5 naik serentak, rakyat tanggung beban
Julai 18, 2010: Kerajaan Umno-BN Naikkan Harga Petrol Kaburi Mata Rakyat
Dengan Isu Seleweng Pasir Di Selangor
Rakyat hari ini dikejutkan dengan kenaikkan harga petrol sebanyak 5 sen
bagi petrol dan diesel yang akan berkuatkuasa tengah malam ini.
Keputusan yang dibuat secara drastik ini menunjukkan kerajaan Umno-Barisan
Nasional seolah-olah cuba menutup isu kenaikkan bahan bakar itu dengan
memperbesar-besarkan isu penyelewengan pasir di Selangor.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Syed Shahir Syed Mohamud yang
dihubungi wartawan berkata tindakan Umno-BN yang memperbesarkan satu-satu
isu dengan cara yang cukup licik untuk menutup kelemahan kepimpinan
Umno-BN dalam isu berkaitan dengan rakyat.
"Tindakan menaikkan harga petrol ini sebenarnya akan menyebabkan kesan dan
impak negatif kepada rakyat bawahan.
"Pakatan Rakyat memandang serius perkara ini memandangkan rakyat di bawah
semakin tidak selesa dengan tindakan itu yang akan menyebabkan kos
barangan lain meningkat," ujarnya
Kenaikkan itu katanya lagi akan menyebabkan rakyat bawahan akan menjadi
lebih marah terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
yang sebelum ini mewar-warkan polisi 1Malaysia yang kononnya mengutamakan
rakyat.
Mengenai isu penyelewengan pasir di Selangor, Syed Shahir berkata prinsip
Pakatan Rakyat sememangnya tidak bersetuju dan menentang segala bentuk
penyelewengan.
"Isu penyelewengan pasir ini bukan isu semalam tetapi telah berlaku hampir
30 hingga 40 tahun lepas semasa zaman Umno-BN menjadi kerajaan di selangor
"Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo nampaknya ingin
menjadi juara dalam hal ini sedangkan semasa beliau menjadi menteri besar
tidak ada sebarang usaha yang dibuat dalam memerangi isu penyelewengan dan
kecurian pasir di negeri itu.
"Kita bukan ingin menutup isu ini malahan kita juga menentang kerana ianya
bukan memberikan kesan kepada orang ramai tetapi juga kepada alam
semulajadi," tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua pihak terutamanya pihak berkuasa
seperti pihak polis, Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan negeri Selangor
khususnya agar mengambil tindakan yang tegas terhadap individu-individu
yang terbabit dalam hal yang berkaitan dengan penyelewengan pasir. -SK
5-dalam-1: Harga petrol, diesel, gula dan gas naik
Harga petrol, diesel, gula dan gas LPG naik berkuatkuasa mulai tengah
malam ini.
Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen. RON97 tidak lagi diberikan subsidi.
Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh
mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang
diumumkan kerajaan hari ini.
Manakala harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik
sebanyak 10 sen sekilogram
Kenaikan harga barangan berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak dalam satu pengumuman malam ini.
Berikut adalah harga baru:
Petrol RON 95 - RM1.85 seliter.
Petrol RON 97 - RM2.10 seliter.
Diesel - RM1.75 seliter.
Gula - RM1.70 sekilogram
Gas LPG - RM1.85 sekilogram
Berikut adalah harga baru gas:
Tong 14KG - dari RM24.50 kepada RM25.90 (naik RM1.40)
Tong 12KG - dari RM21.00 kepada RM22.20 (naik RM1.20)
Tong 10KG - dari RM17.50 kepada RM18.50 (naik RM1.00)
Sementara itu, Berita Harian online memetik Perdana Menteri,Datuk Seri
Najib Tun Razak sebagai berkata, kerajaan perlu mengurangkan subsidi bagi
menjimatkn perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal supaya
pasaran dunia dan dalaman lebih yakin dengan kekuatan ekonomi negara.
Najib berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno
bahagian Kuala Kedah di Alor Star, petang ini.
Beliau yang juga menteri kewangan berkata, penjimatan perbelanjaan itu
juga akan digunakan untuk pembangunan negara yang akhirnya memberi faedah
kepada rakyat.
Beliau turut memberi jaminan pengurangan subsidi akan dibuat secara
minimum supaya tidak membebankan rakyat.
Pada 27 Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris
Jala dilaporkan berkata, Malaysia akan muflis pada 2019 jika kerajaan
tidak memotong subsidi dan bergantung kepada pinjaman.
Katanya, hutang Malaysia akan meningkat kepada 100 peratus daripada GDP
pada 2019 d- daripada 54 peratus sekarang jika subsidi tidak dipotong. -mk |