masanya kepimpinan atasan meneliti
perkara tersebut dan memberi peluang kepada anak tempatan Sabah bagi
menjawat jawatan-jawatan berkenaan.
Sebelum ini, isu tersebut turut mendapat reaksi positif dari Ketua Pemuda
Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim, Ketua Bahagian Parti Bersatu
Sabah Bahagian Kiulu, Datuk Louis Rampas merangkap Ahli Majlis Tertinggi
Parti Bersatu Sabah, Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sabah, Bahagian
Pitas, Ng Loi Tect dan Pengerusi Parti SAPP Bahagian Tamparuli, Chua Hian
Hock.
Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI |